PENGUNJUNG yang hadir ceria menerima hadiah.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Kajian membuktikan bahawa protein dalam susu lebih mudah dihadam dan kaya dengan asid amino yang penting. Asid amino bertanggungjawab untuk pelbagai proses biokimia yang penting untuk badan kita berfungsi dengan lancar.

Protein sangat penting untuk badan kerana ia berfungsi membina otot dan juga menguatkan rambut serta kuku. Selain itu, protein turut membantu kita membina dan memperbaiki tisu otot supaya dapat kekal aktif sepanjang hari.

Pakar Nutrisi Dutch Lady Malaysia, Tan Huey Ghee berkata, tidak seperti lemak badan, protein tidak boleh disimpan di dalam badan untuk digunakan pada hari berikutnya.

Ini bermakna katanya, setiap orang perlu bergantung kepada hidangan seharian untuk memenuhi keperluan protein dalam badan.

"Sarapan seharusnya mengandungi 20 hingga 25 peratus keperluan nutrien harian termasuk protein. Hanya minum segelas susu penuh krim, ia dapat memberikan anda lebih daripada 50 peratus protein yang diperlukan ketika sarapan.

"Semestinya sarapan adalah makanan pertama yang diterima badan kita selepas berpuasa selama lapan hingga 12 jam ketika tidur.

"Maka tidak hairanlah pakar menganggapnya sebagai hidangan yang paling penting dalam hari anda. Ketika sesi temu ramah bersama orang ramai, kami mendapati kebanyakan mereka sedar bahawa mengambil protein yang mencukupi ketika sarapan penting untuk kesihatan.

"Tapi, mereka juga mengatakan bahawa makanan yang kaya protein, seperti ayam atau ikan, sukar untuk disediakan ketika pagi kerana tergesa-gesa bersiap untuk pergi ke sekolah atau kerja," katanya.

Beliau berkata demikian pada ceramah kesihatan yang dianjurkan sempena Pesta 'Food-Fit-Fun Fair,' baru-baru ini.

Pesta yang berlangsung selama seminggu itu antara aktiviti utama yang diadakan sempena Bulan Nutrisi Malaysia 2018 (BNM) bagi mempromosikan pengambilan pemakanan yang sihat dan aktiviti fizikal dalam kalangan rakyat Malaysia.

Acara ini dianjurkan bersama Persatuan Nutrisi Malaysia (NSM), Persatuan Dietitian Malaysia dan Persatuan Kajian Obesiti Malaysia untuk menangani penyakit tidak berjangkit (NCD) yang semakin meningkat serta membimbangkan di negara ini.

Turut hadir, Pengarah Pemasaran untuk Dutch Lady Malaysia Ramjeet Kaur Virik dan Presiden NSM Dr Tee E Siong.

Sementara itu Ramjeet berkata, sebagai salah satu syarikat tenusu terkemuka di negara ini, pihaknya ingin mengambil bahagian dalam aktiviti yang mempromosikan pemakanan serta aktiviti fizikal yang sihat dalam kalangan rakyat Malaysia, seterusnya memainkan peranan dalam menangani isu kesihatan di negara ini.

Katanya, selama 55 tahun, Dutch Lady sentiasa membantu masyarakat negara ini membina keluarga yang kuat dari segi fizikal dan juga emosi.

"Kami bukan saja membekalkan susu bernutrisi yang penting untuk kesihatan, malah turut mengadakan aktiviti dan program kesihatan yang bertujuan merapatkan ahli keluarga bersama dan membantu mereka mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain.

"Sebagai salah satu penaja untuk BNM ini, kami berpeluang membimbing rakyat negara ini untuk memahami kebaikan susu dan menggalakkan pemakanan sihat sambil mengeratkan hubungan kekeluargaan melalui aktiviti yang menyeronokkan," katanya.

Menurutnya, Dutch Lady Malaysia mahu membantu masyarakat negara ini yang sibuk untuk mendapatkan nutrisi protein penting ini ketika pagi.

Bagi memulakan hari dengan cergas katanya, minum segelas susu Dutch Lady Purefarm bersama hidangan sarapan anda.

Katanya, dengan segelas susu, lebih 50 peratus keperluan protein harian yang diperlukan orang dewasa dan kanak-kanak ketika sarapan dapat dipenuhi dengan mudah.

Pelbagai aktiviti menyeronokkan diadakan di gerai pameran Dutch Lady bagi membolehkan pengunjung dan keluarga dapat mengetahui kebaikan protein, iaitu satu nutrien penting dalam susu.

Salah satu permainan yang dianjurkan, menggalakkan peserta menjawab beberapa kepentingan protein untuk memenangi hadiah.

Selain itu, hadirin juga berpeluang menyertai cabaran di atas pentas untuk memenangi beg hadiah eksklusif yang mengandungi produk Dutch Lady. Peserta hanya perlu menjawab soalan berkenaan manfaat pengambilan protein dan berapa jumlah pengambilan protein harian yang disyorkan mengikut kumpulan umur serta jantina yang berbeza.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 12:18 PM