Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Amalan pemberian duit raya seakan-akan menjadi kemestian dan semakin subur dibudayakan dalam masyarakat setiap kali menjelang hari raya hingga ramai yang menganggap ia satu kewajipan.

Ramai yang menganggap duit raya sebagai sedekah dan mungkin segelintir dari kita yang tidak menafikan amalan ini adalah ikut-ikutan kerana dipraktikkan sejak zaman-berzaman.

Apa yang pasti, ketika musim hari raya ini, ibu bapa atau mereka yang sudah bekerja perlu memasukkan bajet untuk pemberian duit raya kepada sanak saudara atau anak tetamu yang berkunjung ke rumah, antara salah satu perbelanjaan Aidilfitri.

Tidak dinafikan, budaya yang sudah diterap sejak sekian lama menjadi satu perkara paling utama yang perlu difikirkan hingga bagi sesetengah orang, ia sudah menjadi bebanan untuk mereka.

Bagi yang berkemampuan, mungkin tiada masalah buat mereka mengeluarkan bajet untuknya, tapi bagaimana pula dengan golongan kurang berada.

Mereka seolah-olah terpaksa membelanjakan wang yang sepatutnya boleh digunakan untuk kegunaan lain yang lebih penting semata-mata mahu memberi duit raya kerana malu dikata orang.

Bajet untuk duit raya tidak pernah kecil jumlahnya. Saban tahun, biasanya jumlahnya semakin meningkat dan paling tidak RM100 perlu dikeluarkan untuk 'ole-ole' Aidilfitri ini. Itupun jika memberi duit raya RM1 seorang kepada tetamu kecil. Jika lebih, jumlahnya akan berganda. Itu belum lagi untuk anak saudara-mara terdekat. Mana mungkin memberikan jumlah sama dengan kanak-kanak lain yang tiada kaitan persaudaraan.

Mungkin mereka mahu memberi juga kerana mengikut amalan orang lain. Kalau boleh mereka tidak mahu malu pada tetamu yang datang berhari raya sedangkan selepas raya, ada yang bagaikan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam Hariyati Ariffin, pemberian duit raya asalnya dari budaya Cina namun sejak kita mengasimilasikan budaya kedua-duanya dalam masyarakat, ia kini menjadi satu kemestian pada hari raya.


HARIYATI Ariffin.

Dalam keadaan ekonomi yang kurang kukuh dan mencabar, beliau berpendapat budaya ini lebih elok dihentikan secara perlahan-lahan namun diganti dengan barangan makanan dan cenderahati seperti majlis perkahwinan.

"Sebenarnya anak sekarang amat berbeza berbanding zaman dulu. Ada segelintir yang diberi duit raya RM2 pun merungut dan tidak kurang juga yang mengatakan tuan rumah kedekut.

"Jadi untuk tidak mengajar mereka bersikap materialistik dan menghargai setiap sen dan ringgit, mungkin ada baiknya kita hentikan budaya duit raya. Mungkin tuan rumah sudah mula boleh menerangkan pada kanak-kanak yang hadir bahawa sekarang duit raya sudah ditukar pada makanan seperti buah atau gula-gula.

"Memang bukan mudah hendak hentikan budaya ini secara drastik, ia perlu dibuat secara lebih berhemah dan dalam situasi menang menang dengan kedua-dua pihak berpuas hati," katanya.

Menurutnya, ibu bapa perlu memainkan peranan supaya anak-anak tidak mengharapkan duit raya jika berkunjung ke rumah saudara atau jiran.

Katanya, ibu bapa perlu terapkan rasa keinsafan dalam diri anak bahawa hari raya bukan hari mengumpul duit, tapi waktu untuk berkumpul dan bermaafan serta meraikan kemenangan atau kejayaan berpuasa.

"Dunia sekarang sudah banyak berubah, jadi kita sebagai masyarakat juga perlu mengubah kehidupan ke arah lebih baik dan mengamalkan silaturahim yang akrab sesama kita dengan mengajar anak mengenai adab dan budaya hari raya yang baik," katanya.


DIDIK anak menghargai pemberian duit raya.

#Niat sedekah

Bagi usahawan, Nurain Zolkefli, 33, tiada masalah untuk memberi duit raya dengan niat bersedekah, namun yang tidak bagus apabila ia dianggap sebagai perkara wajib dan paling utama setiap kali menjelang Aidilfitri.

Tambahan pula katanya, ada segelintir ibu bapa yang menanam dalam minda kanak-kanak bahawa hari raya adalah masa untuk mengumpul sebanyak mungkin duit raya dan lebih teruk apabila mengajar mereka pula meminta duit raya .

"Konsep duit raya sebenarnya adalah ihsan pemberi, sama ada nak beri banyak atau sikit adalah terpulang kepada si pemberi.

"Jika pemberi tidak mahu menghulur duit raya sebaliknya beri benda lain seperti buku, alat tulis atau apa saja pada kanak-kanak, itu tak jadi masalah pun, cuma sikap orang kita yang gemar menjadikan amalan ini perkara utama.

"Hakikatnya zaman ini banyak wang diperlukan untuk menampung kos sara hidup dan jika tidak dapat memberi, jangan malu pada keadaan ini. Kita patut malu jika membuat pinjaman daripada majikan atau bank yang mempromosikan kemudahan pinjaman itu semata-mata untuk mencukupkan bajet raya," katanya.


BUDAYA duit raya harus dikikis secara perlahan setiap kali hari raya tiba

Mohd Khairizal Mohd Khalif, 42, pula berpendapat budaya ini kurang elok kerana terlalu banyak pembaziran dan perbelanjaan yang tidak patut lebih-lebih lagi untuk mereka yang kurang berkemampuan.

Katanya, dia pernah melihat sendiri bagaimana segelintir rakannya yang buntu mahu mendapatkan duit lebih untuk bajet duit raya sehingga berhutang sana sini.

"Budaya ini di Malaysia saja. Saya selalu juga beraya di negara jiran Indonesia, tapi tiada pun budaya ini dipraktikkan di sana.

"Kalau ada yang beri hanya kepada anak saudara, itupun tanpa perlunya sampul duit raya," katanya.

Baginya, masyarakat perlu kembali dan memahami erti sebenar kunjung-mengunjungi ketika berhari raya, tujuan utama adalah untuk bermaaf-maafan dan mengerat silaturahim bukan memungut duit raya sebanyak mungkin.

Sebaliknya, pemberian duit raya lebih afdal diberi kepada yang berhak seperti ibu bapa, atau saudara-mara yang memerlukan sahaja, bukan kepada kanak-kanak khususnya yang ibu bapa mereka berkemampuan.


PEMBERIAN duit raya lebih afdal diberi kepada golongan memerlukan.

Mastura Burhanuddin, 35, berpendapat terdapat kebaikan dan keburukan dalam budaya ini. Positifnya duit raya boleh menggalakkan anak kecil belajar menyimpan dan menabung.

Namun, ia menjadi negatif apabila anak kecil jadi mendesak, memaksa dan meminta-minta duit raya, malah jika jumlah yang diberi itu

agak kecil, kemungkinan besar mereka akan merungut sekali gus menjatuhkan air muka si pemberi.

"Ibu bapa harus mengingatkan anak-anak supaya tidak segera membuka sampul dan mengira berapa jumlah wang di dalamnya. Ini adab yang penting dijaga supaya kita tidak disalah anggap tidak pandai mendidik anak.

"Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang ini, jangan diperlekehkan niat orang nak bersedekah jika nilai duit yang diberi setakat kemampuannya saja. Jika ada yang tidak memberi duit raya, jangan pula mereka dipandang rendah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Jun 2018 @ 2:31 PM