HM Digital

Terdapat kaedah memastikan solekan anda mampu bertahan sekurang-kurangnya dalam tempoh lapan jam. Ini boleh dilakukan dengan memastikan penggunaan bedak asas sesuai dan pemilihan gincu yang betul.

Di bawah disenaraikan beberapa panduan yang boleh diikuti bagi memastikan solekan kekal cantik ketika menghadiri acara tertentu:

1. Gunakan primer bedak asas cecair

Untuk solekan asas wajah dan kelopak mata, penggunaan primer adalah penting. Untuk kesan lebih lama, selepas mengaplikasi primer, lapiskan dengan bedak asas cecair kerana majoriti tekstur bedak asas ini lebih tipis namun ia mampu meliputi seluruh wajah dan juga kekal lama.

2. Gunakan bedak asas bebas minyak

Bedak asas yang berasaskan minyak mempunyai kecenderungan untuk menjejaskan solekan anda. Jika anda mempunyai kulit jenis kering, lembapkan dulu kulit menggunakan bedak asas bebas minyak. Pilih yang memang khusus untuk penggunaan dalam tempoh panjang supaya kulit tampak halus sepanjang hari.

3. Kemaskan solekan dengan bedak lut sinar

Kebanyakan wanita gemar menggunakan bedak tabur yang sememangnya penting bagi melitupi bahagian tertinggal ketika sapuan bedak asas cecair dilakukan. Tetapi untuk kesan lebih baik gantikan bedak tabur dengan bedak lut sinar yang menghasilkan fungsi sama. Bedak lut sinar juga lebih ringan dan membuat kulit lebih bersinar.

4. Pemerah pipi cecair

Agar pemerah pipi tahan warnanya gunakan jenis cecair . Pemerah pipi jenis ini juga dapat dicalit pada bibir dan memberikan hasil yang diidamkan.

5. Bulu mata kekal panjang dan lentik

Bagi menjadikan bulu mata panjang dan lebih lentik pastikan anda memakai maskara. Namun untuk kekalkan nilai kepanjangannya cara lebih berkesan adalah dengan menggunakan pelentik bulu mata terlebih dahulu sebelum menyapukan maskara.

6. Sapuan terus gincu

Memang gincu matte menjadi trend terkini, tetapi jika anda penggemar kemasan bibir berkilat, sapukan gincu beberapa lapis. Caranya, sapukan gincu, pedap dengan tisu. Sapukan nipis bedak debu dan oleskan lagi gincu pada bibir anda. Ulang hingga anda mendapat ketebalan atau warna yang diinginkan.

Teknik ini akan memberikan kilatan yang anda mahu disamping menjadi asas untuk gincu bertahan lama tanpa menyebabkan bibir kering.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Mac 2018 @ 10:03 AM