MEMPUNYAI pilihan selendang bersaiz kanak-kanak.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Memakai tudung bukan sekadar menutup kepala atau mengikuti perkembangan fesyen, namun ia lebih kepada kewajipan setiap Muslimah untuk melindungi aurat.

Pemilihan tudung mahupun selendang yang digayakan bukan saja perlu dipilih atas faktor keselesaan dan rekaan, namun aspek saiz perlu lebih diutamakan.

Sehubungan itu, jenama fesyen tudung tempatan, Annchick tampil dengan koleksi selendang segera labuh yang dihasilkan bagi memudahkan si pemakai bersiap dalam tempoh seminit.

Matlamatnya jelas iaitu membantu serta mendidik Muslimah supaya memakai tudung mengikut syariat ditetapkan dan bukan semata-mata menutup rambut serta kepala.

Menurut pengasas Annchick Norhasikin Ismail, selendang segera dua muka bidang 60 inci itu adalah rekaan yang menawarkan saiz labuh.


ANTARA koleksi Annchick.

"Kebiasaannya selendang segera dua muka ini bersaiz sederhana atau sedikit pendek namun kami tampil dengan kelainan dalam saiz yang digunakan.

"Selain mudah dan menjimatkan masa, selendang ini juga tidak perlu kerap digosok, kurang penggunaan pin, mesra solat juga sesuai digunakan ibu yang menyusukan bayi kerana saiznya yang labuh," katanya.

Menurut Norhasikin, semua koleksi selendangnya dihasilkan menggunakan fabrik sifon Flamingo yang memberikan keselesaan ketika dipakai selain koleksi itu mempunyai pilihan selendang bersaiz kanak-kanak.


SELESA dan cantik.

"Semua selendang dewasa bersaiz L dan XL yang dijual pada harga bermula RM59 hingga RM99 manakala untuk saiz kanak-kanak berharga RM40.

"Koleksi selendang ini sesuai digayakan semua Muslimah seawal usia 20-an hingga 50-an selain wanita berkerjaya yang mahu bersiap dengan pantas dengan koleksi selendang labuh," ujarnya.

Tambahnya, pihaknya yakin koleksi ini mampu membantu semua wanita yang mahu bergaya dengan pantas dan tetap mengikut syariat Islam.


CANTIK dan labuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 9:06 AM