MASAK lemak pucuk paku bersama ikan masin sedia dihidang.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Kerap kali menyediakan hidangan ringkas di rumah, ada waktunya teringin juga menikmati sajian kampung enak bersama keluarga. Begitupun ramai yang memendam keinginan hingga tiba cuti hujung minggu kerana tidak mahu terkejar-kejar menyediakan bahan.

Siapa kata sajian tradisi sukar disediakan? Tidak kira di kampung atau di bandar, bahan masakan tradisi seperti pucuk paku, ulam-ulaman, petai, rebung, santan, daun limau purut, kerisik, asam keping, ikan masin, semuanya mudah didapati di kebanyakan pasar raya.

Tidak dapat menyediakan santan segar, kita sentiasa mempunyai pilihan untuk mendapatkan santan segera. Terpulang kepada cita rasa setiap individu untuk memilih.

Menyediakan masak lemak pucuk paku bersama ikan masin antara hidangan paling mudah. Pucuk paku masih boleh digantikan dengan kubis bersama lobak merah, atau apa saja sayuran yang dirasakan sesuai.

Jika tidak mempunyai santan segar, pilihan kedua terbaik adalah santan segera jenis kotak yang memiliki bau dan rasa sama seperti santan asli. Untuk ikan masin pula, sebaiknya pilih bahagian tulang (dengan sedikit isi) dan kepala ikan talang.

Rendam seketika ikan masin dan goreng supaya tidak mudah hancur dalam masakan. Jika menggunakan pucuk ubi, disarankan supaya mencelur terlebih dulu.

Resipi ini boleh dicuba bila-bila masa kerana mengambil masa penyediaan kurang 30 minit. Hidangkan bersama nasi, ikan atau ayam goreng, ulam dan sambal.

Bahan-bahan:

- 6 potong ikan talang masin (digoreng terlebih dulu)

- Seikat pucuk paku

- Seinci kunyit hidup

- Sekeping asam gelugur

- Sebatang serai

- 6 ulas cili (bergantung kepada selera)

- 150ml pati santan

- Sedikit air

- Garam

- Gula

Caranya:

1. TUMBUK lumat kunyit dan cili, diikuti serai (diketuk).

2. MASUKKAN bahan ditumbuk dalam kuali.

3. KEMUDIAN masukkan pucuk paku dan asam gelugur bersama sedikit air dan biar mendidih.

4. PERLAHANKAN api dan masukkan santan. Kacau perlahan supaya santan tidak berketul (pecah minyak).

5. MASUKKAN ikan masin dan perasakan dengan sedikit garam dan gula.

6. MASAK lemak pucuk paku bersama ikan masin sedia dihidang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 11:49 AM