Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Bukan semua wanita mudah tertawan terhadap barang kemas dan aksesori tubuh potongan tradisional. Perubahan fesyen semasa memberi banyak pilihan dan gaya unik yang boleh disesuaikan mengikut personaliti.

Tatkala ramai yang mengimpikan set barang kemas bertatahkan berlian, permata dan mutiara, rangkaian aksesori berdiri, Les Nereides, menawarkan perhiasan unik serta ganjil, namun memiliki nilai tersendiri.

Diinspirasikan daripada hidupan alam semula jadi yang tenang, burung serta haiwan kesayangan, setiap koleksi yang ditampilkan jenama ini membawa keceriaan kepada pemakainya.

Percaya atau tidak, sekalipun rekaan koleksi yang ditampilkan jenama ini nampak comel dan penuh warna-warni, ia masih diperbuat daripada kombinasi material seperti tembaga bersalut emas, tembaga, enamel, potongan gelas, mutiara dan kristal.

Menyarung sebentuk cincin berukiran burung dan buah-buahan saja sudah membangkitkan kemanisan dan aura seri pemakai. Bayangkan jika memilih set rantai lengkap dengan gelang dan cincin.

Bagi yang sukakan gabungan elemen ikonik dan romantis dalam gaya, terdapat koleksi rantai serta gelang yang menampilkan menara Eiffel, Paris. Melengkapkan koleksi kota cinta adalah jambangan bunga pada loket serta tanda hati yang dibentuk daripada kristal merah.

Sekilas pandang, pilihan aksesori sebegini nampak cukup manis jika dipadankan dengan busana polos rona pastel untuk ke majlis rasmi mahupun sekadar bersantai minum petang bersama pasangan atau teman rapat.

Ia mungkin nampak sarat dengan ukiran dan perincian, namun masih menonjolkan gaya ringkas, elegan dan moden berbanding koleksi barang kemas yang diukir secara tradisional.

Eksekutif Jenamanya Manyi Teh berkata, sempena musim bunga dan panas 2018, Les Nereides menawarkan koleksi Lovely Canaries - burung kenari yang singgah di jambangan bunga di samping anak-anaknya.

“Ukiran warna-warni penuh makna itu turut menyelitkan kuntuman mawar dan bunga indah bersama buah-buahan sitrus yang dihiasi kerawang emas. Ia seolah-olah mengingatkan pemakainya kepada bingkai hiasan terkenal istana.

“Menghimpunkan lebih banyak kreativiti, koleksi musim ini turut menggambarkan dunia realistik antara darat dan laut yang didiami tumbuh-tumbuhan aneh serta hidupan di dasar.

“Semua barang kemas ini dihasilkan pengukir kreatif termasuk membentuk material dan mewarnanya sekali gus mempamerkan kemahiran serta kehalusan kerja tangan dalam satu karya mengagumkan,” katanya.

Setiap koleksi yang ditawarkan jenama ini jelas memiliki tarikan tersendiri. Jika berniat menjadikan cenderahati buat yang tersayang, pilih ukiran yang boleh menggamit memori indah sepanjang bersamanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 12:01 AM