MODEL bersama Noraini.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


Bukan hanya tertumpu ketika sambutan Aidilfitri, bahang kemeriahan jemputan rumah terbuka juga dapat dirasai ketika sambutan Tahun Baru Cina.

Hampir setiap minggu ada saja jemputan rumah terbuka yang membuatkan setiap wanita pasti mahu kelihatan cantik dengan mengenakan solekan bersesuaian dan tidak keterlaluan.

Bermula daripada baju dan aksesori digayakan sehinggalah ke aspek solekan, semua itu menjadi perkara yang perlu diberikan perhatian khusus terutama ketika menghadiri jamuan rumah terbuka.

Menurut jurumekap profesional Noraini Ab Hamid yang lebih dikenali dengan panggilan Cik Non, penggunaan teknik solekan yang tepat pasti membuatkan penampilan diri lebih memukau serta mempesona.

“Sambutan Tahun Baru Cina sinonim dengan warna merah namun tidak semestinya perlu menggunakan rona merah terang dalam solekan kerana apa yang lebih penting adalah solekan yang manis dipandang.

“Saya menekankan bahagian mata dengan penggunaan warna bersesuaian iaitu rona lembut supaya hasil solekan tidak nampak keterlaluan,” katanya.

Noraini berkata, dia lebih mengutamakan teknik kekemasan supaya solekan tidak nampak pelik.

“Penggunaan celak selain warna pembayang mata perlu sesuai selain merapikan bahagian tertentu seperti kening dan bulu mata supaya penampilan bukan saja cantik, malah nampak kemas.

“Selain menghadiri jemputan rumah terbuka atau menghadiri apa juga majlis, solekan ini juga sesuai digayakan untuk sesi temu duga,” katanya.

Menurut Noraini, selain memberi penekanan pada bahagian mata, solekan pada bahagian lain perlu dilakukan dengan teliti menggunakan rona ringkas yang tetap kelihatan mewah.

“Warna lembut pada solekan paling tepat kerana ia sesuai dengan semua rona pakaian. Ia menjadikan wajah lebih memukau terutama bagi menghilangkan kesan lesu,” ujarnya.

“Sekiranya bertudung disarankan mengenakan tudung dengan rona sedikit terang berbanding busana dipakai bagi menaikkan seri solekan sempena Tahun Baru Cina ini,” ujarnya.

Noraini berkongsi langkah demi langkah dalam menghasilkan solekan ringkas namun menawan.


1. WAJAH model Aishah Sabri sebelum disolek.

2. RATAKAN bedak asas pada seluruh wajah. Pilih rona bedak asas yang tidak terlalu cerah mahupun gelap berbanding kulit.

3. SAPUKAN bedak tabur dan lakukan teknik pembayang supaya wajah kelihatan lebih terbentuk.

4. SAPU pembayang mata menggunakan rona lembut dan semula jadi seperti warna tanah atau merah jambu.

5. BENTUK kening supaya penampilan lebih cantik dan manis dipandang.

6. SETERUSNYA, pemerah pipi disapukan dengan tidak keterlaluan.

7. LANGKAH terakhir adalah oleskan gincu dengan memilih rona yang ‘manis’ dan sesuai dengan busana.

8. WAJAH model selepas siap disolek.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 8:07 AM