HIDANGAN menyihatkan ketika Ramadan, trout bakar dalam daun pisang.
ALEXANDRA membuat penyediaan masakan trout sebelum dipanggang dalam ketuhar.
HM Digital

Menikmati makanan yang sihat dan kaya nutrien sepanjang Ramadan amat penting untuk menjaga tahap tenaga, mengekalkan tumpuan mental dan membantu badan berfungsi secara lancar sepanjang hari.

Ikan trout Fjord Norway boleh menjadi sebahagian diet yang penting pada masa ini kerana mempunyai protein yang tinggi, penuh dengan antioksidan dan lemak Omega 3.

Ia bahan penting yang sepatutnya dipertimbangkan apabila memasak untuk berbuka puasa dan sahur.

Menurut pakar pemakanan Alexandra Prahabaran, ikan ini sesuai untuk hidangan yang sihat, seimbang dan berkhasiat semasa Ramadan.

Trout yang kaya dengan protein membantu mencegah kelaparan dan keletihan sehingga tiba waktu berbuka puasa. Lemak omega 3 yang sihat di dalam ikan ini juga boleh meningkatkan fokus mental.

Protein satu kemestian

Ketika bulan puasa, mungkin ada antara kita lebih rela tidur dan melangkau sahur atau hanya mengambil kudapan ringan, namun memberi perhatian terhadap apa yang anda makan ketika ini boleh menjadi perbezaan besar pada siang hari ketika berpuasa. Makan makanan yang kaya dengan protein seperti trout akan mengurangkan rasa lapar dan menghalang kerosakan tisu, malah memfokuskan fikiran anda sehingga tiba masanya berbuka puasa.

Protein adalah komponen penting bagi setiap sel dalam badan. Ia membantu membina dan memperbaiki tisu, menghasilkan enzim dan hormon dan komponen penting dalam tulang, otot, rawan serta darah. Diet tinggi protein akan memastikan anda berasa kenyang dan berpuas hati, sementara tubuh akan mendapat manfaat yang cukup untuk membaik pulih sepenuhnya semasa Ramadan

Omega 3 meningkatkan tumpuan mental

Semasa bulan puasa, sangat penting untuk makan makanan kaya omega 3 kerana ini akan membantu meningkatkan daya tumpuan anda. Trout tinggi dalam asid lemak yang akan membantu anda terus fokus sepanjang hari dan meningkatkan mood dan fokus mental keseluruhan.

Lemak sihat membakar lemak perut

Perubahan masa makan berpuasa meletakkan tubuh dalam tekanan. Apabila tahap tekanan meningkat, kita lebih mudah terdedah dengan peningkatan berat di kawasan seperti perut. Makan makanan kaya lemak sihat seperti trout membantu membakar lemak perut yang berlebihan. Ia membantu tubuh membakar lemak dan bukannya simpanan glukosa dalam tubuh untuk mendapatkan tenaga. Ini akan membentuk badan yang lebih ramping dan sihat.

Kulit berseri

Perubahan jadual tidur dan waktu makan sepanjang Ramadan boleh memberi kesan kepada kulit. Kulit boleh kelihatan kusam dan tidak bermaya semasa tempoh ini dan cara yang baik untuk mengekalkannya adalah menambah trout dalam diet anda. Minyak ikan membantu dalam meremajakan sel, menyuburkan rambut, kulit dan kuku berseri yang membuatkan ia sihat secara keseluruhan.

Boleh didapati di kebanyakan pasar, pasar raya dan kedai makanan laut di Malaysia, ikan ini sama dengan salmon, tetapi trout dikategorikan sebagai ikan jenis ‘mewah’ kerana dagingnya berwarna merah jingga yang mendalam dengan sedikit warna putih.

Ikan ini mempunyai rasa yang mewah juga. Selain mempunyai kulit berkilat seperti salmon, ia boleh membesar sehingga 2.5 kilogram, iaitu kecil sedikit daripada salmon.

Norway mempunyai alam semula jadi yang sempurna untuk ikan ini, dikelilingi perairan ais yang sejuk dan berpanjangan jauh ke dalam garisan pantainya.

Sebenarnya tidak ramai yang tahu cara untuk menyediakan hidangan sesuai menggunakan ikan trout. Untuk membantu anda, Alexandra berkongsi resipi dan cara memasak ikan trout dengan menampilkan hidangan lazat yang boleh disediakan dalam masa singkat.

Ikan trout bercili dengan bubur quinoa

- 1 filet trout

- daun limau purut, dihiris nipis

- 1 limau, dihiris

- 1 cili padi merah, dihiris

- 1 genggam daun ketumbar (daun sup)

- 1 cawan quinoa, dimasak

- 1 cawan stok ikan

- 1 daun bawang, dihiris

- Garam dan lada, secukup rasa

Cara penyediaan:

1. Masuk quinoa yang sudah dimasak dan stok ikan ke dalam periuk dan reneh hingga ia menebal menjadi bubur keseluruhannya.

2. Sementara menunggunya masak, letak ikan trout, daun limau purut, limau, cili padi dan daun ketumbar di atas kerajang aluminium.

3. Taburkan garam dan lada secukup rasa dan balut dengan ketat, lalu bakar menggunakan ketuhar dengan suhu 200 darjah Celsius selama 15 minit.

4. Letakkan bubur di dalam mangkuk. Selepas ikan trout dimasak, keluarkan dari ketuhar dan hidangkan atas bubur bersama sedikit daun bawang.

Trout bakar dalam daun pisang

- 1 filet trout

- 1 sudu makan serbuk kari ikan

- 1 sudu makan serbuk cili

- 1 sudu teh gula perang

- 1 sudu teh belacan, diparut

- Daun limau purut, dicincang halus

- Minyak zaitun

- Garam secukup rasa

- Daun pisang

Cara penyediaan:

1. Gaulkan serbuk kari, serbuk cili, belacan, gula dan garam bersama. Buat belahan atas kulit trout.

2. Sapu campuran rempah pada ikan. Pastikan daun limau purut dimasukkan ke belahan ikan.

3. Taburkan sedikit minyak di atas ikan dan bungkus dengan daun pisang.

4. Panggang bungkusan itu di dalam ketuhar dengan suhu 220 darjah Celsius selama 15 minit. Hidangkan dengan sambal di tepinya.

-Yusliza Yakimir Abd Talib

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mei 2018 @ 1:53 PM