DR Edmund menunjukkan perbezaan kaki rata (kiri) dan kaki normal.
PEMERIKSAAN keseimbangan kaki pada alatan khas.
DR Edmund membuat acuan kaki pesakit yang bermasalah.
PELAPIK kaki khas untuk pelbagai masalah kaki.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Setiap individu memiliki bentuk tapak kaki berbeza. Ada yang memiliki jenis tapak kaki melengkung, sederhana rata, rata sepenuhnya atau bengkok ke dalam.

Mungkin ramai yang tidak tahu jenis bentuk kaki masing-masing sehinggalah mula sakit dan tidak selesa yang akhirnya memaksa individu terbabit melakukan pemeriksaan kaki atau bertemu pakar perubatan.

Hakikatnya, individu yang memiliki tapak kaki sederhana rata, rata sepenuhnya dan bengkok ke dalam berisiko berdepan pelbagai masalah kaki terutamanya jika tidak diambil perhatian sejak usia kanak-kanak.

Kaki rata adalah normal pada bayi dan kanak-kanak kecil (sehingga 44 peratus kanak-kanak dari tiga hingga enam tahun). Kaki rata biasanya secara semula jadi diperbetulkan sendiri ketika otot semakin kuat dan tisu lembut mengeras.

Menurut Pakar Ortotik Pusat Rehabilitasi Antarabangsa Sunfeet Petaling Jaya, Datuk Dr Edmund Lee, kanak-kanak dengan kaki rata juga dikenali sebagai planus pes mempunyai tapak kaki yang rata ketika berdiri dan berjalan.

Katanya, ketinggian lengkung kaki meningkat seiring umur kanak-kanak sehingga sembilan tahun. Masalahnya ialah apabila kaki rata berterusan, secara spontan berlaku pada kanak-kanak yang lebih tua atau dikaitkan dengan kesakitan dan ketidakupayaan.

Kaki rata boleh menjadi fleksibel atau tegar, menyakitkan atau tidak menyakitkan dan dikaitkan dengan ketegangan otot betis (tendon Achilles).

Kebanyakan kaki rata tidak menyakitkan, tetapi kesakitan biasanya terjadi ketika aktiviti yang menanggung berat badan seperti berjalan dan berlari. Kesakitan boleh berlaku pada tapak, pergelangan kaki atau kesakitan yang tidak khusus di sekitar bahagian kaki.

“Kanak-kanak yang mempunyai jenis tapak kaki rata sepenuhnya bakal berdepan masalah kesihatan apabila meningkat dewasa dan seterusnya ketika tua.

“Jenis tapak kaki rata sepenuhnya ialah satu bentuk kecacatan kaki, namun jangan risau kerana kecacatan ini boleh diperbetulkan dan diatasi,” katanya.

Menurutnya, masalah ini boleh diperbetulkan sebelum individu terbabit berusia 14 tahun kerana ketika itu tulang masih lembut dan boleh dibentuk semula.

“Bagaimanapun, sekiranya masalah ini tidak diperbetulkan sehingga dewasa, mereka akan kekal dengan keadaan kaki itu selama-lamanya.

“Keadaan itu bukan saja memberi tekanan kerana perlu menanggung kesakitan dalam tempoh lama malah lebih membimbangkan apabila ia bakal memberi kesan negatif terutama kepada kesihatan individu itu,” ujarnya.

Menurut Dr Lee, berdasarkan keadaan itu, ibu bapa atau golongan dewasa seharusnya memainkan peranan dengan bersikap lebih prihatin memantau perkembangan tapak kaki anak sama ada normal atau luar biasa kerana jenis atau kecacatan kaki hanya boleh dilihat selepas berusia lima tahun.

Mengenai komplikasi kesihatan bagi individu yang mempunyai tapak kaki rata sepenuhnya, Dr Edmund berkata, golongan itu mengalami masalah kesakitan seperti sakit pada tumit, tulang kering, tulang belakang, leher, lutut, postur badan yang tidak seimbang dan pergerakan jalan yang tidak cantik.

“Semua kesakitan akibat kecacatan itu hanya dirasai selepas individu terbabit meningkat dewasa kerana ia tidak terlihat ketika individu itu masih kanak-kanak.

“Lama-kelamaan individu terbabit akan berterusan berasa sakit kerana keadaan kaki bertambah teruk sekiranya ia tidak ditangani dengan betul,” katanya.

Tambahnya, kaki rata merujuk kepada keadaan lengkungan kaki tersentuh sepenuhnya atau hampir lengkap pada tanah ketika seseorang itu berdiri.

PEMILIHAN KASUT

“Bagi individu yang memiliki tapak kaki rata, pemilihan kasut sangat penting dengan mengikut saiz kaki kerana sekiranya tidak dilakukan dengan betul, ia menyebabkan kesakitan serta berdepan dengan masalah penjajaran kaki.

“Ini kerana ketika berjalan atau berdiri, beban tekanan dan lebihan tenaga akan tertumpu sepenuhnya kepada tapak kaki yang akan menyebabkan kaki berasa sakit,” ujarnya.

Katanya, pemeriksaan kaki bermula dengan pemeriksaan menyeluruh kanak-kanak, kerana kaki rata mungkin disebabkan faktor berbeza.

Masalah umum yang menyebabkan gejala kaki rata termasuklah palsi serebrum, beberapa bentuk distrofi otot, artritis dalam kalangan remaja, gangguan diwarisi yang menjejaskan sistem saraf dan beberapa gangguan tisu penghubung.

Selain itu, individu yang mengalami masalah tapak kaki rata sepenuhnya bakal menghadapi kesukaran berjalan atau berdiri terlalu lama.

Menurut Dr Lee, kecacatan tapak kaki rata boleh diperbetulkan tanpa sebarang pembedahan, sebaliknya ditangani dengan penggunaan kasut atau pelapik kasut yang sesuai dengan kaki.

Bagaimanapun, katanya, tidak semua pelapik kasut sesuai dengan setiap orang kerana keperluan yang berbeza-beza.

“Majoriti masyarakat Malaysia cenderung memilih kasut tanpa mengukur kaki mereka terlebih dulu. Sebenarnya, apa yang mereka perlu lakukan adalah menyarungkan kaki terus ke dalam kasut.

“Apabila memilih kasut, jangan pilih kasut yang muat-muat dengan kaki dan pilihlah saiz longgar sedikit, sekurang-kurangnya lebihkan dua jari pada bahagian hadapan kasut supaya jari-jemari kaki tidak tersekat serta boleh digerakkan,” katanya.

Dia turut memberi panduan supaya mencuba kasut dengan kaki kanan terlebih dahulu kerana saiznya lebih besar berbanding kaki kiri selain membeli pada waktu tengahari ketika kaki sedang mengembang.

“Antara faktor terjadinya masalah tapak kaki rata sepenuhnya ialah pemakaian kasut yang tapaknya terlalu lembut.

“Oleh itu, mereka yang mengalami masalah kaki digalakkan bertemu dengan pakar ortotik bagi menjalani rawatan manakala kesedaran mengenai penjagaan kaki dari awal amat penting supaya tidak memudaratkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2018 @ 12:15 PM