ANTARA barangan kemas terbaru ditampilkan HABIB sempena kempen Rantaian Kasih Aidilfitri 2018.
ANTARA barangan kemas terbaru ditampilkan HABIB sempena kempen Rantaian Kasih Aidilfitri 2018.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


Kempen tahunan kedai barang kemas terkemuka HABIB Jewels Sdn Bhd (HABIB), Rantaian Kasih yang dilancarkan sempena Aidilfitri bermulai 16 Mei sehingga 14 Jun ini difokuskan kepada ketulusan dan keikhlasan dalam hubungan silaturahim antara saudara-mara, sahabat dan masyarakat.

Selama 60 tahun, HABIB menghasilkan barangan kemas berkualiti tinggi dan hubungan HABIB dengan pelanggan juga berpaksi pada ketulusan dan keikhlasan. Hubungan erat ini dan kefahaman mengenai cita rasa dan kegemaran pelanggan menjadi inspirasi dalam menghasilkan koleksi barangan kemas yang menawan tahun demi tahun.

Dalam kempen yang sama, HABIB turut melancarkan barangan kemas terkini dan Koleksi Warisan yang direka khas oleh pereka barang kemasnya dijangka menjadi tumpuan. Koleksi yang menawan ini hasil inspirasi elemen warisan Malaysia iaitu daripada seni reka tradisi Melayu kepada buah cermai dan juadah kegemaran rakyat seperti kuih kapit.

Koleksi ini digubah daripada emas kuning, emas mawar dan emas putih 18 karat yang turut dihiasi berlian dan batu permata dalam bentuk cincin, gelang tangan serta rantai leher.

Selain Koleksi Warisan, HABIB juga menampilkan rekaan terkini daripada Koleksi Aura yang digemari wanita berhijab. Koleksi ini mempamerkan rekaan flora bertatah berlian dan batu permata dengan penampilan eksklusif.

Koleksi Oro Italia 916 yang terbaru pula ditampilkan dengan rekaan terkini dalam emas 22 karat seperti emas kuning, emas mawar dan emas putih yang pastinya menjadi kegemaran peminat koleksi ini. Koleksi ini adalah koleksi utama HABIB dengan pengaruh rekaan Eropah dan nilai emas yang tinggi digubah khas buat HABIB di Itali.

Untuk si kecil yang menjadi buah hati keluarga, bolehlah meninjau Koleksi Kanak-kanak yang diperbuat daripada emas 916, sama cantik dan sama padan dengan koleksi barang kemas raya untuk si ibu.

Lelaki juga boleh menggayakan butang baju Melayu dan cincin daripada Koleksi Lelaki yang diperbuat daripada palladium berhias berlian sesuai untuk pemakai Muslim.

Pengarah Pengurusan HABIB Datuk Sri Meer Habib berkata, dalam kempen kali ini pihaknya ingin berkongsi dan mengingatkan semua untuk menghargai pengorbanan yang dibuat oleh ahli keluarga tersayang.

“Menerusi kempen ini, kami ingin menyampaikan mesej kepada pelanggan, sahabat dan keluarga tersayang untuk menyambut musim perayaan ini dengan mengeratkan silaturahim sesama kita, di samping merapatkan rantaian kasih yang tersemai sekian lama,” katanya.

HABIB turut melancarkan filem sesawang yang berjudul ‘Dalam Hati Opah’ untuk menyambut Ramadan dan Aidilfitri. Filem empat minit ini menceritakan kisah Opah yang berusaha sedaya-upaya untuk menjaga cucu kecilnya, Amir.

Semasa filem ini di peringkat produksi, Meer merancang membawa kembali fokus kepada dua rekaan cincin yang ikonik iaitu Cincin Kapal Terbang dan Cincin Buah Kana untuk menyambut 60 tahun HABIB di Malaysia. Cincin Kapal Terbang antara fokus utama dalam filem pendek ini dan melambangkan sejarah rekaan HABIB.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Jun 2018 @ 7:18 AM