BUSANA indah berhiaskan bulu pelepah.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Elegan, mewah, penuh gaya. Saban musim, koleksi fesyen pereka tersohor, Khoon Hooi sentiasa dinanti pencinta busana indah dengan penuh debaran.

Masih mengekalkan kerjasama dengan BMW Malaysia, minggu lalu Khoon Hooi sekali lagi mencuri perhatian tetamunya menerusi Fashion in Motion V2.

Fesyen inspirasi yang menampilkan sinergi antara koleksi musim luruh 2018 dengan model terkini BMW X2 itu meraikan semangat, reka bentuk, perincian serta tanda pengenalan bagi kedua-dua jenama.


GAUN kembang nampak segar dengan perincian bunga indah.

Menariknya, setiap koleksi persalinan dihasilkan bukan sekadar tampak mewah menerusi potongan eksklusif tetapi membawa penggemar fesyen mendalami sentuhan kreatif dipersembahkan pereka itu.

Sinonim dengan hasil tema rekaan unik menggunakan sentuhan bulu pelepah, kali ini Khoon Hooi membawa lebih daripada itu. Menggunakan paduan fabrik bersulam, hiasan mutiara mewah dan sentuhan penuh gaya, pereka ini membentangkan hasil terbaiknya di pentas peragaan.


PERINCIAN pada baju dan potongan lengan menonjolkan gaya.

Bermula dari lampu pentas dinyalakan, sudah terlihat rekaan regal (gaya raja) yang cuba ditonjolkan. Sulaman mewah pada gaun serba indah menampakkan ciri klasik. Sementara siluet dan potongan lengan luar biasa menjadi pelengkap gaya bagi rekaan busana ringkas.

Berpegang kepada kekuatan dan keberanian dalam rekaan, semangat Khoon Hooi itu secara tidak langsung menggambarkan ciri BMW X2. Kompak premium itu bukan saja menyerlah dari gaya, malah memiliki kekuatan di setiap sudut, lengkung dan perincian. Kombinasi inilah yang mengangkat rekaan eksklusif Khoon Hooi.

Selain peragaan koleksi, pereka itu turut memperkenalkan butik barunya di APW Bangsar.


RONA merah memikat tetamu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 April 2018 @ 7:51 AM