SIMPTOM atau tanda menghampiri saat bersalin berbeza bagi setiap wanita.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Rasa takut, bimbang dan panik semakin dirasai terutama apabila kandungan sudah genap memasuki sembilan bulan. Bukan saja wanita yang hamil anak pertama malah semua wanita merasainya walaupun sudah mempunyai lebih tiga kali pengalaman hamil. Mereka tetap berdepan perasaan sama ketika menanti saat kelahiran.

Detik kelahiran setiap orang berbeza-beza, mungkin pada kelahiran anak pertama prosesnya mengambil masa lama manakala anak kedua pula terlalu singkat.

Tanda kelahiran juga berbeza, ada ibu yang keluar air ketuban sementara ada pula yang keluar lendir bercampur darah. Sebab itu setiap ibu hamil yang sedang menanti hari perlu lebih peka dan berhati-hati dengan sebarang kemungkinan.

Simptom atau tanda menghampiri saat bersalin juga berbeza bagi setiap wanita dan untuk menentukan dengan pasti detik bila ia bermula juga agak mustahil.

Menurut Pegawai Perubatan Obstetrik & Ginekologi Kementerian Kesihatan Malaysia Dr Muhammad Izzat Abdul Razak, pada saat ini badan si ibu melalui beberapa perubahan dalaman bagi membantu melancarkan proses kelahiran bayi.

“Walaupun doktor tidak boleh menentukan secara pasti, ibu tidak perlu bimbang dan panik. Apa yang perlu dilakukan ialah perhatikan sebarang tanda yang dialami. Walaupun semua ibu hamil yang mengesan tanda itu akan mula resah, langkah terbaik adalah bertenang.

“Meskipun sudah ada tanda hampir bersalin, bukan bermakna si ibu akan terus melahirkan anak. Ada juga kes ia mengambil masa berminggu-minggu untuk si kecil menjengah ke dunia,” katanya.

TANDA HAMPIR BERSALIN

Dr Muhammad Izzat berkongsi tanda menghampiri saat bersalin untuk ibu yang sedang menanti hari:

1. Keluar tanda

Tanda tu adalah lendir likat bercampur darah yang keluar daripada faraj. Keluar tanda bukan bermakna bayi akan keluar dalam beberapa minit lagi namun ia mungkin amaran awal untuk memberitahu pangkal rahim ibu sudah mula matang dan mula menipis sebagai persediaan awal untuk kelahiran.

Diingatkan tidak semestinya anda akan terus melahirkan selepas keluar tanda kerana ada ibu yang hanya bersalin seminggu selepas itu namun sekiranya keluar tanda berserta sakit kontraksi dinasihatkan supaya segera ke hospital kerana dikhuatiri anda akan bersalin dalam tempoh terdekat.

2. Sakit kontraksi

Perut mengeras atau kontraksi biasa terjadi pada minggu-minggu akhir kehamilan. Kontraksi tanpa rasa sakit dinamakan ‘Braxton Hicks’ dan ia bukanlah saat anda mahu bersalin namun apabila rahim mengeras disertai rasa sakit menunjukkan tanda-tanda awal hendak bersalin.

Semakin kerap dan panjang tempoh kontraksi bermakna anda makin menghampiri saat kelahiran. Kontraksi penting untuk menjadikan pangkal rahim menipis dan membuka pintu rahim untuk proses kelahiran.

3. Keluar air ketuban

Selaput yang menyelaputi bayi dalam rahim boleh pecah secara tiba-tiba dan ibu mengalami turun air yang banyak. Lazimnya ibu akan menyedari air suam mengalir dengan laju secara tiba-tiba pada pahanya sehingga membasahkan seluar dalam atau kain.

Air yang keluar sedikit demi sedikit dan tidak membasahkan seluar dalam lazimnya bukanlah air ketuban, ia mungkin hanyalah lendir biasa. Sakit kontraksi yang semakin kerap menyebabkan selaput bayi ini pecah dan mengeluarkan air ketuban itu. Ini juga adalah tanda-tanda anda menghampiri saat bersalin.

Kata Dr Muhammad Izzat, seperti yang dinyatakan, lain wanita lain pengalamannya kerana ada yang keluar tanda tetapi tidak keluar air ketuban dan ada pula yang hanya sakit sedikit serta bayi terus dilahirkan.

“Sekiranya anda bimbang dan kurang pasti dengan tanda yang dialami, langkah terbaik adalah segera bertemu doktor untuk pemeriksaan lanjut.

“Jangan samakan pengalaman lalu dengan kehamilan sekarang. Malah jangan samakan juga pengalaman pengalaman individu lain dengan diri anda kerana semuanya tidak sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 1:51 PM