MAKANAN tinggi protein baik untuk tubuh.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Jika ditanya mengenai sarapan, pasti ramai individu mengatakan mereka meninggalkan sarapan disebabkan kesuntukan masa dan ada pula langsung tidak berminat menjamah makanan kerana sudah terbiasa dengan perut kosong setiap pagi.

Bersarapan selepas bangun tidur sebelum jam 10 pagi membuatkan badan dan otak lebih segar kerana tubuh menerima semua nutrien dan tenaga diperlukan untuk mendapatkan prestasi optimum sepanjang hari.

Merujuk kepada International Food Information Council 2013, sarapan boleh meningkatkan metabolisme manakala pengambilan sarapan sihat akan meningkatkan metabolisme dan membuatkan tubuh bekerja lebih keras selepas semalaman tanpa makanan.

Makanan popular seperti bijirin gandum dan roti, produk berasaskan susu dan buah-buahan membantu mengurangkan risiko sindrom metabolik, sekali gus membantu badan mengawal tahap insulin.

Ini dijelaskan oleh Cenzon (2011) yang menyatakan ketika tidur, metabolism badan cenderung untuk menjadi lebih perlahan dan rendah. Sarapan pagi yang sihat membolehkan badan mula membakar kalori dari awal pagi dan membantu dalam pengawalan berat badan.

Menurut ahli Lembaga Penasihat Herbalife Nutrition, Dr Julian Alvarez, makanan pertama pada awal pagi sangat penting kerana ia menentukan perjalanan kesihatan pada hari itu.

Individu yang mengambil sarapan biasanya mempunyai tabiat makan sihat sepanjang hari dan ini menghasilkan kesan positif terhadap keseluruhan kesihatan, pengurusan berat badan yang lebih baik serta pencegahan penyakit kerana mereka memiliki nutrien diperlukan tubuh.

“Perlakuan tidak bersarapan dikaitkan dengan kualiti diet yang rendah, peningkatan pengumpulan lemak pusat dan faktor risiko kardio-metabolik. Ia juga menyebabkan seseorang itu makan secara berlebihan beberapa kali sehari, berpotensi meningkatkan tindak balas metabolik dan hormon, seterusnya mengurangkan jumlah pengambilan kalori pada hari itu.

“Jumlah kalori yang disyorkan bagi menyediakan sarapan seimbang adalah 15 peratus hingga 25 peratus daripada jumlah pengambilan tenaga harian. Julat ini berbeza mengikut umur, jantina, keperluan tenaga harian dan gaya hidup seseorang,” katanya ketika berucap dalam kempen sarapan sihat anjuran Herbalife Nutrition di Wisma Herbalife, Jalan Raja Chulan, baru-baru ini.

Kempen ini diadakan bagi meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia terhadap isu obesiti di negara ini. Pada tahap obesiti yang tinggi, kesedaran mengenai pengambilan makanan adalah penting bagi membantu memupuk tabiat makan yang lebih sihat dalam kalangan rakyat negara ini.

Tambah Dr Julian, setiap orang berhak membuat pilihan sama ada inginkan kehidupan berkualiti atau sebaliknya. Ia bergantung kepada diet seimbang yang diamalkan. Namun dengan perubahan cara hidup dan kepelbagaian makanan yang boleh diambil sepanjang masa menyebabkan individu makan apa saja tanpa menghiraukan jenis makanan dan kandungan nutrisi di dalamnya.

“Apa yang orang ramai perlu tahu adalah bukan kekerapan makanan tetapi saiz hidangan. Misalnya dengan mengurangkan karbohidrat di dalam nasi dan mi dan melebihkan protein dan vitamin.

“Perkara ini dapat dilakukan dengan menukar pengambilan makanan dalam sarapan dan anda mampu mengubah jenis makanan ketika makan tengah hari dan malam,” katanya yang menasihati individu agar menetapkan matlamat yang ingin dicapai terutama dalam perubahan amalan gaya hidup sihat.

DIET TINGGI PROTEIN PENTING

Pengambilan makanan tinggi protein sangat penting terutama untuk pengamal yang ingin menurunkan berat badan. Ia memberikan rasa kenyang yang lebih lama berbanding makanan kaya karbohidrat dan lemak.

Selain itu, protein membantu dalam pembentukan otot yang diperlukan dalam pergerakan seharian. Protein yang diperlukan juga adalah berbeza bergantung kepada keperluan badan setiap individu.

“Untuk itu individu disarankan melebihkan makanan mengandungi protein dan kurang karbohidrat. Melalui cara ini tubuh akan dipaksa membakar timbunan lemak lalu diubah menjadi tenaga sehingga berat badan menurun dengan cepat.

“Namun ia bukan bererti menggantikan karbohidrat dengan protein sepenuhnya sebaliknya meningkatkan makanan kaya protein yang biasanya di antara 10 hingga 20 peratus menjadi 30 hingga 40 peratus. Apabila dilakukan dengan betul ia akan memberikan nilai positif pada tubuh,” katanya yang menggalakkan rakyat negara ini bersenam bagi mengelakkan terjerumus ke dalam masalah kegemukan.

Menurut Pengurus Besar Herbalife Nutrition Malaysia, Steven Chin, antara faktor lain yang turut menyumbang kepada obesiti di Malaysia ialah kurangnya pembabitan dalam aktiviti fizikal.

Pada zaman dahulu, banyak aktiviti fizikal seperti bermain bola sepak dan berbasikal dilakukan di kawasan perumahan. Bagaimanapun, dengan perubahan gaya hidup dan pemakanan menyebabkan corak pengambilan makanan berubah. Ini menyebabkan peningkatan berat badan, sekali gus menyumbang kepada masalah kesihatan yang lain.

“Kecenderungan terhadap obesiti memang menggerunkan. Justeru, marilah kita berusaha mengamalkan tabiat makan yang betul terutamanya ketika bersarapan. Bersenam setiap hari juga sangat penting untuk mendapatkan bentuk badan yang diinginkan,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada kempen gaya hidup sihat, Herbalife Nutrition melancarkan pek sarapan sihat Formula 1 Nutritious Mixed Soy Protein Drink, Herbal Aloe Concentrate Mix dan Tea Mix.

Pek ini menyediakan kombinasi yang ideal kerana Formula 1 Nutritious Mixed Soy Protein Drink yang berglisemik rendah merangkumi protein, serat dan karbohidrat berkualiti untuk memulakan hari, sementara Herbal Aloe Concentrate Mix membantu penyerapan nutrien serta menyokong sistem pencernaan yang sihat. Untuk kesihatan yang menyeluruh, Tea Mix yang mengandungi kafein secara semula jadi berfungsi sebagai alternatif rendah kalori untuk memberikan rangsangan tenaga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 1:17 PM