RAMEN goreng berkhasiat.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Berapa ramai mengatakan sukar mengurangkan berat badan. Ada mencuba namun disebabkan tidak konsisten bersenam dan tidak mengamalkan pemakanan sihat berat badan naik semula. Lama kelamaan situasi ini membuatkan individu berputus asa. Ditambah pula apabila kurang mendapatkan pendedahan mengenai pemakanan sihat membuatkan golongan ini makan apa sahaja tanpa memikirkan kesannya.

Pemakanan ketika proses menurunkan berat badan dan selepas berjaya mendapat berat ideal adalah sangat penting bagi mengekalkan kejayaan itu.

Bagi Muhammad Aizat Abdul Razak, 34, pengalaman mempunyai berat badan 220 kilogram (kg) empat tahun lalu dan berjaya mengurangkan kepada 120kg memerlukan komitmen serta disiplin tinggi. Cabaran terbesarnya ialah tuntutan untuk mengawal jenis makanan yang diambil setiap hari.

“Saya memang kuat makan. Setiap kali mengambil hidangan, memang dalam jumlah yang banyak. Untuk sarapan pagi saya ambil mihun goreng bersama lauk tambahan telur goreng dan sambal paru. Minuman pula secawan kopi tarik yang pekat. Tengah hari sepinggan nasi penuh lauk-pauk manakala malam nasi lemak atau makanan segera bersama minuman sejuk. Itu tidak termasuk minum petang sama ada mi goreng atau roti canai,” katanya laju bercerita.

Dia mula memahami prinsip pemakanan melalui jurulatih kecergasan yang menerangkan persediaan makanan sihat di rumah. Cabaran dihadapi lebih kepada kekuatan dalaman untuk mengawal diri supaya tidak tergoda melihat makanan dan hanya fokus kepada menu siap dimasak di rumah kerana Aizat boleh mengawal penggunaan bahan utama serta kandungan kalorinya.

Sepanjang menjalani program menguruskan badan, makanan menyumbang sebanyak 70 peratus keberkesanannya dan selebihnya adalah senaman. Penurunan lemak hanya berlaku apabila tiada kalori diambil.

“Apabila ada ilmu pemakanan, saya mula mempelbagaikan hidangan mengikut keperluan makro yang betul, namun kadangkala saya mengekalkan menu sama kerana ia memudahkan. Sekarang saya mengambil jumlah kalori di antara 2,400 hingga 2,600 sehari dan kembali memberi tumpuan kepada latihan bebanan di gimnasium.

“Untuk sarapan pagi saya amalkan dua keping roti yang disapu satu sudu mentega, dua biji telur, salad dan teh hijau panas. Sekitar jam 10 pagi saya ambil dua biji epal manakala tengah hari saya menikmati bekalan nasi perang, ayam atau ikan dimasak secara sihat bersama ulam-ulaman. Malam pula ulang menu sama. Jika lapar saya ambil biskut krim dengan tuna . Sekarang saya fokus kepada saiz hidangan dan mengamalkan konsep suku-suku-separuh,” katanya.

Tegas Aizat, dia sangat mengutamakan kualiti dan kuantiti pemakanan dengan memberi tumpuan kepada makanan kurang minyak dan garam. Paling bagus konsisten menggabungkan sumber karbohidrat, protein dan lemak dalam hidangan.

“Namun saya tidak menolak 100 peratus makanan manis dan tetap makan apabila teringin terutama kek. Cuma saya mengelak minum manis dan mengamalkan air kosong setiap hari,” katanya yang berpegang prinsip makanan sihat dalam kuantiti yang betul dapat mengurangkan berat badan.

JAGA MAKAN DI PEJABAT

Pengalaman ketika menurunkan berat badan daripada 220kg kepada 95kg dalam tempoh setahun adalah sesuatu yang sukar terutama dalam memilih makanan ketika di pejabat. Jadi untuk memastikan dia mengambil makanan sihat setiap hari lelaki ini membawa bekal ke pejabat.

“Saya masak sendiri berpandukan resipi makanan sihat. Saya akan pastikan makanan tanpa minyak, kurang gula dan garam. Kalau makan di luar, saya pilih ulam-ulaman, ikan bakar dan segenggam nasi untuk tengah hari. Ada juga rakan kurang faham dan saya cuba kongsikan kebaikan makanan sihat serta menunjukkan kuantiti yang sepatutnya diambil,” katanya.

Ingin berkongsi pengalaman dengan individu mempunyai masalah sama sekitar penghujung 2015, Aizat mulai fokus kepada kerjaya dan bekerja secara sambilan sebagai jurulatih motivasi pengurangan berat badan. Dalam tempoh ini dia dilamar sebuah syarikat menerbitkan buku resipi berjudul Cabaran 21 Hari Untuk Kurus

“Buku ini memaparkan resipi makanan sihat yang boleh diamalkan. Secara tidak langsung pengikut laman sosial juga semakin bertambah. Saya mulai berkongsi di Instagram dan Facebook serta membuat rakaman secara langsung ketika menyediakan hidangan.

“Saya mahu tunjukkan kepada mereka makanan orang berdiet ini sedap dan bukan sekadar bakar, kukus dan rebus. Malah nasi juga masih boleh diambil setiap hari,” katanya yang gembira kerana hidangan ramen goreng, tomyam sihat dan nasi goreng kari mendapat perkongsian tinggi di media sosial

Walaupun kini bertugas sebagai jurulatih motivasi sepenuh masa dalam bidang pengurangan berat badan dan sering mengadakan program berkumpulan dengan tumpuan individu memiliki berat badan 100kg ke atas, juga untuk syarikat korporat, badan kerajaan dan swasta, namun Aizat tidak melupakan senaman individu di gimnasium.

“Saya bersenam di gimnasium dengan melakukan latihan kardio dua hingga tiga kali seminggu. Pada hari biasa saya melakukan latihan bebanan untuk pembinaan dan kekuatan otot. Kini saya beralih kepada senaman mengangkat bebanan. Sebelah malamnya saya sibuk menyiapkan menu hidangan keesokan harinya,” jelasnya.

Cabaran menguruskan berat badan ada pasang surutnya dan Aizat mengakui pernah mengalami kenaikan sehingga 135kg akibat kelalaian ‘mengidam’ kek setiap hari sejak isterinya mengandung.

“Alhamdulillah, saya dapat mengawal pemakanan dan berat badan saya statik dalam 120kg. Paling penting kekuatan otot juga lebih baik dan susuk badan lebih tegap. Cuma akibat pemakanan manis perut naik kembali dan ambil masa untuk menurunkan semula,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 10:56 AM