JUARA Jaguh Dapur, Mohd Hilmi (tengah) bersama Tuan Mohd Asri (empat dari kanan), Michelle Nunis (tiga dari kiri), Cef Fikree dan Cef NorZailini (tiga dari kanan) bersama peserta akhir pertandingan Jaguh Dapur Harian Metro-Kimball.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


Berpengalaman menyediakan hidangan untuk majlis keraian dalam jumlah yang besar memberi kelebihan kepada pembantu kedai Mohd Hilmi Mohamad Alias, 29, muncul juara Jaguh Dapur Harian Metro-Kimball yang diadakan di Giant Kota Damansara, minggu lalu.

Mohd Hilmi menghasilkan resipi bergedel kari salsa sos mayonis dan sotong sumbat kacang kuda cita rasa Kimball, menggunakan dua bahan daripada kotak misteri iaitu keledek dan tauhu lembut. Dia berjaya mendapat pujian juri apabila menghidangkan menu secukup rasa dengan hiasan menarik mengalah empat peserta lain.

Menurut Mohd Hilmi, ketika membuka kotak misteri dia tidak menjangkakan di dalamnya keledek dan tauhu.

Bahan itu membuatkan dia berfikir lama kerana sebelum ini tidak pernah merasai hidangan berasaskan tauhu.


LIMA peserta menunjukkan kepakaran memasak ketika pertandingan akhir Jaguh Dapur Harian Metro-Kimball.

“Keledek sememangnya sayuran biasa yang mungkin tidak sukar dimasak berbanding tauhu kerana saya sendiri tidak tahu bagaimana rasanya. Namun saya cuba hasilkan yang terbaik dengan membuat bergedel dan sotong sumbat menggunakan kedua-dua bahan ini,” katanya gembira.

Kemenangan itu tidak dijangka kerana peserta lain tidak kurang hebatnya. Namun ia satu pengalaman baru bagi Hilmi kerana pertandingan ini menjadi batu loncatan untuk menambah kemahiran dalam bidang masakan.

“Sejak kecil saya memang suka memasak. Minat ini diteruskan sehingga sekarang malah dalam majlis kenduri secara kecil-kecilan memang saya ditugaskan menyediakan hidangan untuk tetamu,” katanya yang membawa pulang wang tunai RM10,000, plak, bekalan produk Kimball untuk setahun, baucar PETRONAS RM500 dan peluang menyumbang resipi ciptaannya dalam ruangan Hati di Harian Metro.

Bagi pemenang kedua, Chan Hee Mooi, 63, menggunakan semua teknik memasak termasuk membakar, merebus, kukus dan menggoreng ketika pertandingan akhir memberi kelebihan menghasilkan dua hidangan enak berasaskan keledek dan tauhu iaitu Kimball happy family dan Kimball spring platter.


AKSI pemenang kedua, Chan Hee Mooi ketika menyediakan bebola keledek.

Walaupun tidak pernah memasak menggunakan keledek sebelum ini dia mengambil inspirasi daripada kuih keria namun menukarnya menjadi bebola keledek dengan meletakkan inti gula Melaka di dalamnya.

“Resipi ini saya hasilkan secara spontan menggunakan sos Kimball dan kacang kuda. Ketika pertandingan saya tidak fikir menang atau kalah kerana tujuan saya menyertainya untuk membuktikan saya juga boleh memasak mengikut kriteria ditetapkan,” katanya yang membawa pulang wang tunai RM5,000, plak, bekalan barangan Kimball untuk tiga bulan dan baucar PETRONAS RM500.

Menggunakan semua pengalaman ketika menyediakan hidangan barat dan tradisi memberi ilham kepada Amy Norina Jamil menyediakan resipi kerabu keledek mangga dan mayonis Kimball, serta ayam panggang sos lada mayonis dan tauhu sos tiram dalam pertandingan akhir Jaguh Dapur baru-baru ini. Dia menerima wang tunai RM3,000, plak, bekalan produk Kimball selama sebulan dan baucar PETRONAS RM500.

Ketika pertandingan dia langsung tidak menyangka diberikan keledek dan tauhu sebagai bahan utama. Namun Amy mengekalkan rasa tauhu dan menambah keenakannya dengan sos tiram. Untuk keledek pula dia menghasilkan kerabu keledek bersama mangga selepas mendapat idea secara spontan.

Dua pemenang sagu hati, Muhammad Falihin Jasmi dan Horiyah Salleh, masing-masing menerima wang tunai RM500 dan produk Kimball. Falihin menyediakan resipi kerabu daging tauhu dan ayam tandori manakala Horiyah menyediakan hidangan enak prata keledek sos tiram dan mayonis bersama tauhu kukus.


MUHAMMAD Falihin mempersembahkan hidangannya untuk dinilai juri.

Menurut Pengarah Pemasaran Campbell Soup Asia Tenggara, Michelle Nunis, dia berbangga kerana dapat menjalinkan kerjasama menganjurkan pertandingan akhir Jaguh Dapur bersama Harian Metro.

“Saya teruja melihat kesemua peserta menunjukkan kesungguhan mereka dalam pertandingan ini. Mereka kelihatan sangat profesional dan kreatif ketika menghasilkan makanan. Sebagai juri selain rasa kami menilai menerusi kreativiti mereka menghias makanan,” katanya.

Pengarang Eksekutif Harian Metro Tuan Mohd Asri Tuan Hussein berkata, beliau bangga dengan kreativiti setiap peserta akhir, yang menunjukkan kebolehan seperti tukang masak profesional.

“Kami berharap dapat mengadakan pertandingan seperti ini pada tahun hadapan mengikut zon utara, selatan, timur dan tengah. Terima kasih kepada penaja; Kimball, Giant dan PETRONAS, yang membolehkan acara ini diadakan dengan jayanya,” katanya.

Juri pertandingan Cef Norzailina Nordin, menyifatkan pertandingan Jaguh Dapur Harian Metro-Kimball wajar diadakan sebagai acara tahunan kerana ia dapat mencungkil bakat baru dalam bidang masakan. Lebih penting kebanyakan peserta terdiri daripada golongan profesional dan suri rumah serta tidak mempunyai pendidikan asas dalam bidang masakan.


DUA menu Mohd Hilmi yang menyaksikan dia beroleh kemenangan.

“Saya melihat pertandingan ini mampu menonjolkan idea baru menggunakan bahan jenama Kimball seperti sos, pasta dan kacang kuda. Ia pastinya sesuatu yang mencabar apabila mereka dikehendaki menyediakan dua hidangan dalam masa ditetapkan. Pelbagai teknik memasak juga cuba digunakan secara kreatif. Hasilnya sangat mengujakan saya dapati masakan mereka seperti tukang masak profesional,” katanya.

Selain Cef Norzailina acara diadili tiga juri lain iaitu Cef Fikree Adnan, Tuan Mohd Asri dan Michelle. Jaguh Dapur Harian Metro-Kimball menerima ratusan penyertaan dari seluruh Malaysia. Sebanyak 25 peserta terpilih yang membawakan resipi mereka untuk diadili ke peringkat separuh akhir.

Sepuluh peserta terpilih ke peringkat separuh akhir yang berentap menjadi lima terbaik untuk memasuki peringkat akhir. Mereka ditugaskan menyediakan resipi sendiri menggunakan rangkaian produk sos Kimball, sama ada cili, tomato dan perisa tiram atau mayonis sebagai rencah masakan.

Acara turut diserikan dengan kehadiran cef cilik Danish Harraz yang menunjukkan cara mudah menyediakan dua resipi berkhasiat fritata sayuran bersama roti dan keju dan quasedilla ayam bakar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 3:04 PM