KANAK-kanak teruja melihat robot kucing.
DR Khew menunjukkan kanak-kanak fungsi robot kucing.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Penggunaan robot kini dianggap sebagai antara langkah terbaik sebagai intervensi pembelajaran dan teraputik khususnya untuk membantu kanak-kanak berkeperluan khas.

Robot haiwan misalnya sudah lama digunakan di Barat untuk membantu ramai kanak-kanak autisme sekali gus membuktikan keberkesanan rawatan terapi pemulihan itu.

Buat julung kali, robot kucing direka khas untuk perkembangan minda kanak-kanak di negara ini hasil kerjasama Animals For Young (AFY) dan CR8.

Menurut Pengasas AFY Dr Khew, robot kucing yang dinamakan Kiky 1.0 itu dihasilkan seperti kucing sebenar yang boleh mengiau, berperwatakan manja, menghidu, berdengkur dan bergerak.

Katanya, robot kucing itu memberi tumpuan terhadap perkembangan kanak-kanak istimewa dalam tiga bidang utama iaitu motor halus, kesedaran kognitif dan kemahiran sosial.

"Kiky 1.0 mempunyai kesan terapeutik pada minda kanak-kanak ini dan ia sangat penting dalam proses pembelajaran mereka.

"Dengan saiz 36 sentimeter dan berat 800 gram, robot ini dikuasakan oleh bateri 7.4 voltan dan badannya diperbuat daripada plastik.

"Kanak-kanak perlu membina robot ini dari awal malah potongan kecil badannya akan memerlukan mereka fokus, merangsang koordinasi mata dan tangan serta kawalan motor halus," katanya.

Selain itu katanya, dengan panduan mudah dibaca juga akan membantu kanak-kanak ini menggunakan kemahiran logik dan pemikiran mereka.

Ketika bermain bersama robot itu, ia akan membabitkan pemikiran kognitif, psikomotor, emosi dan sosial kerana mereka perlu melakukannya secara berpasukan.

Robot ini juga dapat meningkatkan daya tumpuan, kesabaran, membaiki koordinasi tangan dan mata.

Usaha ini juga sejajar sasaran Revolusi Perindustrian 4.0, yang memandang masa depan manusia apabila teknologi canggih buatan manusia mengambil tempat untuk membantu kehidupan seharian kita dengan lebih baik.

Terapi haiwan atau dikenali sebagai AAT (terapi bantuan haiwan) bukan fenomena baru di Barat selepas saintis mendapati kanak-kanak berkeperluan khas yang memiliki haiwan peliharaan lebih terurus ketika berdepan tekanan perasaan berbanding mereka yang tiada binatang peliharaan.

Haiwan digunakan sebagai medium untuk memulih dan merangsang perasaan atau emosi mereka melalui interaksi bersama haiwan.

Di negara ini, AFY antara pusat intervensi awal holistik untuk kanak-kanak keperluan khas menggunakan kaedah terapeutik bagi membantu dalam intervensi awal kanak-kanak autisme.

Haiwan peliharaan bukan sekadar mengisi masa terluang sebaliknya ramai yang tidak menyedari terapi haiwan turut membantu dalam perkembangan emosi, fizikal dan sosial untuk manusia.

Katanya, banyak yang mampu ditawarkan oleh haiwan untuk kanak-kanak, bukan sekadar membelainya semata-mata atau dijadikan hobi.

"Selain merangsang kemahiran psikososial mereka seperti membina hubungan, meningkatkan harga diri dan motivasi serta mengurangkan tekanan, haiwan juga boleh membantu dalam perkembangan kemahiran motor, komunikasi dan masalah deria kanak-kanak.

"Aktiviti itu mampu menjadi terapi kepada pelbagai masalah kesihatan terutama kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran, autisme, sindrom Down dan lembam," katanya.

Pengalaman menggunakan haiwan dalam membantu kanak-kanak berkeperluan khas, Dr Khew bergabung tenaga dan idea bersama CR8 untuk menghasilkan robot itu.

Dr Khew berkata, dengkuran kucing dapat menghasilkan sejenis hormon dalam badan kita untuk mengurangkan tekanan.

Berdasarkan kajian 10 tahun yang dijalankan oleh Pusat Strok, Universiti Minnesota, Amerika Syarikat mendapati orang yang memiliki kucing kurang 40 peratus mengalami serangan jantung berbanding mereka yang tidak membela haiwan itu.

"Robot ini mempunyai dengkuran dengan frekuensi 20 hingga 140 hertz. Manusia yang berdekatan dengannya sewaktu dengkuran itu akan mendapat manfaat seperti menurunkan tekanan, mengurangkan risiko serangan jantung dan menguatkan tulang," katanya.

Beliau berkata, kucing turut menyembuhkan diri mereka dengan menggunakan frekuensi getaran dengkuran itu bagi menggalakkan pertumbuhan tulang, penyembuhan luka dan mengurangkan kesakitan.

Bukan hanya kanak-kanak, robot ini juga sesuai untuk warga emas bagi meningkatkan kecerdasan minda dan menguatkan otot tangan mereka.

Robot kucing itu dipamerkan buat kali pertama di Langkawi GO4.0 awal tahun ini.

Dalam pada itu katanya, selain autisme, pusat itu turut membantu dalam intervensi awal kanak-kanak dengan masalah gangguan hiperaktif defisit tumpuan (ADHD), palsi serebrum, gangguan penyelarasan pembangunan (DCD/dispraksia), sindrom Down, kelewatan pembangunan global (GDD), gangguan membaca dan pembelajaran (disleksia), gangguan pemprosesan sensor (SPD), lewat bertutur dan bahasa.

KELEBIHAN TERAPI HAIWAN

Ada banyak kelebihan yang diperolehi antaranya:

Kemahiran motor

Aktiviti dengan haiwan mampu meningkatkan kemahiran motor kanak-kanak. Aktiviti praset menawarkan terapi cara kerja untuk membantu kanak-kanak keperluan khas dalam melaksanakan tugas mudah dengan cara yang menyeronokkan.

Kemahiran komunikasi

Ikatan yang dibina antara kanak-kanak dan haiwan akan membantu kemahiran komunikasi kanak-kanak autisme. Kanak-kanak keperluan khas akan mendapati lebih mudah untuk berkomunikasi dengan haiwan dan ini batu loncatan penting untuk meningkatkan kemahiran komunikasi mereka.

Kemahiran deria

Interaksi dengan haiwan juga akan meningkatkan deria kanak-kanak dan sangat berkesan dalam membantu kanak-kanak keperluan khas membina kemahiran deria mereka.

Kemahiran sosial

Kanak-kanak keperluan khas sering menghindari interaksi dan bercampur dengan orang lain. Haiwan akan memberi kanak-kanak perasaan yang hangat dan selamat bagi mereka untuk memiliki keyakinan untuk berhubung dengan orang lain.

Katanya, kanak-kanak lebih bermotivasi apabila haiwan digunakan dalam keadaan terkawal. Haiwan juga memberi manfaat kepada kanak-kanak dalam kemahiran deria dan sosial.

Kanak-kanak dalam program itu akan dinilai dan program individu akan dirancang untuk mereka. Program Intervensi Animals for Young (AYIP) akan menggabungkan AAT, terapi cara kerja, integrasi deria, analisis perilaku terapan (ABA), kesediaan sekolah, seni dan origami, muzik dan pergerakan.

Selain itu, ia turut menggabungkan pelbagai aktiviti lain seperti sukan, bakeri, boneka, terapi bermain, kemahiran hidup, kemahiran fungsi akademik (kemahiran Matematik dan seni bahasa), pembelajaran berasaskan komuniti dan kemahiran sosial.

Dr Khew yang juga mengasaskan kafe kucing pertama Malaysia untuk membantu menghadapi kemurungan berkata, AFY yang terletak di Cyberjaya itu akan menjadi projek pertama dalam membantu kanak-kanak keperluan khas.

Selanjutnya, pihaknya akan berusaha membina projek ekopelancongan menggunakan haiwan, apabila golongan berkeperluan khas akan mempunyai tempat bekerja, sambil memenuhi keperluan mereka untuk berhubung dengan haiwan ini.

"Projek yang akan datang ini akan dikenali sebagai Furry-tail Land, tempat golongan keperluan khas akhirnya akan menemui saat 'gembira-selama-lamanya'," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 3:19 PM