JANGAN terlalu mengikut setiap apa yang dimahukan anak.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Perlu atau tidak ibu bapa menyediakan mainan yang banyak kepada anak-anak? Adakah perkara itu mendatangkan kebaikan atau keburukan dalam proses pembesaran si kecil tersayang.

Persoalan itu sering timbul terutama kepada ibu bapa muda yang baru memiliki cahaya mata, mungkin kerana perasaan kasihan atau terlalu teruja menjadikan mereka memanjakan anak dengan membelikan pelbagai jenis mainan hingga akhirnya memenuhi setiap sudut kediaman.

Adakah tindakan itu tepat atau mungkin boleh mendatangkan masalah? Hakikatnya ramai ibu bapa secara tidak sedar terlebih membelikan mainan untuk anak-anak.

Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Kuala Kangsar, Perak Hazhari Ismail berkongsi pendapat mengenai isu ini berkata, mainan dan kanak-kanak tidak dapat dipisahkan.

“Lambakan mainan di pasaran memudahkan ibu bapa untuk membeli. Daripada sekecil-kecil saiz, sehingga sebesar-besarnya, ada sahaja yang dibawa pulang. Adalah sesuatu yang normal jika rumah bersepah dengan mainan atas alasan untuk perkembangan anak-anak.

“Persoalannya, adakah benar memberi terlalu banyak mainan memberikan kesan positif kepada perkembangan mereka?” katanya.

MAINAN BANYAK VS MAINAN SEDIKIT

Menurutnya, kajian mengenai ‘The Influence of the number of toys in the environment on toddlers’ play’ mendapati mainan yang ‘disisihkan’ akan mengurangkan kualiti waktu bermain dan mainan yang sedikit mampu meningkatkan fokus, perhatian juga kreativiti.

Apabila kanak-kanak mempunyai pilihan mainan yang sedikit, mereka akan bermain dengan setiap mainan dalam tempoh lebih lama dan lebih banyak interaksi.

“Ia termasuk akal mereka yang terus berkembang untuk berimaginasi dan berpura-pura bermain, ekspresi diri, kemahiran motor dan koordinasi juga menyelesaikan masalah,” katanya.

Tambah Hazhari, adakah perlu membuang mainan yang berlambak itu? Jawapan tidak kerana membazir itu juga tidak elok.

“Ibu bapa boleh berikan mainan secara berkala. Buat kumpulan mainan itu dan berikan berperingkat. Saya melihat kesan kepada perkembangan kanak-kanak. Banyaknya mainan tidak membantu perkembangannya. Kadangkala kanak-kanak akan belajar banyak perkara dalam sumber yang terhad,” katanya.

KELEBIHAN JUMLAH MAINAN YANG SEDIKIT:

Menjadi lebih kreatif

Ada kajian yang dijalankan di nurseri di Munich yang mengeluarkan mainan dari premis. Pada peringkat awal, kanak-kanak akan menjadi bosan, tetapi lama-kelamaan mereka menggunakan barang asas atau sumber dari persekitaran untuk mencipta permainan dan mempunyai imaginasi tinggi untuk bermain!

Memanjangkan tempoh tumpuan

Terlalu banyak mainan akan mengganggu kanak-kanak untuk kekal fokus. Contohnya, jika permainan itu memerlukan kemahiran menyelesaikan masalah, mereka akan berpindah kepada mainan yang lain jika gagal menyelesaikan masalah kerana ada pilihan yang lebih mudah. Oleh itu, kemahiran menyelesaikan masalah yang diinginkan itu tidak menjadi.

Kemahiran bersosial menjadi lebih baik

Dalam perkembangan sosial, bukan semata-mata bagaimana kita tahu berkomunikasi dengan orang sekeliling, tetapi kanak-kanak perlu belajar cara mengekalkan hubungan dengan kawan-kawan dalam tempoh yang panjang. Ia secara tidak langsung mengasah kemahiran berinteraksi. Mereka akan belajar menghargai orang sekeliling.

Menjaga barang

Ini perkara penting. Kita nampak kanak-kanak menyepahkan mainan sebab terlalu banyak. Mereka tidak belajar untuk menjaga dan menghargai barang sendiri. Untuk membina dan mengajar tanggungjawab kepada kanak-kanak, ia perlu dimulakan dengan yang sedikit dan akan berkembang.

Belajar berkongsi

Jika ada mainan yang sedikit, pada peringkat awal mungkin berlaku perebutan dan pergaduhan antara kanak-kanak sebaya di taska, tadika atau adik-beradik di rumah. Namun, ‘pergaduhan’ itu perlu berlaku untuk membina sifat toleransi, kerjasama dan berkongsi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 3:18 PM