SANTAI dan selesa.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Comel, selesa dan terkini. Tiga elemen itu antara perkara paling penting dan perlu diutamakan dalam pemilihan pakaian untuk kanak-kanak.

Tidak ada gunanya busana yang cantik tetapi tidak selesa dipakai.

Ia bukan saja membantutkan aktiviti harian malah boleh mengakibatkan kanak-kanak meragam akibat rasa tidak selesa.

Memilih rekaan moden yang bersesuaian untuk kanak-kanak, jenama Ameera Aisyah For Kids tampil dengan variasi busana terkini untuk kanak-kanak lelaki juga perempuan.


MEMPUNYAI pelbagai rekaan menarik.

Menurut pengasasnya, Shahliza Azreen A Aziz, setiap rekaannya bukan saja selesa malah menjimatkan kerana ia bukan saja boleh digayakan pada hari raya atau acara formal malah juga sesuai dipakai setiap hari.

“Selain rekaan moden, ada yang menggabungkan konsep moden dan tradisi yang menjadikan ia lebih cantik serta sesuai dengan peredaran masa kini.

“Antara koleksi terkini adalah kurung Viviane, baju Melayu Kasyfi dan Yusuf, peplum Aressa Lace, peplum Nelydia Songket, gaun Laura , kurta Zaheen dan samping Iskandar,” katanya.


BOLEH digayakan dalam pelbagai acara.

Shahliza Azreen berkata, pihaknya juga menggunakan material kapas yang tidak panas, menyerap peluh, selesa dan sesuai digayakan sepanjang masa.

“Harga koleksi kami bermula serendah RM39 dan didatangkan dalam saiz enam bulan hingga 12 tahun.

“Kami turut menawarkan lebih 20 pilihan warna menarik yang sesuai digayakan kanak-kanak yang sinonim dengan sifat riang, aktif, ceria dan bersemangat,” ujarnya.

Katanya, sejak berada di pasaran pada 2012, pihaknya amat gembira dengan sambutan diterima.


SANTAI dan selesa.

“Kami berharap jenama ini dapat memberi pilihan yang lebih pelbagai kepada setiap keluarga di negara ini bukan saja pada sambutan hari raya.

“Apa yang pasti setiap rekaan kami menepati kehendak ibu bapa yang bimbangkan keselesaan anak-anak terutamanya ketika keadaan cuaca tidak menentu kini,” katanya.


SELESA digayakan kanak-kanak aktif.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 11:02 AM