Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Wajah umpama kanvas untuk menumpahkan daya kreativiti dan ekspresi diri. Andai bijak bermain dengan warna dan berus, sesiapa pun pasti boleh tampil dengan gaya unik lagi tersendiri.

Tambah manis jika wajah yang sudah dirias cantik, dipadankan dengan busana menawan, tentu makin terserlah gaya, sekali gus meningkatkan keyakinan di khalayak umum.

Terbukti kemahiran bersolek sememangnya membantu ramai wanita menyerlahkan penampilan, menonjolkan wajah lebih segar dan ceria.

Tidak perlu keterlaluan, solekan harian atau semula jadi yang kerap digayakan ke pejabat atau bertemu kenalan sebenarnya sudah memadai untuk kelihatan manis.

Sesuai dengan keadaan cuaca tidak menentu kini, jenis solekan harian yang tampak lebih semula jadi tidak menyebabkan si empunya diri kelihatan pelik atau dipandang sinis ketika berdepan khalayak.

Menurut jurusolek profesional Rohaya Rahim, penggunaan rona lembut dan warna tanah lebih sesuai digunakan untuk mendapatkan solekan yang semula jadi.

“Faktor cuaca yang tidak menentu kini sememangnya tidak sesuai untuk wanita mengenakan solekan terlalu tebal terutama bagi riasan wajah harian.

“Selain nampak pelik, kulit wajah juga berisiko rosak dan meninggalkan kesan cela sekiranya kerap mengenakan solekan tebal,” katanya.

Rohaya berkata, walaupun sekadar bersolek ringkas, dengan menggunakan teknik yang betul, ia mampu menghasilkan solekan memukau.

“Faktor pemilihan warna pembayang mata, pemerah pipi dan gincu antara elemen terpenting selain penggunaan bedak asas dan bedak tabur yang tidak perlu keterlaluan.

“Penggunaan rona lembut akan membuatkan wajah tampak manis, tetapi yang paling utama adalah teknik solekan. Sekiranya kaedah aplikasinya tepat, ia pasti menaikkan seri wajah,” ujarnya.

Menurut Rohaya, solekan ringkas boleh dilakukan dalam tempoh singkat kerana tidak memerlukan langkah dan teknik yang banyak.

“Memadai tempoh 20 minit untuk membuatkan wajah lebih ceria dan berseri terutama apabila menggunakan rona semula jadi,” katanya.

Rohaya berkongsi langkah demi langkah, solekan harian untuk mendapatkan hasil pada wajah yang lebih semula jadi.

Tip

1. Untuk kesan mata lebih memukau, boleh gunakan bulu mata palsu. Namun disarankan hanya menggunakan sapuan maskara untuk solekan harian.

2. Sentiasa pilih bedak tabur rona bersesuaian dengan kulit wajah untuk menyerlahkan hasil solekan semula jadi.

3. Elak penggunaan pemerah pipi rona terang untuk penampilan lebih manis.


1. SEBELUM menyapu bedak asas atau bedak tabur, lukis kening terlebih dulu bagi memastikan ia kelihatan kemas terbentuk.

2. OLES pembayang mata menggunakan rona bersesuaian. Jika mahukan mata yang memukau, gunakan bulu mata palsu atau maskara.

3. SAPUKAN bedak asas ke seluruh wajah dengan sekata, kemudian diikuti dengan bedak tabur.

4. KEMUDIAN sapukan pemerah pipi juga menggunakan rona tidak keterlaluan.

5. GUNAKAN gincu mengikut rona digemari atau bersesuaian dengan busana dipakai.

6. Semburkan pelembap wajah supaya solekan kekal lama.

7. WAJAH model selepas siap disolek.

ROHAYA Rahim (kanan) bersama Nurul Nadia Salleh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 12:59 AM