SPAGETI oglio olio.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Kekangan masa disebabkan pulang lewat ke rumah di tambah anak-anak yang cerewet membuatkan ramai ibu buntu memikirkan menu makan malam untuk seisi keluarga. Ini menyebabkan ada yang mencari jalan mudah dengan membeli makanan di luar.

Menurut Raja Zarina Raja Othman, 46, perancangan dalam menyediakan hidangan sama ada makan malam atau tengah hari adalah sangat penting. Jika boleh, buat jadual selama seminggu dengan membabitkan suami dan anak-anak dalam perancangan itu.

“Pastikan anda bertanya suami dan anak-anak menu kegemaran mereka. Makan malam tidak semestinya nasi bersama lauk pauk. Ada ketikanya ibu boleh menyediakan spageti oglio olio makanan laut atau ayam bersama campuran sayur-sayuran. Hidangan ini mengandungi nutrisi diperlukan tubuh. Paling penting selain sedap ia juga berkhasiat untuk anak-anak,” katanya.

Menurut Raja Zarina lagi spageti sesuai untuk mereka yang berdiet berbanding mi kuning. Ia boleh dimasak menggunakan pelbagai bahan, sayur-sayuran dan minyak zaitun. Bagi mereka yang inginkan rasa pedas boleh melebihkan serbuk cili atau lada hitam di dalam masakan.

Menjalankan perniagaan makanan secara dalam talian, Raja Zarina hanya menggunakan bahan berkualiti dalam masakannya dan tidak kedekut memasukkan banyak bahan basah seperti ayam dan sayur.

“Sebenarnya inilah rahsia menjadikan hidangan enak iaitu dengan memasukkan banyak bahan-bahan basah. Jangan kedekut, kerana spageti oglio akan terpancar keenakannya menerusi rasanya yang sedap serta penuh berwarna-warni,” katanya.

BAHAN-BAHAN.

Bahan-bahan:

• 1 buku bawang putih dihiris nipis.

• 3 sudu serbuk cili (mengikut kesukaan masing-masing)

• 3 sudu serbuk parsli

• 1 bungkus spageti, direbus hingga lembut

• 1 mangkuk dada ayam

• 2 sudu besar serbuk lada hitam

• 2 sudu minyak zaitun

• Lada benggala

• Tomato ceri

• Keju parmesan

Langkah-langkah

1. PANASKAN minyak zaitun dan tumis bawang putih. Apabila sudah naik bau, angkat dan ketepikan.

2. GUNAKAN minyak sama, masukkan ayam diperap lada hitam, kacau sehingga masak. Kemudian masukkan bawang putih tadi.

3. APABILA ayam empuk, masukkan spageti dan kacau sehingga sebati.

4. MASUKKAN lada hitam, serbuk cili dan serbuk parsli. Tambahkan tomato ceri. Kacau sebati.

5. Untuk hiasan masukkan lada benggala merah dan hijau. Padamkan api. Tabur serbuk keju parmesan untuk aroma menyelerakan.

SPAGETI oglio olio sedia dihidangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 2:56 PM