ROSEMEME menjadikan memanjat gunung sebagai rutin.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Kenyataan yang mengatakan kehidupan bermula apabila usia memasuki angka 40 mungkin mampu membuat lelaki tersenyum nakal, namun bagaimana pula dengan wanita?

Memasuki alam 40-an bagi sesetengah wanita mungkin perkara yang paling digeruni. Ramai mula memikirkan mengenai kedutan di wajah yang semakin ketara, uban yang kian bertambah malah tidak kurang juga mula berasakan mereka tidak lagi kelihatan menarik.

Pendek kata, apabila memasuki usia itu sesetengah wanita enggan berhias indah, berasa rendah diri malah lebih membimbangkan apabila membiarkan diri terus kelihatan lebih tua daripada usia sebenar.

Bagaimanapun, tiga wanita ini membuktikan sebaliknya. Sekali pandang, mungkin ramai yang tidak menyangkakan mereka kini meniti usia lewat 40-an dek penampilan yang terjaga dan kekal cergas.

Mendekati wanita ini membuatkan penulis berasa begitu kerdil, mana tidaknya, melihat kelincahan mereka sudah cukup membuktikan usia bukanlah penghalang untuk wanita bergaya dan aktif bersukan lasak.

Perbezaan umur yang ketara antara penulis dan wanita ini seolah-olah tidak nampak malah jika berjalan beriringan mungkin mereka disangkakan sebaya dengan penulis yang baru berusia awal 30-an.

Baru-baru ini, mereka sudi berkongsi pengalaman, pandangan dan rahsia penjagaan kesihatan dalam meniti usia lewat 40-an buat pembaca untuk dijadikan panduan.

Menurut Rosememe Abu Hassan, 49, tiada petua rumit yang diamalkannya untuk mengekalkan tubuh langsing sebaliknya dia menjadikan rutin senaman, berbasikal dan mendaki gunung bagi meningkatkan stamina serta kecergasan.

Katanya, dari segi regim penjagaan kecantikan pula, tiada amalan khusus sebaliknya dia memastikan tidur yang cukup setiap hari selain sentiasa positif dan gembira.


TUBUH Rosmeme kekal langsing meskipun usia meningkat.

“Tekanan hidup sebenarnya boleh menjejaskan keseluruhan hidup wanita. Biasanya saya akan mendaki bukit atau gunung sebagai terapi dan melepaskan tekanan.

“Selain dapat menikmati keindahan alam, aktiviti seperti ini sebenarnya membuatkan kita lebih positif dalam menghadapi apa jua cabaran kehidupan.

Rosememe yang juga penolong pengurus kewangan berkata, minum air suam mencukupi dan menjaga pemakanan juga menjadi amalannya sejak remaja. Paling penting, dia sedaya mungkin mengelak daripada mengambil makanan manis.

Ibu kepada dua cahaya mata ini juga menasihatkan golongan muda agar tidak terlalu taasub kelihatan cantik sehingga tidak berfikir panjang menggunakan atau mengambil produk yang boleh memudaratkan diri.

“Pengaruh media sosial dan dunia tanpa sempadan ini sangat besar. Tidak hairan jika ramai yang mudah terpengaruh dengan iklan yang sebenarnya mengaut keuntungan semata-mata dan memperjudikan kesihatan mereka untuk kelihatan cantik. Paling penting, perlu berhati-hati dengan apa saja produk yang menjanjikan kesan segera.

“Sebelum mengambil apa-apa produk mereka perlu mendapatkan nasihat dan pendapat pakar terlebih dulu. Bagi saya, untuk kekal awet muda, seelok-eloknya kita amalkan menggunakan sumber semula jadi, itu lebih selamat,” katanya.

Minyak zaitun, bawang putih dan madu

Bagi Norli Ismail, 47, sejarah keluarga yang ada menghidap diabetes dan tekanan darah tinggi menjadikan dirinya lebih berwaspada dalam penjagaan kesihatan.

Katanya, amalan gaya hidup sihat menjadi keutamaannya tambahan pula dirinya semakin meniti usia, banyak penyakit yang mudah menyerang jika tidak mengambil berat penjagaan diri.

Dari segi kecantikan pula katanya, memandang dia berketurunan Jawa, nenek dan ibunya begitu mengambil berat bukan saja kesihatan luaran malah dalaman.


NORLI mengamalkan petua nenek moyang untuk langsing dan sihat.

“Sejak usia saya belasan tahun saya diajar minum jamu tradisional dan terus menjadi amalan sehingga kini. Selain itu mandian rebusan serai wangi juga antara petua yang diamalkan untuk kesegaran tubuh badan.

“Saya juga amalkan minum segelas air kosong sebaik saja bangun tidur, minum sesudu minyak zaitun, dua ulas bawang putih bakar dan madu dicampur perahan lemon sesudu setiap hari.

“Amalan ini amat berkesan buat saya untuk kekal awet muda, cergas dan bertenaga selain mengamalkan senaman secara berkala.

“Alhamdulillah, apabila badan kita sihat banyak aktiviti dapat dilakukan bersama keluarga dan rakan. Ada juga rakan yang mengatakan saya kelihatan seperti kakak apabila berjalan beriringan dengan anak perempuan saya ,” katanya.

Ibu kepada tiga cahaya mata ini berkata, dari segi regim penjagaan kulit wajah pula, dia mengamalkan memakan madu yang dicampur kayu manis Ceylon dan lebihannya disapu pada muka sebagai lulur.


NORLI (kiri) bersama suami (kanan) dan anak pada majlis pertunangan anak perempuan mereka.

Norli juga tidak menolak fikiran positif dan jiwa perlu sentiasa rasa muda membuatkan dirinya terus berkeyakinan untuk tampil menarik.

“Pemakanan yang betul, tidur mencukupi selain pantang larang orang tua seperti kurangkan minum air berais memang bagus untuk diamalkan. Kadangkala apa yang menjadi pantang larang itu ada kaitannya untuk kesihatan dan kecantikan.

“Selain itu, sentiasa berfikiran positif dan pandai kawal emosi juga penting kecantikan rohani,” katanya.

Kekal saiz M

Latifah Rafii, 48, turut berpendapat kecantikan itu lahir daripada tubuh yang cergas dan minda yang positif selain bijak menguruskan tekanan hidup.

Katanya, kehidupannya yang sentiasa sibuk sebagai perunding hartanah selain bergelar ibu tunggal kepada empat cahaya mata menjadi pemangkin untuk dia lebih menjaga kesihatan dan penampilan.

Baginya, tiada istilah tiada masa. Disebabkan itulah, dia menjadikan senaman sebagai rutin wajib selain menjaga pemakanan seimbang dan minum air kosong secukupnya untuk mengekalkan stamina.


LATIFAH sentiasa positif dan gembira melalui kehidupannya.

“Boleh dikatakan setiap minggu saya mendaki bukit bersama rakan selain bermain bola jaring yang menjadi kegemaran sejak muda.

“Dari segi kecantikan pula tiada petua tertentu diamalkan hanya membabitkan rutin biasa seperti mencuci wajah setiap hari, memastikan sisa solekan dibersihkan sebelum tidur dan menggunakan pupur wajah sekali atau dua kali seminggu.

“Dari dulu lagi saya memang menjaga pemakanan dan sentiasa memastikan baju kekal pada saiz M. Kalau dirasakan pakaian semakin ketat, cepat-cepat saya mengawal pengambilan kalori makanan dan bersenam,” katanya.

Bagi Latifah, kecantikan juga amat subjektif kerana ia tidak diukur pada sisi luaran saja. Sikap dan peribadi turut memainkan peranan terutama apabila bersosial dengan masyarakat.


AKTIVITI mendaki menjadikan Latifah kekal cergas.

Katanya, tidak perlu ghairah untuk kelihatan cantik kerana dengan sikap positif, hati yang tenang dan pandai mengawal emosi sudah cukup disenangi orang lain.

“Memang membimbangkan apabila melihat ramai wanita muda sanggup mengambil produk yang menjanjikan kesan segera yang selalunya berbahaya.

“Semak dulu kandungan dalam produk yang diambil dengan pihak berwajib atau kembali kepada makanan semula jadi yang lebih selamat dan menjimatkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 2:39 PM