PERHIASAN rumah turut disediakan.
BEG sandang menggunakan fabrik ikat indah digayakan.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Fabrik membaluti beg kepit, beg silang, tas tangan dan beg tangan yang dipamerkan di Galeri Frankitas ini kelihatan cukup unik dari segi corak dan warnanya. Malah, jika diperhatikan ia menerapkan penggunaan material warisan seperti batik, tenun dan songket dari Malaysia dan Indonesia selain ikat dari Uzbekistan.

Ternyata semua kerja tangan ini cukup elegan dan sofistikated apatah lagi apabila dihasilkan mereka yang berpengalaman dalam pembuatan kraf tangan.

Menurut Pengasas Frankitas Francisca Turner Shaik, semua aksesori wanita yang dihasilkan mempunyai nilai sentimental dan amat berharga. Minat yang mendalam terhadap seni dan budaya masyarakat membuatkan dia mengumpulkan material daripada pelbagai negara lantas menghasilkan produk perhiasan wanita.

Koleksi Frankitas berasal daripada tekstil etnik tradisional yang kaya dengan elemen warisan kemudian digabungkan dengan warna dan reka bentuk kontemporari, sekali gus menghasilkan produk gaya hidup yang menarik.

Menurut Francisca, Frankitas adalah kombinasi namanya Francisca iaitu Franki dan tas yang membawa maksud beg dalam kamus Indonesia. Ia diasaskan pada 2014 bertujuan mengetengahkan adat dan warisan seni tradisional buatan tangan.

“Jenama ini tercetus selepas berpengalaman mengembara ke hampir seluruh pelosok dunia, saya mendapati perlunya menyimpan nilai tradisi ini untuk generasi akan datang. Salah satu cara menerusi pembuatan beg tangan dan peralatan rumah kerana ia akan kekal dalam tempoh yang lama,” katanya.

Menggunakan kemahiran buatan tangan daripada tukang seni berasal dari Indonesia, Malaysia, India, Afrika dan Asia Tengah, produk ini menggunakan motif tradisional seperti ikat, batik, songket dan tenun rangrang. Sehingga hari ini, pelbagai koleksi beg, aksesori serta perhiasan rumah seperti subang, selendang, rantai, gelang, permaidani dan sarung yang semuanya diberi sentuhan tekstil tradisional dihasilkan dan mendapat permintaan ramai.

“Semua aksesori diperbuat daripada kain tradisional agar masyarakat tahu kita mempunyai kepelbagaian budaya yang harus dijaga. Saya juga mahu memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa fabrik tradisional ini sukar untuk dihasilkan dan ia juga mengambil masa lama,” katanya di Galeri Frankitas di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Cukup mementingkan kualiti, pencinta fesyen ini memberitahu, semua perhiasan adalah mengikut reka bentuk terkini, malah corak kain yang digunakan juga adalah moden kontemporari. Kebanyakannya adalah warna cerah yang cantik dan menarik seperti merah, merah jambu, biru, hijau dan ungu.

Ia sesuai digayakan untuk semua acara disebabkan rona ditampilkan mempunyai keunikan tersendiri. Koleksi ini boleh dilihat menerusi laman sosial Facebook dan Instagram.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Jun 2018 @ 3:59 AM