Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Memandang saja sudah terasa perit apatah lagi ibu bapa yang memikul tanggungjawab selaku mendidik anak syurga yang mengalami masalah autisme.

Lebih sukar apabila reaksi agresif atau ‘tantrum’ anak ini kadangkala muncul tiba-tiba dan berlaku di tempat awam pasti mengundang rasa kurang selesa dan salah faham dalam khalayak umum

Berkongsi kisah membesarkan tiga anak menderita masalah kecacatan perkembangan tegal fungsi otak atau autisme, kata Haslina Abdul Hassan, 37, dia reda dan memilih berhenti kerja bagi memberi tumpuan kepada anaknya.

Kata Haslina, sebagai ibu kepada Muhammad Nur Izzat Ismail, 10, Putri Nur Alya Batrisya Ismail, 6, dan Putra Nur Irfan Basir, 4, kadangkala dia terpaksa menebalkan muka bercerita mengenai masalah anak di depan orang asing kerana tidak mahu mereka menjadi mangsa ‘serangan kata-kata’ individu yang tidak memahami masalah itu.

“Saya cuba buat masyarakat sedar masalah anak saya dengan mengenakan kemeja-T yang tertulis perkataan austisme tetapi malangnya ada pula melabel mereka sebagai kanak-kanak yang tidak sopan.

“Malah kebanyakan orang tidak bertanya mengapa anak saya memakai baju begitu, sebaliknya memberi reaksi kurang menyenangkan. Tersentuh juga hati saya melihat keadaan itu dan harap masyarakat keliling lebih peka dengan kehadiran golongan minoriti seperti anak saya,” katanya.

Bicaranya pantas dan tersusun ketika ditemui dalam program Israk Mikraj Autism Friendly Mosque anjuran pelajar Sarjana Pengurusan Sistem Pejabat Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA di Masjid Jamek Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kata Haslina, ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendapatkan terapi sesuai buat anak dan itu hanya dapat diketahui andai mereka menyertai program dianjurkan persatuan dan komuniti.


NISBAH satu sukarelawan bagi setiap peserta.

“Sokongan dan rujukan saya ialah pakar perubatan serta persatuan autisme sendiri dalam mengendalikan anak istimewa ini. Selain itu perjumpaan ibu bapa dan program sebegini membantu saya meningkatkan kemahiran dalam mengendalikan anak autisme.

“Program hari ini mengenai pendekatan rohani anak. Saya lihat sukarelawan program bersungguh-sungguh membantu anak kami memahami perihal wuduk dan tuntutan solat. Ini melegakan perasaan kami kerana mereka dalam penjagaan sukarelawan berkemahiran,” katanya.

Bagi Penasihat Program Dr Naffisah Mohd Hassan, program itu bermula sebagai projek pelajar berbentuk khidmat masyarakat bagi memenuhi keperluan kursus Pengurusan Projek Integrasi dan mempraktikkan apa yang dipelajari dalam kuliah.

“Awalnya program ini kecil saja skopnya tetapi apabila mereka memilih topik autisme, ia secara tidak langsung boleh memberikan impak besar apabila mereka berkolaborasi bersama Persatuan Autisme Muslim Malaysia.

“Malah kesediaan Yayasan Pendidikan Al-Quran Bagi Anak Istimewa (FAQEH) yang mempunyai kepakaran dalam ilmu membabitkan pengajaran agama kepada golongan minoriti membakar semangat pelajar apatah lagi Research Interest Group (RIG) iaitu pusat kajian membabitkan peningkatan kualiti kehidupan dikendalikan Dr Siti Noorsuriani Ma’on serta pihak pengurusan Masjid Jamek Sultan Abdul Samad Kuala Lumpur bersedia menjayakan program.


AKTIVITI selingan dijalankan untuk anak autisme.

“Saya bersyukur kerana mereka menganjurkan program sebegini di masjid bagi membolehkan orang awam memahami cara menyantuni anak autisme dengan sebaik-baiknya. Ini dapat menepis prejudis masyarakat terhadap golongan ini yang menganggap individu autisme tidak sepatutnya ke masjid kerana masalah itu, sedangkan mereka mempunyai hak dan sepatutnya diberi peluang untuk melaksanakan ibadat di masjid.

“Sukarelawan terbabit turut menerima kursus intensif sehari cara berdepan dan mengendalikan anak autisme. Kaedah digunakan sepanjang program ialah sistem ‘buddy’ membabitkan sukarelawan, ibu bapa dan anak.

“Kami mulakan dengan bacaan rukyah dan doa tertentu untuk menenangkan anak kemudian sesi melawat sekitar masjid bagi membina keserasian antara sukarelawan dan keluarga termasuk anak dan tidak lupa pengisian membabitkan fardu ain iaitu solat dan wuduk kepada anak berdasarkan kad bergambar,” katanya.


KAD pamer membantu tingkatkan fokus.

Program berkenaan diperkukuh dengan kehadiran 20 sukarelawan mahir bagi melayani 40 kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun.

Sementara itu Pengarah Program yang juga imam masjid terbabit Yahya Mahyuddin Utoh Said berkata, pengalaman bersama anak ini sesuatu bermakna kerana mempelajari sesuatu berbeza.

“Iktibar kami ambil menerusi peristiwa Israk Mikraj yang bakal disambut pada 14 April yang mempunyai tema cinta iaitu Rasulullah SAW kepada umatnya bertepatan dengan Bulan Autisme Sedunia diraikan pada bulan sama untuk menzahirkan rasa sayang dan kasih kepada anak ini.

“Bagi pihak pengurusan masjid, kami mengalu-alukan program dan ia wajar dilaksanakan dalam skala lebih besar untuk melatih warga pengurusan masjid baik imam, siak mahupun kariah itu sendiri cara menyantuni kanak-kanak autisme sekali gus mewujudkan persekitaran mesra buat golongan itu.

“Malah dengan adanya ilmu serta kemahiran ini, individu autisme tidak akan rasa terasing apabila berada dalam majlis penyampaian ilmu agama. Ia juga dapat menjinakkan hati mereka dengan masjid. Jadi program ini harus diketengahkan kepada masjid berhampiran agar masjid menjadi tempat selesa dan selamat bagi golongan minoriti seperti ini,” katanya.


TURUT menggunakan kaedah interaktif bagi membantu kanak-kanak memahami pengisian program.

Menceritakan persiapan mengenai projek terbabit Yahya berkata, semuanya bermula dengan ‘kosong’ tetapi semua pihak bekerja keras dalam menjayakannya.

“Pendedahan kami sudah bermula enam bulan lalu apabila Dr Nafissah kongsikan satu buku mengenai kisah autisme yang memberi inspirasi kepada kami. Kami mengajak beberapa NGO dan agensi lain untuk membantu anak ini. Tidak sangka semuanya bersemangat untuk bersama-sama memperluaskan mesej ini.

“Sebenarnya kebanyakan anak autisme begitu takut dan sensitif terutama ketika sesi pembelajaran wuduk. Jadi kami diajar menggunakan kaedah percikan air ke anggota wuduk berbanding menyentuh air secara langsung untuk membuatkan mereka tenang. Ilmu ini kami pelajari sepanjang satu hari kursus intensif dilaksanakan khusus untuk sukarelawan,” katanya berharap program itu boleh diteruskan kepada masjid sekitar.


KETIKA sesi melawat sekitar masjid.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 April 2018 @ 12:12 PM