SENAMAN yang betul mampu mengawal perubahan emosi akibat fibromialgia.
AKUPUNTUR antara rawatan bukan farmakologi untuk pengurusan penyakit fibromialgia.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Fibromialgia ialah sejenis gangguan sakit rangka otot jangka panjang (kronik) yang meluas dengan gejala seperti tidur terganggu, kelesuan pada awal pagi, sakit kepala, hilang ingatan jangka pendek, kerengsaan pada pundi kencing dan kadangkala sindrom kerengsaan usus. Isyarat kesakitan akan diproses oleh otak dan dari sinilah ia menentukan tahap kesakitan yang dialami.

Masalah kesakitan kronik ini ialah satu jenis penyakit saraf dan dikenali sebagai kesakitan tidak mencucuk yang berterusan. Fibromialgia digambarkan sebagai gangguan amplifikasi kesakitan pusat iaitu tahap kesakitan di bahagian otak berada pada paras terlalu tinggi.

Keadaan ini adalah masalah umum yang menjejaskan dua hingga lima peratus penduduk dan ia lebih kerap dialami wanita pada usia muda sehingga pertengahan umur.

Kemungkinan untuk wanita mengalami fibromialgia adalah tujuh kali lebih tinggi berbanding lelaki. Penyakit ini sering disilap diagnos sebagai penyakit degeneratif (osteoartritis) kerana simptomnya yang seakan-akan sama.

Pakar Perunding Reumatologi dan Doktor Perubatan Dalaman Dr A Ramani berkata, punca fibromialgia tidak diketahui dan ia lazimnya berlaku selepas pesakit mengalami trauma fizikal, kedukaan, tekanan yang tinggi, pembedahan atau jangkitan.

Katanya, ia kadangkala berlaku secara beransur-ansur tanpa sebarang penyebab utama dan walaupun fibromialgia boleh menjejaskan kualiti hidup, ia masih dianggap sebagai tidak memudaratkan dari segi perubatan.

Menurutnya, fibromialgia juga tidak menyebabkan serangan jantung, strok, kanser, kecacatan fizikal mahupun kehilangan nyawa.

Gejala Fibromialgia

Simptom utama fibromialgia termasuk:

- Kesakitan meluas

- Kelesuan (keletihan yang melampau)

- Gangguan tidur

Simptom sampingan:

- Sindrom kerengsaan usus (cirit-birit atau sembelit)

- Kerengsaan pundi (keperluan segera untuk buang air kecil)

- Mudah terganggu

- Sakit kepala

- Hilang ingatan jangka pendek

- Rasa menggelenyar, kebas atau bengkak pada tangan kerana peredaran darah kurang baik

Keadaan lain yang dikaitkan dengan fibromialgia:

- Kelesuan

- Kemurungan atau keresahan

- Sakit sendi

- Sindrom kaki resah

- Kekeringan mata

- Gangguan sendi temporomandibular - sakit pada sendi rahang yang terhubung pada tengkorak

- Hipotiroidisme

Simptom yang dialami oleh pesakit adalah berbeza dan berlainan dari hari ke hari. Simptom kesakitan yang menjadi lebih teruk akan menjejaskan kehidupan seharian pesakit.

Disebabkan keletihan yang melampau, penghidap fibromialgia tidak dapat berfikir secara jelas atau mereka juga boleh mengalami hilang ingatan jangka pendek. Keadaan ini dikenali sebagai kabut fibro (kabut otak).

Pesakit yang mengalami kabut otak akan menunjukkan kemerosotan prestasi dalam menjalankan tugasan membabitkan ingatan jangka pendek, ingatan pengenalan kembali, ingatan bebas di samping kemahiran dan kefasihan untuk bertutur.

Pesakit juga mungkin mengalami kekeliruan mental, penurunan memori dan masalah dalam pertuturan. Kesakitan boleh dirasai di seluruh badan atau mungkin lebih menyakitkan di bahagian badan tertentu dan kadangkala cuaca juga boleh mempengaruhi tahap kesakitan.

Diagnosis

Berdasarkan pemerhatian pakar reumatologi, fibromialgia ialah gangguan kedua paling umum dan secara purata, ia mengambil masa lebih dua tahun untuk mengesahkan seseorang itu menghidap penyakit ini, dengan kira-kira 75 peratus daripada penghidapnya belum didiagnos.

Kegagalan membuat diagnosis pada peringkat awal menyebabkan impak sosioekonomi, yang mengakibatkan pembaziran sumber yang besar, selain kehilangan produktiviti dan kualiti kehidupan.

Menurut Dr Ramani, tiada ujian darah, ujian sinar-x atau imbasan khusus yang boleh dibuat untuk mengenal pasti fibromialgia.

Ini menjadikan diagnosisnya sukar kerana simptomnya berubah-ubah dan mungkin menyerupai penyakit lain, contohnya penyakit hipotiroid, kekurangan vitamin D dan masalah autoimun lain seperti artritis reumatoid.

“Doktor lazimnya akan menjalankan ujian darah untuk memastikan simptom yang dialami bukan disebabkan punca yang lain,” katanya.

Punca

Punca penyakit ini tidak diketahui. Pesakit lazimnya berdepan dengan tekanan yang menyebabkan mereka mengalami gangguan tidur.

Faktor tekanan ini mungkin bersifat emosi yang lahir daripada masalah hubungan peribadi, kehilangan ahli keluarga, tekanan di tempat kerja atau sakit akibat kecederaan fizikal, selepas pembedahan besar atau disebabkan artritis.

Bagaimanapun, katanya, sesetengah pesakit tidak menyedari punca tekanan mereka. Kajian yang dijalankan ke atas gelombang otak menunjukkan pesakit fibromialgia tidak dapat tidur nyenyak.

Penyelidikan menerusi imbasan otak khas pula menunjukkan jika gangguan tidur berterusan ia boleh mengakibatkan perubahan kepada sistem saraf otak untuk memproses kesakitan.

Kesannya ialah hipersensitiviti dan tahap kesakitan akan lebih dirasai. Walaupun kesakitan fibromialgia berbeza daripada rasa sakit yang biasa dialami selepas trauma fizikal, tidak bermakna ia harus diabaikan sama sekali.

Selepas mengalami trauma fizikal, pesakit selalu berasa sakit di tempat kecederaan dan apabila pulih, kesakitan itu akan hilang.

Dalam fibromialgia pula, rasa sakit tidak tertumpu kepada bahagian tertentu dan ini menjadikannya sukar pulih atau dirawat.

Bagi kebanyakan orang, mengalami sedikit tekanan mungkin tidak menyakitkan, tetapi bagi penghidap fibromialgia, rasanya amat menyakitkan.

Keadaan emosi seseorang boleh memburukkan lagi kesakitan dan secara tidak disedari, ini boleh menimbulkan tekanan dan kemurungan.

Interaksi di antara faktor fisiologi, neurologi dan psikologi menyebabkan fibromialgia dan kitaran kesakitannya, gangguan tidur dan kelesuan berterusan.

Rawatan dan Pengurusan

Tiada penawar bagi fibromialgia, tetapi rawatan boleh diberikan berasaskan usaha mengawal simptom. Pengurusan diri adalah penting dalam hal ini.

Doktor akan berusaha melegakan simptom kesakitan, di samping mengubah sikap pesakit terhadap penyakit mereka dan mendidik amalan yang dapat membantu pesakit menangani masalah dihadapi.

Pendekatan ini merangkumi rancangan pengurusan pelbagai cara yang termasuk rawatan bukan farmakologi, iaitu seperti tidur yang sihat, senaman, terapi fizikal, urut, akupuntur, terapi tingkah laku kognitif dan sokongan pengurusan diri, di samping rawatan farmakologi iaitu seperti ubat penahan sakit, penenang dan ubat neuropati khusus.

Setiap aspek rawatan adalah sama penting dan pengambilan ubat semata-mata tidak akan membantu penghidap fibromialgia.

1. Rawatan bukan farmakologi

Rawatan bukan farmakologi termasuk sesi rawatan dengan ahli fisioterapi. Kaedah fisioterapi utama ialah hidroterapi iaitu senaman dalam air suam. Ini membantu mengendurkan dan mengentalkan otot kerana air menyokong berat badan dan menjadikan anggota badan tidak begitu sakit untuk digerakkan.

Fisioterapi membantu memperbaiki postur, kualiti hidup dan membantu pesakit beransur-ansur aktif.

Ini penting kerana apabila berasa sakit, pesakit kurang bergerak dan ini menjadikan otot mereka kurang cergas.

Lama-kelamaan ia menyebabkan kelemahan dan kesakitan selanjutnya. Perlu diingat bahawa jika anda tidak menggunakan otot, kekuatannya akan merosot.

2. Terapi Tingkah Laku Kognitif

Kesakitan kronik boleh menyebabkan perubahan dalam kesihatan emosi seseorang. Ia mempengaruhi mood menyebabkan pesakit berasa sedih, resah, murung dan ketakutan.

Kebimbangan mengenai kesakitan yang semakin teruk menyebabkan pesakit mengelakkan sebarang aktiviti, dan kesannya ialah keadaan otot semakin menjadi kurang cergas dan lemah kerana tidak digunakan.

Terapi tingkah laku kognitif (CBT) membantu memberi tumpuan memisahkan aspek kesakitan yang berbeza, menjadikannya lebih mudah untuk diurus dan ditangani. Perubahan kecil dalam satu aspek seperti tingkah laku boleh meningkatkan tahap kesihatan emosi dan fizikal.

Pesakit diajar teknik bertenang, senaman pernafasan dan pendekatan mengawal tahap aktiviti kehidupan. Pesakit fibromialgia akan menghadapi hari yang sihat dan kurang sihat. CBT mengajar cara untuk menangani hari yang kurang sihat.

Pada hari pesakit berasa sihat, mereka perlu mengawal aktiviti kerana mereka cenderung melakukan terlalu banyak aktiviti, menyebabkan kesakitan yang amat sangat pada keesokan harinya.

Kaunselor juga mengajar pesakit agar menjaga diri pada hari mereka kurang sihat. Keadaan ini menyebabkan mereka cepat resah.

3. Rawatan farmakologi (ubat-ubatan)

Matlamat utama rawatan farmakologi adalah untuk mengawal corak tidur, menguruskan kesakitan dan kemurungan yang dikaitkan dengan fibromialgia. Rawatan ini tidak memulihkan fibromialgia, tetapi ia membantu mengawal simptom supaya pesakit boleh melakukan sedikit kegiatan fizikal ringan dan menikmati kualiti kehidupan yang baik.

Kesimpulan

Fibromialgia tidak seharusnya mengekang kehidupan. Dengan kombinasi rawatan termasuk ubat-ubatan, pengurusan tekanan dan aktiviti fizikal dan penjagaan diri yang rapi, pesakit boleh menjalani kehidupan yang normal dan memuaskan.

Mereka yang mempunyai gejala atau simptom fibromialgia atau sebarang bentuk sakit saraf digalak mendapatkan nasihat perubatan dan menerima rawatan yang sewajarnya.

Ini bukan saja untuk meredakan simptom kesakitan dan memastikan fungsinya tidak terjejas, tetapi lebih penting, mengurangkan komplikasi jangka panjang serta tekanan dan masalah berterusan bagi diri pesakit dan juga insan tersayang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mei 2018 @ 2:06 PM