ZAWIN Najah (kanan) bersama rakan model bersaiz besar.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Siapa kata wanita berbadan besar tidak cantik? Jika kena dengan gaya dan solekan selain berbekalkan keyakinan diri, pasti kecantikan itu lebih menyerlah berbanding individu lain.

Keyakinan yang sama dapat dilihat pada wanita kelahiran Klang, Selangor ini. Mempunyai personaliti menarik, dia sedikit pun tidak malu dengan tubuh yang agak besar, malah menggunakan kelebihan yang ada bagi menonjolkan dirinya.

Semangatnya wajar dijadikan inspirasi oleh orang lain yang sering beranggapan wanita berbadan besar masih dianggap kurang menarik walaupun menyarungkan busana cantik.

Zawin Najah Ahmad Fauzi, 25, yang juga model bersaiz besar sepenuh masa berjaya membuktikan sesiapa saja mampu mencapai impian dihajati asalkan mempunyai usaha dan keyakinan.

“Dengan berat badan 87 kilogram (kg) dan tinggi 170 sentimeter (sm) saya adalah seorang wanita yang bersaiz besar, namun minat mendalam pada bidang peragaan dan kecantikan membuatkan saya tekad mencuba nasib.

“Bukan tidak yakin dengan diri, namun hakikat yang semua orang tahu untuk menjadi seorang model, individu itu perlulah memiliki badan langsing dan wajah cantik,” katanya.


BERSAIZ besar tidak menghalang Zawin Najah untuk menjadi seorang model peragaan.

Menurut Zawin Najah, dia bermula dalam bidang peragaan secara sambilan memandangkan ketika itu dia mempunyai kerjaya lain yang perlu diberi tumpuan.

“Saya beranikan diri mencuba nasib. Selain menjaga penampilan diri dan bijak beraksi di depan kamera, saya sentiasa menunjukkan sikap positif dan disenangi semua orang.

“Syukur, lama kelamaan saya semakin dikenali dan diterima dalam bidang peragaan. Satu persatu butik yang mengeluarkan busana bersaiz besar memanggil saya untuk memperagakan koleksi mereka,” ujarnya.

Zawin Najah yang kini menetap di Banting, Selangor berkata, pertambahan butik yang menyediakan busana bersaiz besar memberi lebih peluang kepadanya mendalami bidang ini.

“Walaupun tidak ramai model sepenuh masa yang bersaiz besar, namun saya juga perlu bijak mencari peluang dalam memastikan diri sentiasa dikenali dalam bidang ini.

“Namun, lumrah dalam bidang peragaan ini ada pasang surutnya. Selagi diri ini mampu memberikan yang terbaik dalam bidang peragaan saya akan berusaha sebaik mungkin terutama dalam membantu butik mempromosikan koleksi mereka,” katanya.


ZAWIN Najah memilih kerjaya sebagai model bersaiz besar sepenuh masa.

Tidak mahu lupa diri

Walaupun semakin diterima dalam bidang peragaan, Zawin Najah sentiasa mengingati dirinya supaya tidak lupa diri dan menjaga batas sebagai model Muslimah.

“Syukurlah suami, ibu dan bapa banyak beri sokongan. Mereka tidak pernah menghalang, malah sentiasa memberikan semangat untuk saya terus melakar kejayaan dalam bidang ini.

“Mungkin ada yang bertanggapan sinis dan menyatakan saya tidak menepati kriteria sebagai seorang model, namun saya gunakan itu sebagai pemangkin semangat untuk lebih berjaya,” ujarnya.

Menurutnya, dia juga sangat bersyukur dengan apa yang dikecapinya kini dan berjaya membuktikan saiz badan tidak menjadi penghalang untuknya berjaya.

“Mungkin ramai wanita bersaiz besar yang malu untuk menonjolkan bakat mereka. Langkah terbaik adalah yakin dengan kelebihan diri dan jangan sesekali berasa diri serba kekurangan.

“Saya tidak mahu menguburkan impian bergelar seorang model peragaan hanya disebabkan badan yang besar. Saya juga perlu bijak mencari posisi terbaik di depan kamera ketika memperagakan busana supaya kelihatan menarik sekali gus menyembunyikan kekurangan diri,” katanya.


ZAWIN Najah tidak menjadikan kekurangan diri sebagai penghalang untuk berjaya.

Tambah Zawin Najah, berkat kerjaya diceburi dan kesungguhannya dalam bidang itu membolehkan dia meraih pendapatan agak lumayan yang memberikan kepuasan serta kegembiraan.

“Seronok apabila apa yang kita minati dapat memberi pulangan berbaloi dan sebab itu saya sentiasa menggalakkan semua wanita terutama wanita bersaiz besar untuk menonjolkan kemampuan diri.

“Setiap individu ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Tonjolkan kelebihan diri dan bijak sembunyikan kekurangan bagi memastikan dapat mengecapi segala yang diimpikan,” ujarnya mengakhiri bicara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 1:13 PM