Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Pernahkah anda melalui situasi si kecil berusia dua hingga tiga tahun menunjukkan sifat keakuannya dengan cara enggan mendengar kata, mudah marah dan merajuk? Apabila kemahuannya tidak dituruti dia memberontak sambil membaringkan badan ke lantai dan menangis menghentak-hentak kaki. Senario ini kerap kali berlaku ketika di pusat beli-belah atau di kawasan orang ramai seolah-olah anak tadi inginkan perhatian bukan saja ibu bapa tetapi individu di sekelilingnya.

Bagi ibu bapa, keadaan ini sudah tentu sangat memalukan dan menjatuhkan air muka mereka. Bagi ibu bapa yang penyabar akan cuba memujuk dan meredakan ketegangan itu. Namun ada ada juga penjaga yang tidak dapat menahan kemarahan dan mula mendenda anak sama ada menepuk, mencubit atau memarahi dengan suara kasar dan kuat.

Menurut Pakar Kekeluargaan & Kasih Sayang juga Pengarah Love World Resources Dr Rozieta Shaary, peralihan usia daripada setahun kepada dua tahun adalah peringkat paling mencabar.

Ini kerana pada masa ini anak kecil sudah mula bercakap, memahami dan bebas bergerak ke sana sini.

Dia juga mula menunjukkan ekspresi wajah dengan merajuk dan mengamuk sekiranya permintaan tidak ditunaikan. Malah situasi menjadi lebih mencabar sekiranya si kecil tidak mahu mendengar kata.

“Ibu bapa perlu memahami pada usia ini anak mempunyai sifat keakuan yang tinggi. Ini bermaksud mereka tidak mahu mendengar kata sebaliknya mengharapkan ibu bapa menurut kata-katanya.

“Untuk mengatasinya, ambil masa mengajar anak mengenai akhlak dan pastikan ia diajar berulang kali sehingga menjadi tabiat. Misalnya bersalam dengan orang tua. Terangkan juga mengapa anda meminta dia melakukannya. Lama-kelamaan dia mulai faham untuk menghormati orang lebih tua,” katanya.


DR Rozieta.

Perhatikan juga apabila anak sudah pandai bermain. Ada sesetengahnya enggan berkongsi permainan tetapi mahukan permainan orang lain dikongsi bersama. Jika dilihat anak ini mempunyai kemahiran dalaman yang lemah.

Oleh itu ketika anak bermain perhatikan dari jauh, sekiranya dia tidak mahu berkongsi jangan sesekali memaksa sebaliknya terangkan dengan jelas mengapa perkongsian itu sangat penting.

Usah bimbang sekiranya mereka tidak memahami kerana pada usia ini anak mula mengeluarkan patah perkataan jadi penerangan lengkap dan jelas dapat memberikan kefahaman kepada si kecil.

“Jika pada usia di bawah tiga tahun anak tidak mahu berkongsi ia adalah perkara biasa. Ini kerana mereka sedang belajar mengenai perasaan dan inginkan perasaannya dihormati atau mempunyai egosentrik yang tinggi.

Namun bukan bermakna kita membiarkannya sebaliknya bentuk kekuatan dan kemahuan ke arah kebaikan. Contohnya ajak dia berkongsi mainan dan nyatakan secara jelas bahawa apabila berkongsi barang, dia akan lebih seronok bermain.

“Ulang berkali-kali sama ada menerusi pembacaan atau menunjukkan video mengenai kanak-kanak berkongsi barang. Walaupun prosesnya lama tetapi berbaloi kerana dia akan pandai menggunakan kemahiran dalaman.

“Biasanya kanak-kanak akan ada permainan kegemarannya jadi benarkan dia menyimpan barang kesayangannya itu. Ini membuatkan dia lebih memahami mengenai hormat-menghormati, pandai menjaga barangnya dan rasa diri dihargai,” katanya.


BERKONGSI permainan dapat membentuk jati diri tinggi.

Namun, jangan pula melabel anak sebagai kedekut sekiranya dia langsung tidak mahu berkongsi, ini menandakan dia pandai menjaga barang. Sedikit demi sedikit tanya bagaimana perasaannya? Jika dia marah atau sedih, beritahu perasaan yang sama turut dirasai orang lain.

Bagi anak yang suka merajuk apabila kemahuan tidak dituruti, ini bukan bermakna anda perlu mengikut kehendaknya. Sebagai peneraju kepemimpinan keluarga anda perlu tegas membuat keputusan. Tidak salah kehendaknya dipenuhi jika bersesuaian. Namun jika sebaliknya katakan dengan tegas namun penuh kasih sayang.

“Bagi anak yang suka berguling di pusat beli-belah, biarkan saja dan lihat sejauh mana dia berguling. Jangan berkata apa-apa, sebaliknya hantarkan tenaga positif kepadanya dengan cara membacakan ayat al-Quran supaya dia terhindar daripada hasutan syaitan.

“Anda juga boleh mengambilnya dari situ dan bawa ke tempat lebih tenang. Mungkin dengan cara membasuhkan mukanya dan apabila sudah tenang, terangkan kepadanya mengapa dia tidak boleh berperangai begitu,” katanya.

Aktif bermain

Sifat semula jadi anak kecil pada usia dua hingga tiga tahun sangat aktif seperti tidak tahu penat. Sebolehnya mereka mahu berlari dan bermain sehingga ke malam. Oleh itu sangat perlu anak ini dibawa ke padang agar mereka dapat bermain dengan bebas.

Ramai tidak tahu anak yang tidak cukup bermain biasanya akan mudah mengamuk dan agresif. Tambahan pula jika anak ini mula diperkenalkan dengan permainan video menerusi telefon pintar atau tablet.

Bermain permainan video boleh menyebabkan emosi si kecil tidak stabil dan cemas kerana corak permainan itu kelam-kabut dan berserabut. Oleh itu dengan bermain di padang dapat mengimbangkan kembali emosinya.


ANAK sukar mengikut cakap ibu bapa kerana mempunyai tahap keakuan yang tinggi.

Pada usia sebegini juga anak suka melukis di dinding. Oleh itu tampallah kertas mahjung di tempat dia gemar menconteng setakat ketinggiannya supaya dia boleh melukis dengan bebas. Ada ibu bapa melarang dan menyuruh anak melukis di buku sahaja.

“Sebenarnya menconteng di dinding adalah satu cara menunjukkan ekspresi diri. Semasa tinggal di England, saya dinasihatkan pakar untuk tidak menghalang anak melukis kerana ia dapat mengembangkan kreativiti mereka,” katanya.

Permainan yang paling bagus untuk si kecil pada usia sebegini adalah bermain tanah liat, proses menguli dan menggentel dapat menguatkan kemahiran motor pada bahagian tangan dan jemarinya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Mac 2018 @ 7:45 AM