DEMONSTRASI nasi gaba di Yangsan, Busan.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Empat dekad berlalu sejak jenama ini mula bertapak, Cuckoo kini berkembang dan semakin dikenali di seluruh dunia. Mencipta sejarah daripada sekadar jenama peralatan rumah di Korea Selatan, jenama itu akhirnya menjadi sebutan ramai.

Bayangkan, di Korea Selatan saja, satu unit periuk nasi Cuckoo dijual setiap 10 saat, sementara satu unit penapis air bersaing memenuhi permintaan setiap minit. Hari ini, Cuckoo berjaya memperkenalkan jenamanya di 30 negara, sekali gus meraih kepercayaan pengguna di lima benua.

Jenama ini bukan saja bijak menghasilkan perkakasan berteknologi tinggi dengan kualiti membanggakan, malah cukup handal memanipulasi trend semasa dan menguasai pasaran dunia.

Siapa tidak kenal dengan Duta Jenama Antarabangsa Cuckoo sebelum ini yang popular menerusi banyak drama Korea? Poster memaparkan wajah Kim Soo Hyun ada di mana-mana. Malah senyum manisnya di samping produk Cuckoo menarik minat orang muda kini untuk turut memiliki kelengkapan rumah berteknologi sebagai melengkapi gaya hidup serba moden.

Baru-baru ini, penulis dibawa terbang bersama 120 wakil media tempatan, Singapura, Brunei dan Indonesia ke Korea Selatan untuk memeriahkan Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Cuckoo. Turut bersama rombongan adalah pasukan elit dan kakitangan Cuckoo Asia Tenggara serta 12 pemenang bertuah peraduan laman Facebook yang diperkenalkan sebelumnya.


ANGGOTA media bergambar kenangan.

Dengan jumlah peserta sebanyak 526 orang, ia menjadi sambutan terbesar dalam sejarah ulang tahun jenama itu. Pengembaraan sepanjang tujuh hari di Korea Selatan membawa peserta menyaksikan sendiri perkembangan terkini Cuckoo sambil menikmati seni budaya, tempat bersejarah dan hidangan tempatan yang enak.

Bermula di Yangsan, Busan, rombongan dibawa melawat ke loji kedua Cuckoo yang menghasilkan pelbagai jenis periuk serba guna untuk pasaran global. Menariknya, loji ini mempunyai kekuatan 450 belia berusia antara 24 hingga 25 tahun.

Menurut Pengarah Eksekutif Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) jenama itu, Lee Chang Ryong, kilang berkenaan mampu menghasilkan kira-kira 300,000 periuk nasi sebulan atau purata 11,000 sehari.

Golongan belia bagaimanapun dipilih bagi memastikan setiap tugas diberi lancar, hasil kerja teliti dan tangkas, selain bertujuan memberi pendedahan serta berkongsi pengalaman sebelum kelompok berkenaan menceburi bidang pekerjaan sebenar.


WAKIL media dibawa melawat pasaran Cuckoo di Korea Selatan.

“Kami sentiasa komited membuat banyak penyelidikan dari semasa ke semasa untuk memastikan setiap keluaran Cuckoo memenuhi kehendak serta keperluan pengguna di serata dunia.

“Di loji kedua Yangsan saja, lapan jenis kumpulan produk dihasilkan. Semua produk yang siap dipasang akan melalui proses kawalan kualiti sebelum diluluskan,” katanya.

Melihat sendiri proses penghasilan produk bermula dengan pemasangan tapak, wayar, bahagian periuk hingga, peranti elektronik hingga penghasilan papan induk, ternyata Cuckoo mempunyai kepakaran luar biasa dalam menghasilkan produk bertaraf antarabangsa.

Pada acara kemuncak sambutan ulang tahun ke-40 jenama itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cuckoo Korea Brian Koo dan Ketua Pegawai Eksekutif Cuckoo Malaysia KC Hoe, masing-masing mengumumkan kejayaan Cuckoo sepanjang 2017.


BRIAN Koo (kiri) ketika mengumumkan perkembangan Cuckoo ke Indonesia, India dan Vietnam.

Suasana harmoni bertukar gamat apabila selebriti popular Korea Selatan, Lee Seung-gi diumumkan sebagai duta jenama antarabangsa terbaru. Penyanyi, pelakon, pengacara dan penghibur itu kemudian muncul dengan persembahan pentas dan menghiburkan tetamu menerusi dua lagu barunya.

Pada majlis berasingan, Seung-gi turut berkongsi pandangan peribadi dengan wakil media mengenai penapis air beralkali ringan terbaru Cuckoo, Prince Top.

Bagaimanapun, sepanjang tujuh hari, jenama itu berjaya membuktikan sendiri moto syarikat berkenaan, Beyond Standards. Setiap produk, usaha, perancangan, hasil hinggalah kepada kejayaan yang digapai, Cuckoo benar-benar melangkaui standard!


SEUNG-gi berkongsi pandangan mengenai produk Cuckoo.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 2:39 PM