SOLEKAN semula jadi tampak lebih sesuai dan manis digayakan sepanjang lebaran.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Solekan dan wanita tidak dapat dipisahkan, malah ia boleh menaikkan seri wajah, meningkatkan keyakinan diri dan mengubah mood menjadi lebih gembira apabila melihat wajahnya cantik.

Tambahan pula Aidilfitri bakal menjelang, tradisi kunjung-mengunjung pasti tidak dilepaskan, maka setiap wanita tentu mahu tampil menarik ketika berkunjung ke rumah terbuka.

Bagi menambah seri pada wajah, sapukan solekan tipis bagi menyempurnakan penampilan bersama busana anggun.

Menurut jurusolek Nurul Maizatul Farazila Abd Rahman atau Nurul MF, solekan semula jadi tampak lebih sesuai dan manis digayakan sepanjang lebaran.

"Selepas wajah dibersihkan dengan pembersih dan disapu pelembap atau primer, kulit perlu dilindungi daripada bahaya sinaran matahari dengan krim tabir suria.

"Biarkan krim berkenaan dalam tempoh seminit hingga dua minit bagi memastikannya meresap ke dalam kulit sebelum mula menyapu solekan pada wajah," katanya.

Antara tip menarik yang boleh dipraktikkan juga ialah merias bahagian kening terlebih dulu selepas menyapu pelembap untuk membiarkan pelembap meresap ke wajah yang akan disolek.

Bahagian kening juga perlu diberi perhatian kerana pemilihan pensel kening dengan rona yang salah mengikut warna kulit memberi efek wajah yang kelihatan garang.

Kemudian, sapuan penyamar noda sangat penting jika memiliki jerawat, parut atau kesan gelap bawah mata pada wajah bagi menampilkan kulit yang gebu.

Selepas menyapu rata penyamar noda pada kawasan cela yang perlu ditutup, gunakan bedak asas rona sama dengan kulit dan mulakan olesan pada bahagian dahi.

Jelasnya, sapuan bedak asas jenis cecair lebih sesuai jika mahu solekan tahan lebih lama. Selepas sapuan bedak asas rata pada keseluruhan wajah, lengkapkan solekan dengan teknik pembayang di bahagian tulang pipi dan hidung bagi menyerlahkan bentuk muka sempurna.

"Jika memilih menggunakan bedak asas rona sama dengan kulit, sebaik-baiknya pilih ton lebih cerah daripada kulit untuk bedak tabur bagi memberi imbangan pada solekan.

"Gunakan teknik memusing ketika memakai bedak tabur menggunakan berus sesuai supaya ia meresap ke dalam liang roma bagi mengelakkan solekan tampak comot ketika wajah berpeluh," katanya.

Antara tip menarik yang boleh dipraktikkan iaitu meletakkan penyerlah di sekitar batang hidung, dagu dan tulang kening.

Teknik pembayang juga penting untuk menyerlahkan bentuk muka. Lakukan dengan gerakan menaik pada bahagian pipi untuk menonjolkannya. Ratakan semula bedak tabur dan satukan di bahagian yang diletakkan penyerlah.

Bagi bahagian mata pula, sapu pembayang mata asas rona lembut di seluruh kelopak mata bagi menampilkan solekan yang kemas.

Selepas itu, barulah pilih rona pembayang mata sesuai dengan warna busana yang digayakan. Bagi pemilik kulit sawo matang, jangan pilih pembayang mata rona terang sebaiknya gunakan ton yang lebih lembut atau semula jadi untuk menonjolkan tarikan pada mata.

Pilihan rona coklat gelap yang boleh digayakan dengan pelbagai warna baju. Lebih selamat disapu pada bahagian mata terutama bagi individu yang masih belum mahir menggunakan alat solekan.

Gabungan pembayang mata rona keemasan di bahagian tengah bebola mata hingga tepi mata membantu penampilan yang lebih segar. Untuk menonjolkan mata bundar, sapuan pembayang mata rona gelap seperti coklat atau hitam di bahagian hujung mata boleh dicuba.

Sempurnakan penampilan pada musim perayaan dengan sapuan maskara, gincu dan pengilat bibir untuk menonjolkan wajah yang lebih ceria serta anggun.


1. WAJAH sebelum disolek.

2. KEMASKAN kening dengan pensel kening.

3. SAPU dan ratakan penyamar noda krim untuk menutup lebihan bulu kening.

4. SAPU krim pembetul warna kulit pada bahagian wajah lebih gelap.

5. KEMUDIAN adun bersama penyamar noda diikuti bedak asas diratakan di seluruh wajah.

6. SAPUKAN penyerlah untuk serlahkan bahagian yang diingini seperti hidung dan dagu.

7. SAPUKAN pembayang mata.

8. SERLAHKAN bentuk wajah dengan teknik kontur di tulang pipi, rahang, hidung dan dahi sebelum diratakan.

9. OLES gincu rona lembut untuk penampilan senada. Kemudian, tambah sedikit pengilat bibir di bahagian tengah bibir untuk menjadikan wajah tampak segar.

NURUL bersama model.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 2:42 PM