MODEL segak berbaju Melayu kuning mustard.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Masih hangat seperti tahun sebelumnya, busana kurta dan baju Melayu moden dilihat terus mendapat perhatian ramai lelaki yang mahu tampil dengan gaya ringkas pada lebaran nanti.

Mengekalkan tradisi dalam gaya yang lebih kemas dan santai, butik Renryzam Kuala Lumpur menampilkan koleksi kurta Azfa dan baju Melayu Renryzam khusus untuk golongan muda, berumur 18 tahun ke atas.

Menurut pemilik butik, Ren Ryzam, kurta Azfa direka hasil gabungan ideanya bersama rakan model dan pelakon yang aktif dalam dunia lakonan serta fesyen tanah air.

“Kurta ada dua rekaan berbeza. Perincian kurta pertama adalah bersifat sederhana, tetapi menonjol. Ia lebih ringkas dan polos, sementara butang pada bahagian dada disorok ke bahagian dalam. Begitupun, gaya ini masih menonjolkan ciri maskulin pemakai.


KURTA rona biru kelasi dengan butang tersorok.

“Rekaan kedua pula lebih agresif dan moden. Kurta ini memiliki perincian kecil dengan sedikit corak pada bahagian dada, manakala butang bajunya tersusun kemas di bahagian depan.

“Jika diperhatikan, rekaan ini sebenarnya menonjolkan lagi keperibadian seseorang yang sukakan perhatian. Kedua-dua kurta ini bagaimanapun mengikut ukuran tubuh (muat padan) dan selesa digayakan orang muda hingga warga emas,” katanya.

Bagi baju Melayu, Ren mengambil inspirasi daripada rekaan zaman 90-an dengan menonjolkan gaya lebih klasik dan eksklusif, sesuai dengan pemilihan fabrik berkualiti.

“Kami bawakan rekaan baju Melayu pesak menggunakan kain yang lebih selesa dan sejuk, sesuai dengan cuaca di Malaysia. Walaupun semua busana direka mengikut ukuran tubuh, tetapi ia tidaklah melangkaui norma dan bentuk tradisi. Ia hanya menampakkan susuk tubuh yang lebih kemas, sekali gus menonjolkan gaya moden si pemakai.


BAJU Melayu merah jambu ini sesuai untuk mereka yang berani.

“Kurta juga sama. Rekaan saya bukan terarah kepada golongan muda saja kerana bapa sendiri adalah penggemar kurta. Apa yang penting, rekaan ini menampakkan pemakai lebih muda dan bergaya.

“Selain itu, kita juga mahu mendidik masyarakat supaya tidak bersikap keterlaluan dalam fesyen. Selain dipakai pada hari raya, kurta dan baju Melayu ini masih sesuai untuk majlis formal, makan malam, menghadiri majlis perkahwinan atau ke pejabat. Ia praktikal untuk pelbagai acara dan menjimatkan perbelanjaan,” katanya.

Jelas Ren, semua koleksi terdapat dalam sembilan jenis warna menarik antaranya ungu, merah, merah jambu, merah manggis, hitam, biru kelasi, nilakandi, kuning mustard dan hijau zamrud.

Semua warna berkenaan dikatakan memiliki ciri dan lambang tersendiri, mengikut selera dan peribadi pemakai. Rekaan dan kekemasan busana pula menampakkan pemakai lebih berkeyakinan dan mempesona. Kurta dijual pada harga RM137, sementara baju Melayu boleh didapati pada harga RM157.


SEGAK menyambut tetamu di pagi lebaran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 10:47 AM