RAWATAN wajah antara rawatan paling mendapat sambutan.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Selain mempunyai kepakaran dalam menaikkan seri dan melakukan rawatan wajah, wanita ini memilih untuk mempamerkan sikap mesra setiap kali memberikan khidmat penjagaan kecantikan kepada pelanggan.

Dia akui di sebalik kepuasan pelanggan ketika mendapatkan rawatan, keserasian antara dirinya dan pelanggan antara aspek terpenting dalam mewujudkan suasana tenang serta ceria sepanjang rawatan dijalankan.

Menawarkan rawatan kecantikan dan perkhidmatan spa dari rumah ke rumah memudahkan pelanggan Abby Sabihah Saidun khususnya yang mempunyai anak kecil kerana tidak perlu bersusah payah bersiap ke spa.

Menurut Abby Sabihah yang menjalankan spa bergerak sejak 2008, perkhidmatan yang diberikan di rumah bukan saja memudahkan pelanggan malah ia boleh membuatkan mereka rasa lebih selesa dan tidak perlu menunggu lama.

“Kebanyakan pelanggan memberi maklum balas positif. Rata-rata mengakui sukakan pendekatan ini dan selesa apabila rawatan kecantikan dilakukan di rumah sendiri apatah lagi yang tidak pernah berpeluang ke spa kerana sibuk menjaga anak kecil.

“Pelanggan tidak perlu risau memikirkan penjagaan anak dan dapat terus berehat selepas rawatan, tidak lagi perlu tergesa-gesa untuk pulang seperti yang selalu dialami jika mengunjungi mana-mana pusat rawatan kecantikan,” katanya.


MENGGUNAKAN teknik tersendiri menjadi kekuatan spa bergerak Abby Sabihah.

Abby Sabihah yang menyedari wujudnya persaingan sengit dalam perkhidmatan spa bergerak berkata, dia tidak memikirkan persaingan namun lebih menumpukan kepuasan dan keselesaan pelanggan.

“Berbanding empat atau lima tahun lalu, perkhidmatan ini tidak serancak kini namun semuanya sudah berubah dan semakin ramai wanita yang mengusahakan spa bergerak.

“Selepas hampir 10 tahun mengusahakan spa bergerak, saya yakin perkhidmatan ini menepati kehendak ramai wanita kerana saya mempunyai ramai pelanggan tetap terutama mereka yang sibuk bekerja,” ujarnya.

Abby Sabihah berkata, antara perkhidmatan mendapat sambutan paling menggalakkan adalah rawatan wajah dan mata, membentuk kening serta lulur badan.

“Untuk rawatan wajah terdapat pelbagai pakej menarik dan pelanggan boleh memilih rawatan yang dikehendaki ketika membuat tempahan sebelum saya datang ke rumah mereka.

“Setiap pelanggan akan dilayan sebaik mungkin supaya mereka berpuas hati. Kos rawatan kecantikan pula tidaklah terlalu mahal,” katanya.

Urut dan belai wajah pelanggan

Menurut Abby Sabihah, dia menjalankan khidmat spa bergerak di beberapa lokasi terpilih di Selangor dan Kuala Lumpur. Bagaimanapun, pelanggan dinasihatkan membuat tempahan awal bagi mengelak masalah pertindihan tarikh.

“Selain menggunakan produk terpilih dan selamat, saya akan pastikan wajah pelanggan dibelai dan diurut dalam tempoh yang lama bagi melancarkan peredaran darah.

“Kesan positif dapat dirasai apabila darah berjalan dengan lancar dan disebabkan itu saya yakin teknik yang digunakan ini mampu membantu mengatasi pelbagai masalah wajah pelanggan,” katanya.

Abby Sabihah yang menjalankan spa bergerak Abbyfacial_mobile Spa berkata, rawatan yang dijalankan mengambil masa sekurang-kurangnya 30 minit sehingga 90 minit bergantung kepada permintaan pelanggan.


RAWATAN wajah antara rawatan paling mendapat sambutan.

“Dalam memberikan perkhidmatan kecantikan, kita tidak boleh lokek atau terlalu berkira. Disebabkan itu, saya akan mengurut wajah pelanggan sehingga saya sendiri yang benar-benar puas.

“Mungkin di spa lain, satu proses rawatan perlu mengikut waktu tertentu namun ia berbeza dengan rawatan yang saya lakukan kerana saya lebih mementingkan kepuasan serta hasil yang akan diterima pelanggan,” ujarnya.

Menurutnya, kebiasaannya dia akan memberitahu waktu anggaran tempoh rawatan dijalankan namun hampir setiap kali rawatan tempoh itu akan melebihi waktu yang dianggarkan.

“Apa yang penting adalah kepuasan pelanggan dan jika mereka berpuas hati, insya-Allah, biasanya akan ada sesi susulan namun sekiranya pelanggan mahu rawatan dijalankan dalam tempoh yang tepat dan tidak berlarutan, saya akan menurutinya.

“Walaupun mempunyai mesin urutan, saya tidak menggunakan ia sepenuhnya. Saya percaya dan yakin urutan tangan masih digemari dan boleh memberi kesan yang terbaik. Pelanggan juga boleh memilih urutan mana lebih disukainya,” ujarnya.

Katanya, dia juga akan memastikan perkhidmatan dijalankan terus mendapat tempat di hati pelanggan supaya apa yang diusahakan sejak 10 tahun lalu dapat diteruskan.


ABBY Sabihah bersama anaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 8:14 AM