Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Manfaat rempah ratus bagi kecantikan kulit dan tubuh sudah diamalkan sejak sekian lama. Menerusi kaedah moden, rempah ratus yang diolah dan diadun menjadi lebih praktikal sebagai pilihan bagi yang ingin mengembalikan kesegaran tubuh khususnya rawatan spa.

Kesibukan tugas ditambah dengan hiruk- pikuk kesesakan kota sering membuat tubuh keletihan. Apatah lagi memegang status ibu berkerjaya, tidak mustahil berdepan stres hingga menjejaskan kesihatan.

Keadaan stres ini akan membuatkan tubuh semakin tegang dan ini perlu dimanjakan dengan rawatan spa. Namun, spa yang dipilih perlu disesuaikan dengan keperluan tubuh memandangkan terdapat pelbagai jenis spa yang ditawarkan.

Rawatan spa boreh antara pilihan sesuai untuk membuat tubuh relaks dan pada masa sama menghaluskan kulit kerana manfaatnya menghilangkan keletihan dengan menggunakan rempah.

Berasal dari Bali, Indonesia, rawatan skrub atau lulur boreh ini adalah resipi penyembuhan badan sejak berabad lamanya menggunakan herba dan rempah ratus eksotik yang secara tradisinya digunakan sebagai ‘kebangkitan tubuh.’

‘Bo’ dalam bahasa Bali bermaksud sedia, dan ‘reh’ juga berasal daripada perkataan Bali untuk darah, jadi boreh bermaksud menghidupkan kembali tubuh.

Pada masa lalu, orang Bali membuat boreh menggunakan bahan tempatan seperti lobak, halia, kulit kayu manis, biji ketumbar, beras, akar kunyit dan buah pala. Mereka menggabungkan bahan ini dengan air untuk membuat pes aromatik dan kemudian disapukan ke seluruh tubuh.

Lulur badan aromatik ini membuatkan mereka berasa hangat ketika malam, menghilangkan selesema dan kesejukan selain memberikan kelegaan kepada otot serta sendi yang sakit.

Rawatan herba tradisional yang memberi manfaat untuk tubuh ini turut ditawarkan Vita Spa di Solaris Mont Kiara, Kuala Lumpur.

Menariknya, rawatan boreh membersihkan pora, menggalakkan pembebasan toksin dan rasa relaks yang mendalam bagi menghasilkan kulit segar, licin, halus serta meningkatkan tenaga.

Menurut Pengasas Vita Spa Samantha Pang, rawatan skrub atau lulur boreh ini dibuat khusus daripada campuran bahan asli termasuk kunyit, cengkih, buah pala, halia dan daun limau purut.


SAMANTHA

“Orang di Bali menggunakan boreh secara kerap dan sering menyesuaikan rempah campuran yang sesuai dengan masalah kesihatan dialami.

“Campuran tertentu ini digunakan sebagai rawatan pencegahan dan perawatan tradisional bagi masalah kesihatan yang berkaitan selesema atau untuk melegakan otot yang letih dan sakit.

“Ia rawatan lulur yang panas dan beraroma, sangat sesuai untuk melegakan demam, sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan meningkatkan peredaran darah. Cengkih yang ditumbuk halus biasanya ditambah bagi menyegar dan melembutkan kulit,” katanya.

Rawatan lulur boreh di spa itu mengambil masa selama 40 minit. Pes campuran akan disapu pada kulit, dan pelanggan kemudiannya dibalut dalam balutan plastik dan selimut panas.


BAHAN digunakan untuk rawatan lulur boreh.

Kehangatan rempah akan menghasilkan sensasi haba yang meresap ke dalam badan sambil urutan muka dan kulit kepala dilakukan ahli terapi.

Selain rawatan boreh, spa moden inspirasi dari Asia dan Bali ini menawarkan pelbagai rawatan spa dan wajah yang dilakukan oleh ahli terapi profesional dan berpengalaman.

Samantha berkata, rawatan teraputik spa itu disesuaikan untuk memenuhi keperluan individu, membawa keseimbangan minda dan badan dalam persekitaran yang tenang serta damai.


SERBUK rempah ratus dicampur yogurt.

“Kami menggabungkan teknik urutan Asia dan Barat yang terbaik dan paling berkesan untuk menghasilkan rawatan unik tersendiri. Kami juga menawarkan skrub muka dan badan, membuang bulu serta rawatan kuku.

“Urutan Vita Signature antara yang menjadi pilihan pelanggan kerana rawatan ini direka untuk menyampaikan keseimbangan harmoni kepada tubuh, minda dan jiwa.

“Rawatan ini memberikan masa untuk badan untuk menyahtekanan dan berehat menggunakan kombinasi terbaik teknik refleksologi India, lomi lomi dan Asia. Pelanggan akan dimanjakan dari hujung kepala hingga ke kaki selama dua jam,” katanya.


BAHAN diratakan hingga menjadi pes.

Selain itu, lulur Jawa turut ditawarkan di spa ini yang terkenal dengan santai, pemutihan dan pembersihan.

Rawatan pengelupasan dan pembersihan badan ini sudah digunakan di istana diraja Jawa Tengah sejak abad ke- 17.

Pada masa dulu, ia digunakan untuk melembut, menghalus dan membersihkan kulit secara mendalam serta popular dalam kalangan pengantin baru.

Hari ini, tradisi ini masih diamalkan bakal pengantin dalam persediaan hari perkahwinan mereka dengan menikmati lulur setiap hari seminggu sebelum hari bahagia.


PES diratakan di seluruh badan diikuti urutan lembut.

Dalam rawatan selama 40 minit ini, badan akan disapu dengan pes yang dibuat daripada serbuk beras, kunyit dan kayu manis, digabungkan dengan yogurt untuk mencapai hasil terbaik dalam memelihara kulit.

Bagi rawatan lulur bungaan pula, ia memberikan pengalaman urutan secara tropika yang menenangkan. Lulur lembut dan kaya dengan nutrien ini dibuat daripada bunga raya sebagai bahan utama.

Rawatan selama 40 minit ini mempunyai pelbagai manfaat antaranya memberikan perlindungan anti-oksida dan menggalakkan kulit yang sihat.

Lulur kopi yang ditawarkan di spa ini juga mempunyai aroma menyegarkan untuk membangkitkan dan merangsang deria malah satu pengalaman rawatan aromatik yang akan menjadikan kulit licin serta dibersihkan dengan sempurna.


SELEPAS rawatan, badan dibersihkan dalam air rendaman bunga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 April 2018 @ 11:04 AM