CHEW (dua dari kiri) dan Cef Ismail bersama tetamu ketika pelancaran program itu baru-baru ini.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Menjelang Ramadan, tentu ramai yang menantikan siaran program masakan di televisyen. Bagai menjadi kelaziman, saban tahun ada saja program menawarkan pilihan resipi menarik yang wajib ditonton, buat menambah idea golongan ibu menyediakan juadah berbuka puasa setiap hari.

Kempen Chef's Like Pensonic antara yang popular, terutama dalam kalangan pengguna produk jenama itu. Banyak aktiviti menarik disediakan seperti kelas memasak bersama Cef Selebriti, Datuk Ismail; peraduan Raya Merdeka Bring Chef Home; rancangan masakan Chef Mail Masak Bersama Pensonic serta peraduan Tonton dan Menang.

Tahun ini, sebagai menghargai sokongan pengguna terhadap jenama produk keluarannya, Pensonic melancarkan kempen Balik Kampung Bersama Pensonic dengan lebih ganjaran hebat. Menggantikan kempen masakan tahun sebelumnya, kali ini rancangan baru itu akan menemui penonton pada setiap Isnin, jam 6 petang, bermula minggu depan (30 April).

Memeriahkan lagi kempen, Pensonic turut mempelawa orang ramai menyertai pertandingan Beli, Tonton dan Menang setiap minggu untuk merebut peluang memenangi hadiah bernilai RM200,000 termasuk Nissan X-Trail dan produk peralatan rumah.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Pensonic, Nelson Chew berkata, jenama itu wujud untuk pengguna menikmati hidup berkualiti di samping meluangkan lebih banyak masa dengan keluarga dan orang tersayang.

"Tiada perkara yang lebih menggembirakan daripada memasak hidangan sendiri dan berkongsi dengan keluarga serta rakan-rakan. Justeru, kami berharap pengguna dapat mengulang kembali lebih banyak momen indah sepanjang musim ini dengan memasak untuk yang tersayang.

"Kami bawakan lebih banyak resipi Cef Ismail dalam rancangan ini, kelas memasak dan pelbagai ganjaran produk Pensonic. Pastinya kempen kali ini memberi pengalaman memasak yang lebih menyeronokkan," katanya.

Jelasnya, tahun ini pihaknya turut bekerjasama dengan peniaga untuk mengadakan kelas memasak secara langsung di lokasi terpilih di seluruh negara. Semua lokasi kelas akan dipaparkan di Facebook Pensonic.

"Setiap pasukan yang mengambil bahagian dalam kelas memasak ini berpeluang membawa pulang hidangan lazat yang disediakan dalam kelas, bersama hadiah bernilai RM450, termasuk periuk serba guna Pensonic.

"Tidak cukup dengan itu, mereka juga berpeluang memenangi hadiah bernilai RM200,000 apabila menonton rancangan Balik Kampung Bersama Pensonic dan menyertai peraduan Beli, Tonton dan Menang," katanya.

Tambahnya, jenama itu bersama Cef Ismail mahu rakyat Malaysia menikmati hidangan berkhasiat yang dimasak di rumah, meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan mengamalkan kehidupan yang sihat.

"Resipi dalam rancangan ini mudah disediakan, menggunakan bahan yang biasanya boleh didapati dalam kebanyakan rumah di Malaysia. Jadi, luangkan sedikit masa menonton rancangan ini, belajar bagaimana untuk memasak seperti seorang cef dan memenangi hadiah hebat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 11:44 AM