LANDSKAP menarik.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Siapa sangka wanita jelita berusia 41 tahun ini minat melakukan kerja kebun? Ketika ramai wanita seusianya memilih hobi eksklusif, bekas peserta Dewi Remaja ini lebih senang bercucuk tanam dan mengubah landskap.

Kata Nancy Thomas, dia memilih aktiviti berkebun sebagai hobi kerana sudah terbiasa dengan kehidupan sebagai anak petani. Ketika kecil, ibu kepada dua anak ini kerap menemani ibu dan ayah ke kebun lada hitam dan koko.

“Dari situ timbulnya minat mendalam dalam aktiviti pertanian. Tambahan berkebun juga membuatkan saya gembira. Apabila melihat bunga segar setiap pagi, daun menghijau di sekeliling rumah, saya jadi tenang. Terasa berbaloi usaha saya berbudi kepada tanah setiap hari,” katanya.

Menurut guru Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Kebangsaan Merbau, Miri, Sarawak ini, rutin hariannya tidak banyak berbeza kerana sibuk mengajar di sebelah pagi hingga tengah hari.

TANAMAN orkid.

“Jika tiada aktiviti sekolah, saya akan pulang menguruskan rumah, mengemas, memasak dan berkebun sehingga jam 6 petang. Selepas itu saya menghantar anak ke kelas tuisyen sebelum singgah bersenam di gimnasium bersama suami.

“Biasanya, waktu lapang memang banyak dihabiskan di laman, terutama pada Sabtu dan Ahad. Waktu inilah saya membaja, memangkas dan menukar tanah mengikut keperluan. Semua kerja kebun saya lakukan sendiri bersama suami. Sementara ayah turut membantu menyiram setiap hari,” katanya

Bercerita lanjut, Nancy berkata, dia berkebun dan mengubah landskap sekitar kediaman sejak lebih 15 tahun lalu. Bahagian depan rumahnya dibuat kolam ikan koi serta gazebo.

“Di tepi rumah saya ada memasang sembilan log kelulut untuk menghasilkan madu asli bagi kegunaan sendiri. Di bahagian belakang rumah pula ada tempat merawat bunga yang ‘tidak sihat’.

“Saya juga ada menanam sayur bendi, sawi dan cekur manis untuk kegunaan sekeluarga. Selebihnya, saya banyak menanam bunga hiasan seperti bunga raya, kemboja cina atau Adenium, bunga kertas dan petunia,” katanya.

BUNGA-bungaan menghiasi laman.

Jelas Nancy, dia tidak berkebun untuk tujuan komersial sebaliknya sekadar mengadakan rumah dalam taman.

“Saya pernah memenangi Johan Pertandingan Halaman Cantik 2017 anjuran Majlis Bandaraya Miri. Hadiah ketika itu adalah RM1,000, sijil dan trofi. Kalau orang tanya apa kepuasan berkebun, saya suka melihat bunga dan rumput segar serta cantik.

“Itu menunjukkan saya menjaga tanaman dengan baik. Sesekali, saya juga akan memuat naik gambar di laman Facebook peribadi, Nancy Si Tukang Kebun. Di situ, saya seronok dapat berkongsi hasil tanaman dan tip kepada rakan mengenai aktiviti berkebun.

“Selain berkebun, saya juga aktif berkongsi gaya hidup sihat dengan kaum ibu dan wanita seusia saya. Selalunya saya akan berkongsi mengenai aktiviti bersenam, pemakanan dan cara menurunkan berat badan,” katanya.

NANCY ketika menerima hadiah Johan Pertandingan Pertandingan Halaman Cantik 2017 anjuran Majlis Bandaraya Miri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 1:58 PM