SEKALI-sekala ubah penampilan dengan berambut pendek.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Gaya potongan rambut panjang memang sinonim dengan sifat feminin dan menyerlahkan kewanitaan, bagaimanapun semakin ramai wanita yang menggilai gaya rambut pendek atau potongan ‘bob’ dan ‘pixie’.

Trend berambut pendek ini tidaklah asing, bahkan ramai selebriti Hollywood tampil anggun biarpun tanpa rambut panjang mengurai.

Rambut pendek dilihat mampu menonjolkan kecantikan raut wajah seseorang wanita. Antara selebriti yang tampil jelita dengan rambut pendek adalah Emma Stone, Emma Roberts, Jennifer Lawrence, Rihanna, Dua Lipa, Anne Hathaway dan supermodel adik beradik, Gigi dan Bella Hadid.

Di negara ini, berdepan cuaca panas mungkin antara sebab ramai yang memilih berambut pendek. Ia bukan saja membuatkan kepala terasa lebih ringan bahkan ada yang memilih gaya ini kerana lebih mudah menjaganya.

Bagi yang berdepan masalah rambut bercabang atau rosak, pemilihan gaya rambut pendek mungkin antara jalan untuk mengatasinya.

Sekali sekala apa salahnya kita cuba mempelbagaikan gaya potongan rambut untuk memberi sedikit kelainan atau mungkin juga boleh mencipta identiti baru yang lebih berani dan seksi dengan berambut pendek.


RIHANNA antara selebriti yang terkenal dengan gaya rambut pendek.

Biarpun rambut pendek dilihat seperti sukar digayakan, sebenarnya dengan sedikit kreativiti, imaginasi dan keberanian mencuba gaya baru, banyak penampilan boleh dihasilkan. Berikut beberapa gaya rambut pendek untuk dicuba:

1. Lurus dan kemas

Sapu sedikit krim rambut ketika rambut masih lembap dan sikat ke belakang. Keringkan secara melurus menggunakan pengering rambut dan gunakan pelurus rambut di bahagian rambut yang sukar diluruskan. Gunakan hujung sikat yang tajam untuk menolak semua rambut ke belakang.

2. Bertekstur dan sedikit kusut

Sebaik selesai mandi, keringkan rambut menggunakan tuala dan sembur dengan penyembur rambut. Gunakan sikat berus ketika mengeringkan rambut dengan pengering rambut dan gulung lapisan pertama rambut ke satu arah yang sama.

Sapukan sedikit minyak rambut di bahagian hujung rambut. Kusutkan sedikit di bahagian atas dahi dan selitkan bahagian rambut lain di belakang telinga.

3. Pendek beralun

Belah tengah rambut secara rata dan letakkan krim rambut yang menambah tekstur pada rambut yang masih lembap. Keringkan dengan pengering secara melurus menggunakan sikat bulat.

Gunakan penggulung rambut di bahagian penghujung rambut. Sapukan krim gaya rambut menggunakan hujung jari dan sapu pada bahagian hujung rambut yang bergulung.


PASTIKAN gaya potongan bersesuaian dengan bentuk wajah.

4. Sofistikated

Sapukan krim tekstur pada rambut lembap. Belah rambut di tengah dan sikat sebaik kering secara semula jadi. Sapukan gel menggunakan hujung jari ke seluruh rambut untuk mendapatkan lebih tekstur. Sarungkan cekak rambut yang nipis untuk menampakkan rambut lebih sofistikated.

5. Pendek kerinting

Sembur penyembur rambut untuk menambah kelebatan rambut. Keringkan rambut menggunakan pengering rambut dengan cara menunduk untuk membuatkannya kelihatan lebih lebat.

Sebaik kering, gunakan penggulung untuk menggulungkan seluruh rambut. Apabila rambut kering, sembur dengan gel dan gunakan tangan untuk menghasilkan gaya kusut tetapi menarik.


POTONGAN pendek lebih mudah dijaga dan diuruskan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 1:54 PM