CANTIK dan manis dipandang.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Bukan hanya busana, malah pemilihan selendang mahupun tudung antara faktor penting dalam menyerlahkan imej keseluruhan yang tentunya manis dipandang.

Tudung dan selendang biasanya dipilih atas beberapa faktor antaranya sesuai dengan busana dipakai, selesa digayakan, menjimatkan masa dan tidak terlalu mahal.

Meskipun rekaan tudung dan selendang di pasaran bagaikan cendawan tumbuh, rekaan hijab yang tampak eksklusif dan mewah dengan harga berpatutan agak sukar dicari kerana rata-ratanya kini dijual dengan harga tinggi.

Oleh itu, pengeluar tudung berkenaan menawarkan koleksi bawal dan selendang satin pusam yang dijual dengan harga mampu milik.


KOLEKSI tudung dan selendang dijual dengan harga mampu milik.

Menurut pengasas tudung Zf Byzuriafatmi, Zuria Fatmi Mohamed, semua jenis tudung bawal dan selendang polos dijual pada harga RM30 sehelai sementara bagi yang bercorak pula ditawarkan pada harga RM65.

“Kami melakukan sendiri semua proses penghasilan tudung bermula daripada pemilihan material, menjahit hingga pembungkusan.

“Saya juga melakukan proses pemilihan material tudung dengan teliti bagi memastikan ia benar-benar berkualiti selain cuba memakainya terlebih dulu sebelum dijual kepada pelanggan.

“Keistimewaan kami dari aspek harga kerana dengan RM30 pelanggan boleh mendapatkan tudung bawal satin yang berkualiti tinggi.

“Mungkin ada di pasaran tudung atau selendang yang dijual dengan harga lebih rendah namun kualitinya tidak sama,” katanya.


ANTARA koleksi yang menarik.

Zuria Fatmi berkata, bagi tudung atau selendang bercorak, koleksi itu adalah terhad kerana pihaknya hanya mengeluarkan 200 hingga 300 helai bagi setiap warna dan corak.

“Kami memfokuskan pelanggan dalam kalangan pelajar dan golongan sederhana. Syukur selepas melancarkan tujuh koleksi berbeza, sambutan diterima sangat menggalakkan yang rata-rata pelanggan berpuas hati dengan kualiti dan harga ditawarkan.

“Bagi aspek saiz, tudung bawal kami didatangkan dalam saiz bidang 45 inci kerana ia lebih memudahkan si pemakai untuk bergaya. Koleksi kami juga tidak jarang dan mudah dibentuk,” katanya.

Tambahnya, dengan pelbagai pilihan warna menarik, koleksi terbaru ini ternyata mampu menjadi selendang dan tudung kegemaran setiap Muslimah yang ingin tampil bergaya.


MENGHASILKAN imej manis dan sopan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 8:23 AM