NOOR Nahar menggembur tanah bagi memastikan tiada siput perosak.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Minat bercucuk tanam bermula 10 tahun lalu ketika menetap di Cheras, Kuala Lumpur. Walaupun tinggal di kediaman jenis kondominium, Noor Nahar Kadir Ismail, 45, membuktikan dia boleh menghijaukan balkoni dengan sayur-sayuran. Malah, penginapannya sering menjadi tumpuan tetangga untuk melihat sendiri sayur-sayuran yang ditanam di dalam pasu di ruang balkoni rumahnya.

Antara yang menghiasi kebun kecilnya adalah pisang, pandan, limau kasturi, cili, tomato dan pokok kari.

“Saya sendiri tidak sangka pisang boleh berbuah walaupun ditanam di dalam pasu. Malah, selepas buah pertama, banyak anak pokok pisang tumbuh di sekitarnya sehingga saya terpaksa memberikan kepada jiran tetangga yang berminat menanam di rumah mereka,” jelasnya.

Apa yang penting adalah rajin menyiram dan memberi baja. Pencahayaan yang baik juga menyebabkan tumbuhan ini hidup subur selain sentiasa membersihkan rumput kecil di dalam pasu.

Menurut Noor Nahar, hobi berkebun bermula sejak remaja. Ia diwarisi daripada ibu yang turut mempunyai kebun di belakang rumah. Oleh kerana sering membantu ibu membersihkan kawasan tanaman dan bersama-sama menjaganya membuatkan wanita ini semakin tertarik untuk menjadikannya sebagai aktiviti harian apabila dewasa nanti.

Selepas melangsungkan perkahwinan, dia bersyukur kerana dikurniakan suami dan ibu mentua yang menyokong aktiviti berkebunnya. Lebih menggembirakan apabila ibu turut mempunyai hobi yang sama.

“Selepas berkahwin, saya mendapat sokongan ibu mentua apabila dia turut mempunyai minat yang sama. Banyak benih sayuran saya peroleh daripadanya. Antaranya pisang, kunyit dan temu kunci yang ditanam di dalam pasu.

“Walaupun ruang sangat sempit, dengan pencahayaan dan air secukupnya tanaman boleh hidup selama bertahun-tahun. Pisang antara tanaman yang terbukti boleh ditanam di dalam pasu,” katanya.

Sebaik saja memiliki kediaman sendiri di Putrajaya, dia meneruskan minat berkebun dengan bercucuk tanam di kawasan tanah lapang di belakang rumah. Walaupun kawasan tidaklah luas, cukup untuk dimanfaatkan dengan sayur-sayuran dan herba yang ada khasiat kesihatan.

“Antara sayuran yang ditanam termasuk kesum, cili padi, pandan, kunyit, pokok kantan dan limau kasturi. Kesemua tanaman ini mudah hidup walaupun kurang diberikan perhatian. Pemilihannya juga disebabkan ia digunakan dalam masakan. Mudah, petik saja di belakang rumah,” katanya.

Jelas ibu kepada tiga cahaya mata ini, sejak bercucuk tanam, dia dapat menjimatkan perbelanjaan dapur. Ada kalanya herba ini jarang terdapat di pasar raya, jadi dengan menanam sendiri ia memudahkan tugas memasak.

“Saya memilih sayuran yang memang digunakan setiap hari. Misalnya daun kesum untuk asam pedas, kunyit untuk masak lemak cili padi dan rendang, pandan untuk bubur dan nasi serta ulam-ulaman yang lain manakala cili padi sememangnya digunakan untuk menambah kepedasan dan hidangan. Lebih penting sayur kampung ini mudah hidup dan tahan lasak.

“Pokok kesum hanya hidup di kawasan berair, namun sekiranya rajin menyiram, ia juga subur jika ditanam di dalam pasu. Begitu juga kantan dikatakan hanya hidup di kawasan berair, tetapi saya membuktikan tanaman ini boleh tumbuh subur di dalam pasu,” katanya ceria.

Mengakui tidak habis menggunakan sayuran herba seorang diri, jadi apabila sayuran sudah matang dan boleh dipetik, hasilnya akan dikongsi bersama jiran.

Tambahnya, kebanyakan jiran juga mempunyai hobi yang sama, jadi selain berkongsi pendapat mereka juga bertukar-tukar sayur-sayuran apabila sudah boleh dipetik. Ini secara tidak langsung dapat mengeratkan perhubungan antara satu lain.

Ditanya tumbuhan paling mencabar, Noor Nahar terus menunjukkan pokok pudina yang ditanam di dalam pasu berhampiran pokok cili. Pudina banyak kegunaannya kerana selain memberikan kesegaran, ia baik untuk kesihatan dan sistem penghadaman. Namun penjagaannya sedikit mencabar terutama dalam memastikan tumbuhan ini hidup lama.

“Saya dapat benih pudina daripada rakan. Mula-mula memang teruja menjaga tanaman ini, tetapi terasa ia sedikit sukar dan saya perlu berhati-hati ketika menyiram kerana air perlu mengikut sukatan betul. Jumlah air tidak boleh terlebih atau terkurang kerana ia mengakibatkan tumbuhan mati.” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mei 2018 @ 9:25 AM