BEBAS bergerak untuk si kecil berusia setahun ke atas.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Alangkah comelnya melihat si kecil bergaya dengan padanan romper pelbagai warna. Mereka kelihatan begitu selesa dan bebas bergerak terutama bagi yang baru belajar bertatih.

Bagi kanak-kanak baru belajar berjalan keselesaan menjadi perkara utama. Oleh itu ramai ibu memilih romper sebagai pakaian harian sejak bayi dilahirkan sehingga berusia dua atau tiga tahun. Berdasarkan sejarah awalnya, romper mula diperkenalkan pada 1900-an di Amerika Syarikat dan direka agar tidak membataskan pergerakan.

Ia dihasilkan menggunakan kain kapas kemeja-T dan mempunyai potongan sama. Perbezaannya terletak pada panjang lengan, kolar dan perincian pada bahagian depan baju. Kekemasan rekaan juga menjadi keutamaan bagi ibu membuat pilihan.

Di Perancis, romper hanya dikhususkan buat bayi lelaki namun pada pertengahan 1950-an, ia mula direka untuk wanita dewasa sehingga menjadi gaya terkini dalam pemakaian busana kasual.


SEDONDON romper rona pic untuk adik manakala kakak blaus dipadankan skirt rona yang sama.

Mengambil potongan romper yang banyak dihasilkan di luar negara mendorong Emma Kasmima Khairuddin mengeluarkan jenama romper El Zahraa Kids yang bukan saja sesuai untuk penggayaan kasual tetapi musim perayaan dan keraian.

Tampil dengan lapan warna berbeza sama ada polos atau bercorak, untuk anak lelaki dan perempuan. Romper si gadis kecil diberi kedutan pada bahu bagi mencetuskan unsur feminin dan comel.

Menurut Emma yang juga Pengarah Laila Fabrika Sdb Bhd, idea menghasilkan romper untuk kanak-kanak bermula disebabkan keinginannya gemar melihat kanak-kanak berpakaian cantik sesuai usia mereka.

“Saya mempunyai tiga anak bermula usia setahun sehingga sembilan tahun. Sejak kecil saya suka menggayakan mereka dengan pelbagai baju. Tetapi saya lebih meminati rekaan sederhana, menarik dan bersahaja. Malah untuk kedua-dua anak perempuan saya jarang membelikan baju kurung kerana ia dipakai pada hari raya pertama saja.

“Biasanya konsep suai padan adalah lebih jimat dan kemas. Begitu juga dengan tudung, kanak-kanak selesa menggayakan tudung sarung atau selendang polos,” katanya.

Bermula menghasilkan tudung sekolah tadika untuk anak pertamanya, pelanggan kemudian meminta Emma menyediakan tudung sekolah mengikut konsep yang diinginkan. Bermula dari situ El Zahraa Kids tampil dengan pelbagai jenis tudung sarung, selendang dan bawal yang dijual menerusi dalam talian.


ANGGUN digayakan dengan skirt flora rona pastel.

“Dalam setiap rekaan saya masih mengekalkan konsep ringkas dan mudah dengan rona ceria. Saya mengambil inspirasi daripada jenama kanak-kanak antarabangsa dan disesuaikan dengan budaya rakyat Malaysia,” katanya.

Untuk rekaan romper dia menggunakan fabrik yang sama seperti padanan baju dewasa iaitu kapas polisufi kerana ia lebih sejuk, tidak berkedut dan sesuai untuk kanak-kanak berusia setahun ke atas. Potongannya sederhana namun dikemaskan menerusi perincian pada bahagian depan baju dan tangan.

“Saya meletakkan butang pada bahagian hadapan bagi memberikan unsur eksklusif. Poket dan hujung lengan pula ditampal fabrik berbeza. Rekaan yang longgar pada bahagian bawah supaya si comel bebas bergerak,” katanya.

Selain romper, kurta pula bebas dipadankan dengan denim atau slack. Namun begitu Emma turut menyediakan padanan sepasang terutama bagi mereka yang ingin menggayakan pada musim perayaan. Berdasarkan pemerhatiannya, kebanyakan ibu akan memadankan si kecil dengan seluar berbeza. Ia kelihatan lebih moden dan menyerlah.


KURTA berperincian pada lengan baju dipadankan seluar denim.

Jenama ini turut menghasilkan rekaan blaus polos untuk kanak-kanak perempuan yang dijual secara berasingan. Ini bagi membolehkan ibu menyesuai padan blaus dengan seluar atau skirt pilihan sendiri. Menariknya, disediakan juga skirt kembang bercorak untuk mereka yang inginkan padanan lengkap.

Romper, kurta, blaus, skirt dan pelbagai jenis tudung untuk si kecil bermula usia setahun sehingga 10 tahun boleh didapati di Parkson terpilih di seluruh negara, butik Tateh di seluruh Malaysia atau membeli menerusi dalam talian. Harga romper bermula RM59 hingga RM69 manakala untuk anak perempuan bermula pada harga RM69.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Mac 2018 @ 7:30 AM