KAWASAN penanaman strawberi di belakang rumah.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


Siapa yang tidak 'geram' melihat strawberi rona kemerah-merahan berjuntaian dari pasu kecil di belakang rumah? Bulat dan segar buahnya membuatkan ramai penduduk setempat mengunjungi kediaman Azmi Ismail dan isteri, Jamilah Haron di Taman Desa Mekar, Parit Buntar, Perak.

Pengunjung bukan sekadar ingin melihat kesuburan tanaman dikatakan hanya hidup di kawasan tanah tinggi tetapi merasai keenakan buah itu yang disifatkan sangat manis dan enak. Orang ramai juga tidak melepaskan peluang membeli strawberi dan mengambil gambar di hadapan ladang strawberi comel ini.

Azmi menjelaskan, sejak dulu dia memang suka berkebun. Bermula sebagai hobi, sebelum menanam strawberi dia mulai berjinak-jinak dengan buah tin dan cili di belakang rumah. Banyak mendapatkan info dari Internet dan rakan yang mengusahakan buah tin, Azmi mengikut panduan diberi sehingga buah tin hidup subur dan hasilnya dapat dinikmati mereka sekeluarga.


AZMI bersama benih strawberi yang ditanam di dalam pasu gantung.

Lama-kelamaan kerana ingin mencari kelainan dia beralih kepada strawberi. Bagi Azmi jika buah tin yang hidup di padang pasir mampu subur di sini, begitu juga strawberi yang terkenal di kawasan pelancongan tanah tinggi Cameron Highlands.

“Ingin mencabar diri, saya nekad menanam strawberi dua tahun lalu. Saya mula melayari Internet untuk mendapatkan info mengenai penanaman buah ini dari segi tanah dan juga baja. Selepas mendapat benihnya saya mula membiakkan beberapa kali tetapi hasilnya sangat mengecewakan. Benihnya terbantut dan mati.

“Saya tidak kecewa sebaliknya percaya mungkin ia berpunca daripada masalah tanah atau benih tidak sesuai. Selepas diperkenalkan seorang kawan saya cuba menanam empat pokok menggunakan benih luar negara iaitu Japanese Sweet Chalie,” katanya yang sebelum ini menanam benih tempatan.

Sebagai permulaan Azmi menggunakan polisterin bertujuan untuk pembiakan baka. Selepas benih tumbuh dalam masa beberapa minggu dia memindahkan tanaman ini ke dalam pasu gantung bagi membolehkan lebih banyak ruang digunakan untuk bercucuk tanam.

Menyedari kesibukan bekerja sebagai Penolong Jurutera, Kolej Komuniti Bandar Baharu Kedah, Azmi tiada masa menjenguk tanaman di belakang rumah. Oleh itu bagi mengajar tanaman agar tumbuh ‘lasak’ Azmi sengaja menggunakan tanah hitam digaul tanah bakar.


STRAWBERI mula berbuah selepas dua bulan.

Untuk ‘makanan’ pula dia menggunakan baja AB Fan dicampur air basuhan beras diperap selama dua hari. Semua ilmu ini diperoleh daripada rakan yang mempunyai minat sama.

“Saya tidak menggunakan sebarang racun kimia, namun bagi mengelak strawberi diserang serangga saya mencampurkan sabun pencuci bersama bawang putih kemudian cecair ini disembur di kawasan bermasalah.

“Hasilnya sangat mengujakan selepas dua bulan kelihatan buah semakin membesar dan boleh dimakan. Isinya lembut dan manis. Buahnya besar dan cantik kerana tiada masalah ulat atau serangga,” katanya yang mengakui strawberi jenis Japanese Sweet Chalie lebih manis berbanding benih lain.

Kisahnya sebagai penanaman strawberi turut mendapat perhatian selepas tular di media sosial. Ramai yang datang ke rumah bukan sahaja untuk melihat hasil tanaman tetapi membeli strawberi dan bergambar bersama.

“Sejak kisah saya tular di Facebook, memang yang datang bukan sahaja jiran setempat tetapi orang luar. Mereka kagum melihat strawberi boleh hidup di kawasan tanah rendah atau sinonim dengan tanah bendang kerana aktiviti penduduk di sini adalah bersawah,” katanya.

Azmi bersyukur kerana dia turut mendapat sokongan isteri yang membantu menjaga tanaman, meletakkan baja setiap petang dan pada hujung minggu. Kisah tanaman strawberi turut mendapat perhatian pegawai pertanian Kuala Kurau yang datang ke rumah sekali gus memberikan khidmat nasihat.


STRAWBERI masak sedia untuk dimakan.

“Selain mendapatkan informasi di Internet, saya juga menyertai kumpulan di Facebook dan WhatsApp bagi bertanya soalan dan juga bertukar pendapat mengenai penanaman strawberi. Semua ini sangat membantu menambah maklumat mengenai kesuburan tanaman. Saya juga tidak lokek berkongsi panduan penanaman strawberi untuk tanah rendah dengan mereka,” ujarnya.

Menduduki kediaman teres di bahagian tengah, bagi Azmi ia tidak menjadi masalah untuk bercucuk tanam asalkan tahu caranya. Sekurang-kurangnya berkebun dapat melegakan diri daripada tekanan di tempat kerja. Pulang ke rumah melihat hasil tanaman hidup subur cukup menggembirakan.

Jelas Azmi, dengan hanya keluasan 20 x 23 kaki persegi ia sebenarnya ruang yang cukup kecil untuk tanaman strawberi. Untuk itu dia berhasrat memperbesarkan kawasan sekiranya strawberi yang diusahakan ini mendapat sambutan.

“Saya ingin mengkomersialkan penanaman strawberi tanah rendah agar ramai orang tahu sebenarnya buah ini mampu hidup subur di mana-mana asalkan kena cara penjagaannya,” katanya yang turut mengusahakan 20 pokok buah tin yang ditanam bersebelahan pokok strawberi.


STRAWBERI mudah hidup ditanam di dalam pasu gantung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 3:17 PM