PENILAIAN akhir juri.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Pertandingan Seni Lukis Warisan Usaha Tegas yang dulunya dikenali sebagai Pertandingan Seni Lukis Peringkat Kebangsaan Warisan Tanjong berjaya mencungkil bakat pelukis muda menghasilkan karya berilhamkan kekayaan budaya dan warisan di Malaysia.

Pertandingan untuk tahun ke-18 menjadikan lokasi bersejarah, bangunan warisan serta tradisi dan budaya masyarakat negara ini sebagai tema utama didukung pihak penganjur pertandingan agar elemen itu dipelihara sepanjang zaman.

Menurut Pengarah Usaha Tegas Sdn Bhd, Maureen Toh, memelihara warisan budaya dan tradisi tempatan menerusi medium kreatif dan artistik ialah misi utama kumpulannya.

“Ia adalah misi Kumpulan Usaha Tegas dalam mengekalkan budaya dan warisan di Malaysia melalui minda yang kreatif dan artistik. Apa yang menjadi asas kepada pertandingan ini ialah warisan negara kita, Malaysia. Ia membentuk masa silam kita, mewarnai masa kini dan kita harus berusaha bersama-sama mengekalkan warisan demi generasi akan datang.

“Pertandingan Seni Lukis Warisan Usaha Tegas ini berjaya mencungkil bakat baru dalam bidang seni lukis. Ramai pemenang pertandingan kami kini dikenali sebagai pengkarya seni terkemuka.

“Menyambung tradisi pertandingan ini, peserta tahun ini juga mempamerkan interpretasi mereka mengenai warisan di Malaysia dengan cara tersendiri, sekali gus menjadi pengukur kepada peserta pada pertandingan akan datang,” katanya.

Sebanyak 955 penyertaan karya seni lukis diterima dan 535 karya disenarai pendek bagi menyertai pertandingan ini. Pada peringkat seterusnya, 29 karya daripada 25 pelukis dipilih sebagai pemenang hadiah keseluruhan bernilai RM77,000.

Dasein Academy of Art (Dasein) muncul sebagai institusi paling menyerlah daripada 21 institusi yang mengambil bahagian dengan membawa pulang lapan hadiah keseluruhan.

Bagi kategori Seni Cetak, pihak juri memilih tujuh pemenang dengan wakil Equator College, Teh Jun Yang sebagai juara. Bagi kategori Warna Air, wakil dari The One Academy, Seow Yong Khin dan Universiti Sains Malaysia, Fung Wei Wei dipilih untuk berkongsi tempat pertama.

Kategori lain iaitu Arang, Pensel dan Dakwat, tempat pertama diraih peserta dari ATEC Academy, Lee Lih Xian. Sim Hoi Ling dari Dasein Academy of Art (Dasein) memenangi tempat pertama bagi kategori Media Campuran manakala Foo Fang Xuan menjuarai kategori Minyak dan Akrilik.

Barisan juri diketuai pereka cetak Malaysia yang pernah merangkul beberapa anugerah dalam industri sepanjang pembabitan selama 35 tahun, Juhari Said selain Chin Kon Yit , Dr Kim Phaik Lah, Ar Laurence Loh, Hasanul Isyraf Idris dan tidak lupa Presiden Badan Warisan Malaysia, Elizabeth Cardosa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 10:36 AM