KOLEKSI RTW manis digayakan pada lebaran.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Mainan warna terang dan pastel dengan corak flora menjadi pertaruhan buat jenama Idasu bertemakan ‘ketelusan’ dalam menggambarkan perasaan wanita menjelang lebaran.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sana sini orang menggayakan padanan polos yang menjadi trend dan dirasakan lebih bergaya. Jemu dengan helaian polos yang sudah digayakan beberapa tahun, kali ini apa kata mengubah selera mencuba padanan bercorak yang tidak kurang cantiknya.

Apatah lagi jika corak khususnya lakaran flora indah menghiasi pakaian. Jika bijak memilih, anda boleh tampil menyerlah, manis, ceria dan tampil lebih muda.

Daripada rekaan baju kurung labuh, kurung pendek dan kebaya, ciri tradisional tetap dikekalkan dalam potongan moden untuk memberi lebih keselesaan buat si pemakai.

Diasaskan oleh Datuk Ida Suraya Mustapha dan M Adhli, koleksi itu adalah percubaan pertama mereka menyediakan pelanggan pilihan pakaian sedia dipakai (RTW).


GAYA kurung labuh yang tidak lapuk ditelan zaman.

Bagi koleksi hari raya ini, jenama itu menampilkan rekaan bertemakan flora yang dibuat daripada fabrik bermutu tinggi dari luar negara untuk memberi kelainan dan keunikan kepada si pemakai.

Selain busana untuk lebaran, jenama itu juga menampilkan koleksi tudung, blaus, seluar dan pakaian kerja, sekali gus sebagai hab pakaian untuk semua lapisan masyarakat.


REKAAN flora menyerlahkan keanggunan.

Bagi koleksi lebaran, ia didatangkan dalam saiz bermula S hingga XL manakala harga jualan bermula daripada RM259 hingga RM499 dan tudung antara RM89 hingga RM139.

Menurut Ida, visi jenama itu menawarkan rekaan RTW dengan pilihan pelbagai koleksi pakaian harian hingga majlis pada harga kurang daripada RM600 dengan kualiti fabrik terbaik dari negara Eropah dan Amerika Syarikat setanding jenama pakaian antarabangsa.


CIRI tradisi dikekalkan dengan pengaruh moden.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 9:55 AM