BARISAN pengajar dalam program bimbingan dalam talian Projek 12 Purnama.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Perkembangan teknologi menjadikan urus niaga dalam talian begitu mudah dilakukan dan wanita terutama yang perlu meninggalkan kerjaya untuk menjaga anak dan keluarga boleh memanfaatkan peluang bagi menambah pendapatan.

Melalui perniagaan dalam talian juga, wanita dapat menyeimbangkan perniagaan dengan tuntutan tanggungjawab keluarga terutamanya kepada suami dan anak-anak sekali gus masalah dan konflik kekeluargaan yang sebelum ini membelenggu mereka dapat diatasi.

Perkara itu diakui pengasas bersama Bedak Sejuk Puspawangi, Farah Suzie Suleiman bahawa peluang perniagaan dalam talian sebenarnya boleh memberikan pulangan lumayan.

Menjalankan perniagaan bersama saudaranya, Megawati Ismail, katanya, perniagaan dalam talian diketengahkan mereka juga tidak memerlukan modal besar sekadar RM500.

“Memandangkan kami berdua tidak bekerja, agak mustahil hendak mengeluarkan modal besar untuk berniaga. Jadi, kami gunakan resipi turun temurun untuk menghasilkan bedak sejuk yang tidak memerlukan kos penghasilan yang tinggi

“Kini, perniagaan bedak sejuk dikendalikan sejak tiga tahun lalu sudah mampu menghasilkan hampir 500 botol bedak setiap bulan untuk memenuhi permintaan pelanggan di seluruh negara," katanya pada majlis pelancaran program bimbingan dalam talian Projek 12 Purnama dikendalikan Gen Ultra, baru-baru ini.

Farah antara 18 orang tenaga pengajar bertauliah dalam bidang perniagaan masing-masing membuka peluang kepada usahawan dalam talian untuk membimbing dan memberi tunjuk ajar bagi mengembangkan perniagaan yang diterokai.

Selain ilmu perniagaan dalam talian, ahli berdaftar Geng Ultra yang terdiri daripada 60 orang turut didedahkan dengan strategi pemasaran dan rangkaian atau networking secara berkesan.


FARAH (kanan) dan Megawati mengusahakan produk bedak sejuk.

Seorang lagi tenaga pengajar, Nor Dayana Mohd Zaini Wong berkata, jatuh bangunnya dalam perniagaan juga diharapkan dapat membantu lebih ramai usahawan dalam talian untuk memotivasikan diri melalui perkongsian ilmu.

Menurutnya, kejayaan dikecapi turut membolehkan untuk mengedarkan buku hasil penulisannya bertajuk Bisnes 6 Angka Sebulan Melalui #Instagram menceritakan pengalaman jatuh bangunnya menaikkan jenama produk diasaskan sendiri, Lovera.

“Pembabitan dalam perniagaan mulanya kerana saya terpaksa mencari sumber kewangan untuk membantu keluarga pada 2014 dan ketika itu pula saya mengandung anak sulung.

“Selepas tiga tahun bekerja di Pulau Pinang, saya mula rasa ia tidak sesuai dengan diri. Jadi, saya mengambil keputusan nekad untuk berhenti selepas berkahwin dan tinggal bersama suami di Shah Alam.

“Namun, selepas mendapat berita mengenai kehamilan, baru saya sedar apabila ahli keluarga bertambah, kita memerlukan sumber kewangan untuk simpanan selain perbelanjaan diri.

“Kini, produk keluaran saya berjaya memenangi hati ramai wanita berumur 16 hingga 30 tahun. Malah, jenama ini juga berjaya menembusi pasaran Singapura dan Brunei.

“Dalam tempoh 10 tahun akan datang, saya mahu terus membantu ramai usahawan lain mengembangkan perniagaan mereka dan menjadi aktivis sosial,” katanya.

Azamnya mahu membantu wanita seperti ibu tunggal untuk menjana pendapatan tambahan bagi membantu keluarga malah ada di antara ejennya berjaya mengaut keuntungan sehingga mencecah empat angka.


NOR Dayana berbangga berkongsi ilmu perniagaan menerusi bukunya.

Sementara itu, pengalaman jatuh merudum dalam dunia perniagaan mendorong Ku Addy Fazly Ku Raden menubuhkan landasan dalam talian, digelar Geng Ultra bagi membimbing usahawan untuk melangkah terus dalam bidang perniagaan.

Katanya, menerusi projek itu ia diharap dapat menjadi platform tepat untuk usahawan dan bakal usahawan mempelajari teknik pemasaran dengan betul.

“Terdapat 18 topik disediakan antaranya Strategi Pemasaran dan Penjenamaan, Teknik Pengiklanan FB, Teknik Google dan Seni Berbicara disampaikan oleh guru yang pakar dalam bidang masing-masing dan ilmu terkini yang padat serta lengkap disediakan dalam bentuk 1,000 video dan audio.

“Peserta program ini juga akan mempelajari teknik berkaitan secara langkah demi langkah menerusi panggilan telefon.

“Untuk menjadi usahawan yang maju dan berdaya saing, semua usahawan perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan serta cara pemasaran terkini seperti yang diamalkan oleh ramai ahli perniagaan yang berjaya,” katanya.

Ini kerana katanya, bidang perniagaan bergerak seiring dengan perkembangan teknologi masa kini dan cabaran utama usahawan sekarang adalah penggunaan platform maya atau Internet.

Oleh itu katanya, produk dan perkhidmatan yang ditawarkan haruslah seiring dengan pemodenan agar dapat bersaing dengan pasaran luar, di samping memenuhi keperluan dan kehendak pengguna yang pelbagai.


KU Addy memperkenalkan program bimbingan untuk bantu usahawan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 2:34 PM