PUPUR menggunakan gula untuk menghaluskan kulit.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Berbanding wajah, tangan dan bentuk tubuh, penjagaan kaki agak jarang diberi perhatian serius. Jika ada sekalipun, mungkin dalam kalangan mereka yang suka mengenakan blaus pendek, sepatu terbuka atau wanita yang gemar memanjakan diri di pusat rawatan dan kecantikan.

Bagi segelintir orang, penjagaan kaki sudah memadai dengan memastikan kuku sentiasa dalam keadaan bersih. Namun, ramai juga yang mengabaikan terus penjagaan anggota paling penting ini kerana beranggapan tidak perlu berlebihan.

Cuba perhatikan tumit, buku lali dan lutut. Ramai yang mengalami masalah kulit kering, tumit merekah dan lutut kehitaman, tetapi dibiarkan saja. Sedar atau tidak, bahagian tubuh yang tidak terjaga ini mungkin mengundang persepsi buruk kepada yang melihatnya.

Pemakaian stoking biasanya mampu menyembunyikan rupa sebenar kaki. Namun sebagai wanita, kita tidak seharusnya malas dalam hal penjagaan anggota tubuh. Cuba curi sedikit masa dan baiki setiap kelemahan yang ada. Ikuti tip mudah berikut sebagai permulaan.

1. Kaki lembut dan halus

Ada banyak petua mudah yang bukan saja mampu membantu mencantikkan kaki, malah mengurangkan rasa letih selepas banyak berjalan atau berdiri. Antaranya dengan merendam kaki dalam besen mengandungi air suam yang dicampurkan dengan garam bukit. Sental sekali bahagian tumit dengan berus sabut.

Jika anda punya masa panjang untuk memanjakan diri, campurkan secawan jus perahan lemon, empat sudu minyak zaitun, dua cawan susu dan air suam yang secukupnya ke dalam baldi. Rendamkan kaki anda ke dalam baldi dan biarkan selama 15 minit. Bilas dengan air yang bersih dan sapukan sedikit losen.

2. Pupur sekali seminggu

Tidak sukar untuk menyediakan pupur di rumah. Anda boleh menggunakan kacang, kopi, beras, asam jawa atau gula. Andai kacang hijau atau merah jadi pilihan, rendam dulu semalaman dan kisar bersama secawan susu. Beras juga perlu direndam semalaman sebelum dikisar bersama asam jawa (termasuk biji) manakala serbuk kopi dan gula boleh digunakan terus bersama air suam.

Rutin pupur yang baik boleh membantu menanggalkan sel kulit mati, memudarkan parut, mencerah dan menanggalkan daki. Bilas kaki dengan bersih setiap kali selepas berpupur dan rendam seketika dalam besen air suam. Sentiasa lapkan kaki dengan kain bersih.

3. Nyahkan bulu kaki

Ini terpulang kepada individu. Jika bulu kaki tidak mengaibkan dan tidak menyerupai lelaki, abaikan saja. Namun, jika bulu kaki menjejaskan keyakinan dan mendatangkan rasa malu (pada pasangan), anda mungkin boleh membuangnya. Elakkan mencukurnya kerana ia boleh mendorong pertumbuhan bulu kaki lebih cepat dan kasar.

Apapun, ada banyak petua menghilangkan bulu kaki menggunakan gula dan madu. Cuba sediakan lima sudu madu, lima sudu gula dan air perahan sebiji lemon. Sediakan juga kain khas yang bersih untuk digunakan bagi mencabut bulu kaki nanti. Cairkan gula dengan api yang kecil. Sebaik keperangan, masukkan madu dan jus lemon, kemudian gaul sebati. Biarkan suam sebelum menyapu pada kaki anda. Lapik kain di bahagian atas sapuan dan cabut dengan pantas selepas kiraan sepuluh. Lakukan perkara sama pada kedua-dua belah kaki. Cara lebih mudah, dapatkan produk sedia ada di pasaran.

4. Pilih kasut yang betul

Tidak kira lelaki atau wanita, ramai yang lebih mementingkan kesesuaian gaya dan penampilan berbanding kesesuaian kasut dengan kaki. Kasut yang salah dari segi saiz, bentuk dan kepadanan boleh menimbulkan masalah pada kaki. Kasut yang betul walaupun tidak akan menyelesaikan masalah klinikal pada kaki, ia masih boleh mengurangkan masalah yang dihadapi.

Memandangkan setiap orang mempunyai bentuk kaki yang berbeza, belilah kasut berdasarkan saiz tepat, sesuai, selesa serta berpadanan dengan tujuan ia dipakai. Pastikan tapak kaki berpadanan dengan tapak kasut.

Sebaiknya, beli kasut pada waktu petang kerana kaki akan mengembang selepas berjalan seharian. Tapak kasut yang tebal dan lembut dapat mengurangkan tekanan ketika berjalan, terutama di atas permukaan yang keras. Elakkan tumit kasut yang terlalu tinggi kerana ia berisiko menyebabkan ketegangan pada otot kaki.

5. Kaki berpeluh

Untuk anda yang mengalami masalah ini, pilih kasut diperbuat daripada kulit atau kanvas dan elakkan sepatu daripada buatan sintetik. Gunakan stoking dan bedak kaki yang sesuai supaya kaki sentiasa kering dan tidak berbau. Jagalah kaki anda dengan baik.

Kaki yang banyak berpeluh lebih mudah dijangkiti kulat. Jika anda penghidap kencing manis, beri keutamaan kepada penjagaan dan kebersihan kaki dan paling penting jangan sesekali berkaki ayam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 10:31 AM