BERUSAHA membantu ramai individu untuk bijak menguruskan kewangan.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Memilih kerjaya sebagai perunding kewangan pada hakikatnya tidak semudah disangka. Pelbagai suka duka perlu ditempuhi terutama demi memastikan pelanggan memahami konsep tepat dalam menguruskan kewangan masing-masing.

Penerangan perlu diberikan secara jelas supaya tidak berlaku kekeliruan. Wanita kelahiran Kota Bahru, Kelantan yang dibesarkan di Petaling Jaya, Selangor ini tekad menjadikan kerjayanya sebagai perunding kewangan atau perunding unit amanah sebagai jalan bagi membantu ramai individu terutamanya keluarga muda supaya bijak menguruskan wang.

Nurhannani Abd Rahman, 34, berkata, pada mulanya dia memilih kerjaya ini sebagai usaha untuk menjana pendapatan dan pada masa sama memasang impian untuk menjadi ikon Muslimah dalam bidang itu.

“Saya bermula pada 2009 secara sambilan sebelum tekad menjalankan kerjaya ini sepenuh masa setahun selepas itu. Jika ramai yang bertanya mengapa memilih bidang ini sebagai kerjaya, jawapan saya mudah. Saya mahu mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat berhubung kepentingan simpanan dan pelaburan, sekali gus mampu menjamin kehidupan lebih baik pada masa depan.

“Saya sememangnya minat berjumpa dengan ramai orang dan ia sesuai dengan kerjaya ini yang memerlukan saya mendekati masyarakat untuk menjelaskan kelebihan memiliki simpanan tambahan, selain risiko kehidupan tanpa melakukan pelaburan,” katanya.


BERUSAHA memberi penerangan yang jelas kepada ramai individu mengenai kelebihan menyimpan dan melabur.

Menurut Nurhannani, bagi memastikan urusan harian berjalan lancar, dia perlu menyusun jadual dengan teratur selain mempunyai strategi penjelasan yang mudah difahami.

“Seawal jam 7 pagi saya melangkah keluar rumah untuk memulakan tugasan, sama ada bertemu pelanggan baru, temujanji dengan pelanggan, meneliti dokumen di pejabat, menguruskan fail pelanggan atau mengadakan perbincangan bersama ejen.

“Saya juga bertanggungjawab menerangkan polisi simpanan mengikut keperluan dan kesesuaian pelanggan, menggalakkan kefahaman berhubung pelaburan dilakukan serta meyakinkan mereka bahawa ia demi kebaikan masa depan sendiri juga ahli keluarga,” ujarnya.

Tambah Nurhannani yang baru dipilih sebagai Juara Pengurus Agensi minggu lalu, sama seperti kerjaya lain, tugas pengurus kewangan banyak berdepan dengan cabaran terutama dalam meyakinkan pelanggan.

“Bagi saya, setiap kerjaya ada dugaannya, paling utama adalah berusaha memberi penerangan sebaik mungkin supaya pelanggan tidak keliru dan tahu tujuan utama melakukan simpanan atau pelaburan.

“Saya yakin sekiranya mereka faham, urusan penjelasan akan berjalan dengan lebih mudah. Selain itu, dalam kerjaya ini, saya menyerahkan kepada pelanggan untuk membuat pilihan dan saya hanya berperanan sebagai penasihat atau perunding,” katanya.


NURHANNANI dianugerahkan sebagai Juara Pengurus Agensi.

Pahit manis perunding kewangan

Ibu kepada seorang cahaya mata itu tetap tabah dan bersemangat dalam mengharungi setiap dugaan dalam kerjaya diceburi. Bukan mudah kerana tugas sebagai perunding kewangan menuntut kesabaran tinggi terutama ketika berdepan reaksi kurang menyenangkan, tanggapan individu sekeliling, provokasi dan sikap kasar segelintir pelanggan.

Nurhannani berkata, masih segar di ingatannya saat-saat awal pembabitannya dalam kerjaya itu, seorang individu yang dihampirinya mengambil kad dihulurkan dan di depan matanya, kad namanya dikotorkan hanya untuk dipulangkan ke tangannya semula!

“Masa itu saya rasa sedih dan terhina. Kad itu saya biarkan saja tetapi dalam hati, saya bertekad untuk berusaha lebih gigih. Saya juga sering berdepan tanggapan individu sekeliling yang melihat karier ini tidak profesional dan seolah-olah memperlekehkan kredibiliti perunding kewangan seperti kami.

“Ia tidak sedikit pun mematahkan semangat malah saya nekad untuk membuktikan saya mampu berjaya, menikmati kehidupan selesa dan pada masa sama membantu ramai individu menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik,” katanya.


NURHANNANI bersama suami dan anak tersayang.

Menurutnya, walaupun mengharungi pelbagai dugaan namun kerjaya sebagai perunding kewangan banyak memberi manfaat antaranya membantu individu untuk mempunyai simpanan masa depan, bertemu dengan pelanggan daripada pelbagai latar belakang dan berdepan ragam manusia yang mampu mematangkan fikirannya.

“Kerjaya ini juga menawarkan masa kerja fleksibel, komisen menguntungkan dan peluang bercuti di dalam serta luar negara sebagai ganjaran kepada diri sendiri.

“Bagi menampilkan prestasi cemerlang dan meningkatkan kemahiran diri sejak awal kerjaya, saya mengikuti ceramah pembangunan skil, selain tidak segan mengadakan perbincangan secara berkala dengan kakitangan untuk berkongsi pandangan,” ujarnya.

Tambahnya, selepas menceburi bidang ini hampir sembilan tahun, dia berasa puas kerana kerjaya yang dipilih adalah satu pilihan yang tepat dan memberikan kegembiraan yang sukar diungkap.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 1:47 AM