PESERTA melakukan senaman Zumba sebelum memulakan larian.
HM Digital

Gejala buli yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di negara ini bukanlah perkara baru. Ini berdasarkan banyak laporan media yang menunjukkan pelbagai kejadian buli yang berlaku bukan saja di sekolah berasrama penuh malah sekolah harian biasa.

Menerusi kajian Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, sebanyak 84 peratus daripada kanak-kanak di negara ini mengalami beberapa bentuk buli sebelum mereka berumur 18 tahun, dengan kesan psikologi yang kekal sehingga peringkat dewasa.

Kajian #ForEveryChild oleh UNICEF tahun lalu pula menunjukkan tujuh daripada 10 kanak-kanak paling bimbang mengenai buli (berbanding tiga daripada 10 orang di Jepun atau empat daripada 10 orang di United Kingdom) dan 64 peratus kanak-kanak yang menyertai kajian meluahkan kebimbangan mengenai keganasan terhadap mereka.

Berdasarkan kajian yang dijalankan UNICEF pada tahun ini, kanak-kanak yang dibuli, tetapi tidak melaporkannya menyatakan sebab mereka tidak berbuat demikian kerana berasakan ia tidak akan membantu.

Tinjauan Children4Change UNICEF tahun lalu menunjukkan tiga daripada empat kanak-kanak mahu menamatkan keganasan termasuk gejala buli dan hukuman dera (di samping menginginkan pendidikan yang berkualiti dan menamatkan kemiskinan).

Atas kesedaran itu, baru-baru ini seramai 10,000 orang berlari bersama untuk mengekang gejala buli melalui kebaikan di UNICEF Borneo Marathon di Kota Kinabalu sempena kempen #StandTogether.

Dengan sokongan Kementerian Pendidikan, sebanyak 700 sekolah di seluruh negara menyertai kempen #StandTogether dan mengambil bahagian dalam Minggu Baik Kebangsaan yang diadakan buat julung kalinya pada April lalu.

Wakil UNICEF Malaysia, Marianne Clark-Hattingh berkata, gejala buli keba­nyakannya dalam cara yang tidak boleh dikesan oleh mata kasar.

Menurutnya, kata-kata, stigma dan perasaan diping­girkan menjejaskan harga diri, lalu membuatkan kanak-kanak berasa tersisih dan keseorangan.

“Justeru, kempen ini diadakan bagi membuktikan kepada mangsa buli bahawa mereka tidak keseorangan. Kami berlari supaya kita tidak mengulangi kitaran keganasan dengan membuli si pembuli pula.

“Melalui perbuatan baik hati kita akan menghentikan keganasan untuk setiap kanak-kanak,” katanya.

Dalam kempen itu, satu larian tiga kilometer untuk kanak-kanak termasuk kanak-kanak kurang upaya diadakan dan mereka berlari di samping kawan serta keluarga sebagai tanda janji bersama untuk berbaik hati.

Kempen #StandTogether bertujuan menyeru orang ramai agar bersatu dengan mangsa buli untuk menunjukkan bahawa mereka tidak keseorangan.

Ia bertujuan membuktikan kepada pembuli bahawa perbuatan mereka tidak diterima selain mahu menamatkan kitaran buli. Malah mereka mahu memberitahu bahawa membalas dengan keganasan bukan jawapannya, tetapi ha­nya kebaikan yang mampu menghentikan tindakan si pembuli.

Sebanyak tiga daripada setiap empat kanak-kanak yang memberi respons kepada Kajian Children4Change 2017 berkata, mereka bimbang mengenai buli dan mencadangkan lebih banyak kebaikan serta lebih kurang keganasan sebagai langkah untuk menangani isu berkenaan.

Mengulas lanjut, Mari­anne berkata, tiada sesiapa yang kebal daripada gejala buli malah sesiapa pun boleh menjadi mangsa atau pembuli seterusnya.

Katanya, gejala buli senang merebak dan memberi kesan terhadap anak dan ibu bapa. Ia menjejaskan kehidupan, persahabatan dan juga keluarga.

“Justeru, program membabitkan 10,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat akan mempu­nyai peluang untuk bersatu menentang gejala buli dan bergandingan tangan untuk kebaikan.

“Acara sukan keluarga ini adalah masa untuk berdiri bersama-sama mangsa buli, memberi galakan terhadap orang ramai dan mencegah perbuatan buli.

“Ini juga masa untuk kita berdiri bersama dan bersatu dalam kebaikan dan menentang perbuatan buli,” katanya. - Yusliza Yakimir Abd Talib

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 10:54 AM