Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Naluri seorang ibu biasanya tepat lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan soal anak tersayang. Tidak kira baik mahupun buruk, sakit atau sihat, setiap ibu pasti menerima apa saja ketentuan yang ditakdirkan kepadanya.

Bagi Nor Waheeda Ramzan Mohd Noor, 37, sama seperti wanita lain, pengalaman dianugerahkan cahaya mata sulung memberi sinar baru dalam hidupnya.

Mana tidaknya, anak adalah pelengkap kehidupan dalam sesebuah keluarga yang bukan saja mengubah status diri malah memberi pengalaman terhebat yang tidak dapat dijual beli.

Namun, siapa sangka, bayi lelaki comel yang dilahirkan normal dan cukup sifat itu disahkan autisme ketika berusia dua tahun selepas dikesan menunjukkan tanda yang agak berbeza dengan kanak-kanak sebaya.

Menceritakan pengalaman itu, Nor Waheeda berkata, anak lelakinya yang diberi nama Wan Daniel Imran Wan Sulaiman dilahirkan pada 15 April 2003 dan kini sudah berusia 15 tahun.

“Pada mulanya semuanya berjalan seperti biasa apatah lagi ini adalah anak sulung sebelum saya serta keluarga mula mengesan dia lambat bercakap. Anak saya hanya boleh bertutur seperti bayi ketika usianya hampir dua tahun.

“Selain itu, dia sering kali menarik tangan saya atau keluarga sekiranya dia mahu dapatkan sesuatu. Saya juga mula mengesan dia akan fokus pada perkara tertentu saja yang mana ia lebih kepada gajet,” katanya.


NOR Waheeda bersama anak sulungnya, Wan Daniel Imran.

Menurut Nor Waheeda, anaknya juga hanya boleh bertutur dalam bahasa Inggeris sehingga dia berusia 10 tahun sebelum dapat berkomunikasi dalam bahasa Melayu.

“Selepas mengesan pelbagai tanda yang membimbangkan, saya disarankan kakak ipar untuk membawa anak berjumpa pakar terapi ucapan dan akhirnya Wan Daniel disahkan mengalami autisme ketika berusia dua tahun.

“Pada mulanya memang saya agak terkejut dengan perkara ini namun berkat sokongan keluarga dan semangat diri, saya dapat menerima ketentuan ini dengan hati terbuka. Dalam pada itu, saya juga bersyukur kerana diamanahkan untuk memiliki dan membesarkan seorang anak syurga,” ujarnya.

Sukar beri kefahaman kepada masyarakat sekeliling

Memiliki anak autisme pada hakikatnya tidak semudah disangka, pahit manis, suka dan duka dalam membesarkannya perlu ditangani dengan sabar serta penuh kekuatan.

“Syukur, saya mempunyai ibu dan bapa yang banyak membantu dalam membesarkan Wan Daniel juga ahli keluarga yang sentiasa menyokong kami namun tidak dinafikan, sukar sebenarnya untuk memberi kefahaman kepada masyarakat sekeliling mengenai anak autisme ini.

“Mungkin ada yang tidak tahu atau tidak memahami mengenai anak autisme ini sering berpandangan pelik atau hairan sekiranya mereka (anak autisme) berkelakuan pelik,” katanya.

Menurutnya, walaupun memiliki kekurangan namun Wan Daniel yang kini ditempatkan dalam kelas pendidikan khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indera Petra 1, Gua Musang, Kelantan, mempunyai pelbagai kelebihan diri.


WAN Daniel Imran (duduk kiri) bersama sepupunya.

“Dia pembersih apabila makan, sangat menjaga hati dan perasaan individu lain, mengambil berat juga seorang yang bersifat budiman. Bagi saya dia sangat sempurna dan mempunyai keistimewaan yang tiada pada individu lain.

“Sehingga kini, dia masih mempunyai rawatan susulan di Pusat Perkembangan Kanak-Kanak Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) bagi memastikan segalanya dalam keadaan baik dan terkawal,” ujarnya.

Tambah Nor Waheeda, sempena bulan kesedaran autisme bulan ini, setiap ibu bapa yang memiliki anak autisme diharap untuk sentiasa bersyukur dan menerima ketentuan ini dengan hati terbuka.

“Walaupun mereka autisme namun kelebihan diri anak-anak ini terlalu banyak dan setiap individu perlu menghargai golongan ini supaya mereka dapat membesar dengan lebih menyinar.

“Untuk pasangan ibu bapa yang mempunyai sebarang kemusykilan mengenai perkembangan anak-anak juga disaran untuk segera mendapatkan pemeriksaan bagi mengesan sekiranya berlaku sebarang masalah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 4:56 PM