Susunan Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Mata adalah organ yang terbentuk untuk mengesan cahaya. Mata yang paling ringkas hanya berfungsi mengesan sama ada keadaan sekeliling terang atau gelap. Mata yang lebih rumit berfungsi untuk memberikan deria penglihatan.

Dari sudut Sains, struktur mata manusia dikatakan bergantung kepada kebolehannya menumpukan cahaya kepada retina. Setiap komponen yang dilalui cahaya adalah lut sinar untuk mengurangkan kemalapan cahaya. Kornea dan kanta akan menumpukan cahaya yang masuk ke atas retina, yang mengaktifkan suatu tindak balas kimia dan menghasilkan isyarat yang untuk dihantar ke otak.

Cahaya yang masuk dari luar akan melepasi kornea dan melalui gelemair (cecair jernih yang memenuhi ruang hadapan biji mata) sebelum sampai ke kanta. Gelemair membantu mengekalkan bentuk cembung kornea dan melembapkannya.

Iris (yang berwarna) terletak di depan kanta mata mengawal bukaan pupil. Seterusnya cahaya itu akan melalui gelemaca sebelum sampai ke lekuk fovea di retina. Di sinilah terletak banyak sel-sel yang sensitif kepada cahaya.

Ringkasnya, mata antara organ kompleks yang cukup besar maknanya kepada kita. Sejak berzaman, kita mendengar orang menyebut kata indah berbunyi 'dari mata turun ke hati'. Walaupun mata cukup penting, namun ramai yang terlupa beberapa perkara sensitif berkait mata.

Makanan untuk mata sihat

Seperti tubuh, mata juga memerlukan set pemakanan khusus bagi mengekalkan fungsi retina serta kesihatan mata yang menyeluruh. Jangan tunggu sehingga proses penuaan bermula untuk mendapatkan mata sihat. Kaedah pemakanan yang betul supaya mata kekal sihat adalah dengan mengambil nutrisi seimbang di samping mengutamakan sumber makanan yang mempunyai warna hijau, kuning dan merah. Ini kerana kumpulan makanan ini kaya dengan lutein, zeaxanthin, vitamin dan mineral yang terbukti bagus untuk kesihatan mata yang optimum.


PILIH makanan sihat untuk kesihatan penglihatan

Mata kering

Mata kering terjadi disebabkan kekurangan air mata untuk melembap dan menyuburkan mata. Air mata perlu untuk mengekalkan kesihatan mata dan memberi penglihatan yang jelas. Mereka yang mengalami mata kering disebabkan kurangnya pengeluaran air mata ataupun mempunyai air mata yang tidak berkualiti.

Mata kering adalah satu masalah biasa yang kronik dialami terutamanya dalam kalangan orang dewasa yang lebih tua. Masalah ini boleh mengakibatkan gangguan pada permukaan mata dan seterusnya menyebabkan gejala yang kurang selesa serta memberi kesan terhadap kualiti hidup.

Komputer dan kesihatan mata

Peningkatan penggunaan komputer dalam kalangan masyarakat untuk tujuan kerja, pembelajaran, bersosial, bermain, melayari internet atau carian maklumat menimbulkan kebimbangan terhadap kesannya pada fungsi penglihatan. Dianggarkan 25 hingga 93 peratus pengguna komputer mengalami gejala sengal mata, kabur penglihatan, mata kering, ketidakselesaan penglihatan dan sakit kepala. Ada juga yang mengalami sakit di bahagian tengkuk dan belakang badan.

Teknik senaman mata

Mata kita dikawal oleh enam otot yang membantu dalam setiap pergerakan mata. Seperti otot lain di dalam sistem tubuh, otot mata juga perlu melakukan senaman bagi memastikan ia sihat dan kuat. Apabila otot mata kita sihat maka ia pasti dapat melakukan fungsinya dengan berkesan.

Teknik 1: Latihan penumpuan dekat dan jauh

Latihan ini dilakukan untuk meningkatkan fleksibiliti mata ketika menukarkan penumpuan daripada penglihatan jauh kepada penglihatan dekat dan sebaliknya. Latihan ini untuk menguatkan ketahanan otot mata yang berterusan di samping meningkatkan penglihatan secara keseluruhan.

Caranya: Duduk dengan tenang dalam bilik yang agak luas sambil memegang sebatang pen atau pensil. Pegang pensil pada jarak 10 sentimeter (sm) dari hidung, pandang pensil selama dua hingga tiga saat dan seterusnya ubah pandangan kepada objek bertentangan di hujung bilik. Seterusnya, ubah pandangan kepada pensil di hadapan mata untuk dua ke tiga saat.

Ulang proses latihan ini sekurang-kurangnya sebanyak 10 pusingan latihan setiap hari. Untuk lebih meningkatkan tahap penumpuan, jarak fokus jauh boleh diubah kepada yang lebih jauh.


LATIH penumpuan dekat dan jauh.

Teknik 2: Latihan kerdipan untuk mengurangkan keletihan mata

Kerdipan adalah cara paling mudah untuk mengekalkan kesegaran mata bagi membantu mata dapat menumpu dengan lebih lama. Kebanyakan pengguna komputer atau penonton televisyen kurang melakukan kerdipan mata yang penuh, terutamanya ketika penumpuan mereka berada pada tahap tinggi. Keadaan ini menjadikan mata cepat letih di samping gejala kekeringan mata yang lain.

Apabila kita melakukan kerdipan mata yang penuh, mata kita akan mengalami fasa gelap seketika. Fasa ini dapat membantu mengekalkan kesegaran mata. Di samping itu, fasa gelap bertindak seperti permulaan menerima maklumat penglihatan yang baru setiap kali selepas kita berkedip dan secara langsung mengurangkan ketegangan mata.

Apa yang anda perlu lakukan adalah dengan menutup mata rapat selama tiga ke empat saat. Seterusnya buka mata anda dalam tempoh sama. Ulang latihan ini setiap kali anda mengalami keletihan mata ketika menggunakan komputer.

Teknik 3 : Teknik angka lapan - menguatkan otot mata

Latihan ini sangat sangat sesuai bagi menguatkan otot di sekeliling mata. Senaman mata ini dapat meningkatkan fleksibiliti otot mata menerusi kaedah atau teknik yang lebih santai.

Caranya : Bayangkan terdapat angka lapan gergasi pada jarak tiga meter di hadapan anda. Bayangkan bahawa angka lapan terbabit berada dalam kedudukan terbalik seperti sepasang cermin mata. Secara perlahan-lahan, cuba anda ikuti lakaran bayangan angka lapan berkenaan menggunakan pergerakan mata anda tanpa menggerakkan atau mengubah kedudukan kepala.

Lakukan latihan ini pada satu arah untuk beberapa minit sebelum menukar kepada arah yang bertentangan untuk beberapa minit juga. Jika latihan ini dilakukan secara berkala ia mampu meningkatkan fleksibiliti mata di samping menguatkan otot di sekeliling mata. Secara langsung, latihan ini dapat membantu meningkatkan keupayaan penglihatan.


TEKNIK angka lapan menguatkan otot mata.

Teknik 4 : Menekup mata

Teknik senaman mata ini dapat membantu mengurangkan tekanan di sekeliling mata di samping merehatkan mata. Apabila kita menekup mata menggunakan tapak tangan, kita merangsang titik peka di sekeliling mata yang mampu menenangkan minda serta merehatkan otot di sekeliling mata. Keadaan ini memberi kesan kuasa penyembuhan yang meredakan keletihan mata.

Caranya: Pastikan anda duduk dengan selesa di hadapan meja dengan siku di atas meja ataupun siku direhatkan di atas lutut. Letakkan tengah tapak tangan anda menutupi mata sepenuhnya, kedudukan semua jari di dahi dan pangkal tapak tangan di pipi. Pastikan mata anda dapat berkedip tanpa gangguan dan halangan di bawah telapak tangan serta tidak menekan mata dengan kuat.

Biarkan dalam keadaan begini untuk beberapa minit (tiga ke lima minit). Teknik menekup mata memberi peluang kepada anda untuk untuk merehatkan minda dan mata anda dalam beberapa minit. Selepas penat bekerja, cubalah lakukan teknik ini untuk beberapa ketika.

Teknik 5 : 'Zooming'

Teknik senaman mata ini sangat berkesan melatih keupayaan penumpuan mata. Apa yang perlu dilakukan semasa latihan adalah dengan mengubah kedudukan titik penumpuan yang kita gunakan iaitu jari kita. Dengan kaedah ini secara tidak langsung kita dapat menguatkan otot di sekeliling mata dan juga fleksibiliti pergerakan mata.

Caranya: Duduk dalam keadaan yang selesa. Regangkan tangan sejauh yang boleh dengan tangan digenggam dan ibu jari diangkat seperti menunjukkan isyarat 'bagus'. Tumpukan perhatian sepenuhnya kepada ibu jari anda sepanjang latihan ini dijalankan. Kemudian, bawa ibu jari anda secara perlahan-lahan menghampiri mata sehingga berada pada jarak enam sentimeter dari mata.

Tanpa mengubah pandangan mata anda daripada ibu jari, perlahan-lahan gerakkan tangan anda menjauhi mata anda sejauh yang mungkin dan tangan meregang ke sisi. Lakukan teknik senaman mata ini untuk beberapa minit (5 minit) setiap kali untuk beberapa kali dalam sehari.-Sumber MyHealth


LATIH ubah titik penumpuan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 3:00 PM