NOEL Chelliah (kiri) bersama Kimberly Yap menerangkan mengenai kebaikan kentang dalam pemakanan harian.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Nasi sememangnya menjadi makanan utama rakyat Malaysia sama ada ketika berbuka puasa atau bersahur. Namun ada kala pengambilan hidangan ruji ini membuatkan tubuh cepat lapar seolah-olah tidak bertenaga walaupun berjaya menghabiskan sepinggan nasi penuh.

Mengambil nasi dalam jumlah yang banyak sebenarnya tidak memastikan seseorang itu kekal cergas sepanjang berpuasa. Ini kerana tanpa menu yang betul serta lengkap nutrisi sudah pasti matlamat utama mendapatkan badan yang cergas tidak tercapai.

Makanan yang dapat menunda rasa lapar atau membuatkan kenyang lebih lama perlu tinggi protein kerana ia melambatkan proses pencernaan. Selain itu, pilih jenis karbohidrat kompleks kaya serat seperti roti gandum, nasi merah, kentang dan bijirin.

Namun perhatikan juga saiz hidangan. Dalam satu pinggan pastikan setengahnya adalah sayur-sayuran dan buah-buahan manakala satu perempat adalah lauk-pauk dan nasi.

Bagi membuktikan kebaikan kentang, dalam jurnal Nutrition Today terbitan Amerika Syarikat, ada mengatakan diet seimbang harus mengandungi makanan kaya karbohidrat semula jadi dan berkualiti seperti kentang yang padat nutrisi.

Ini diakui Cef selebriti Muhammad Naim Ramli yang lebih dikenali sebagai Cef Naem yang menerangkan makanan berasaskan kentang membuatkan seseorang itu lebih bertenaga dan kenyang lebih lama. Sambil menyediakan tiga menu utama berasaskan kentang iaitu smoothie nangka kentang AS, tomyam hash brown AS dan kentang AS on the go, tiga hidangan ini bagus untuk memberikan tenaga berpanjangan terutama mereka yang gemar bersukan.


CEF Naem menunjukkan tiga menu berasaskan kentang.

“Sebiji kentang mengandungi 620 miligram potasium iaitu lebih banyak daripada sebiji pisang berukuran sederhana. Dengan memiliki kandungan potasium yang tinggi, kentang dapat membantu fungsi otot, kardiovaskular dan sistem saraf ketika bersukan yang memerlukan daya ketahanan lebih tinggi,” katanya.

Jelasnya lagi, terdapat pelbagai kaedah memasak kentang boleh dilakukan antaranya dengan membakar, merebus atau menggoreng. Kentang AS on the go misalnya mudah disediakan terutama ibu berkerjaya, juga berkhasiat dan sesuai dijadikan hidangan untuk bersahur.

Dalam sesi pembentangan kepada media menerusi acara bertemakan Cergas Dengan Kentang AS di Pusat Konvensyen Sime Darby menunjukkan pentingnya kentang dalam diet harian terutama untuk ahli sukan. Ini kerana kentang membekalkan karbohidrat, kalium dan tenaga yang diperlukan untuk memberikan kecergasan dan ketahanan badan.


KENTANG AS on the go mudah disediakan.

Kajian dijalankan sepanjang 40 hingga 50 tahun lalu menunjukkan karbohidrat ialah mikronutrien utama untuk mengekalkan dan meningkatkan prestasi atlet. Di peringkat global pula, kentang semakin diterima sebagai makanan berprestasi tinggi.

Ketika Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di Korea Selatan, mereka mengakui pemakanan adalah sebahagian penting daripada strategi atlet untuk menang. Malah dalam dapur perkampungan atlet PyeongChang 2018, dilaporkan hampir 180 cef menyediakan 7,000 sajian makanan sehari dan kentang adalah makanan ruji utama mereka.

Jurulatih Sukan dan Kecergasan DailyMuscle Lighthouse, Noel Chelliah dan pemenang pingat emas triatlon, Kimberly Yap diundang untuk memberikan pendapat mengenai khasiat pemakanan kentang dengan penekanan kepada ciri dan nutrien penting untuk menambah baik prestasi atlet.


TOMYAM hash brown AS enak untuk berbuka puasa.

“Kentang baik bukan saja untuk makanan harian tetapi pengurusan berat badan. Kentang juga digunakan sebagai sumber tenaga untuk memperkasakan mereka yang menjaga kecergasan terutama jaguh sukan,” kata Kimberly yang juga pemenang pingat emas triatlon di dua temasya Sukan SEA.

Noel Chelliah menambah, dalam soal penjagaan pemakanan, seseorang perlu mengira sukatan pengambilan makanan harian dan jumlah karbohidrat, protein dan lemak sewajarnya. Kentang menepati keperluan ini dan adalah makanan berkhasiat dan sesuai buat penggiat sukan lasak.


MINUMAN campuran nangka dan kentang AS.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 1:02 PM