DR Maryam Jameelah.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Jika ditanya kepada ibu yang pernah memiliki bayi pramatang pasti mengakui hati mereka tidak sekuat mana. Jika boleh mahu diganti kesakitan si kecil agar mereka tidak melaluinya. Melihat tiub dan wayar berselirat di badan, urat tangan yang dicucuk jarum sehingga lebam kebiruan adalah proses yang amat sukar. Itu belum mengambil kira emosi ibu yang terganggu kerana tidak dapat menyusukan bayi secara terus seperti ibu lain.

Menjelaskan lebih lanjut proses penjagaan si kecil pramatang menurut Pakar Kanak-Kanak Hospital Pakar An-Nur Dr Maryam Jameelah Razali, dalam terma perubatan, kelahiran pramatang yang juga dikenali sebagai kelahiran pramasa berlaku apabila bayi dilahirkan sebelum lengkap minggu ke-37 kehamilan.

Kebiasaannya wanita hamil akan mengalami kesakitan dan melahirkan anak pada usia kandungan 37 minggu ke atas. Namun sekiranya kelahiran berlaku tiga minggu awal daripada 40 minggu, bayi yang dilahirkan dikategorikan sebagai pramatang.

“Ada juga yang melahirkan anak pada usia 28 minggu ke bawah. Kelahiran ini dipanggil sebagai pramatang ekstrem. Kelahiran pramatang bermakna bayi mempunyai masa yang lebih pendek untuk menjalani proses perkembangan dan pembesaran di dalam rahim ibu. Keadaan ini boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan kepada bayi itu sendiri yang berkaitan dengan perkembangan otak, fizikal, paru-paru dan jantung serta penglihatan,” katanya.

Selain itu masalah yang dihadapi oleh bayi juga bergantung kepada usia kehamilan ketika dilahirkan. Lebih pendek tempoh bayi dalam kandungan, risiko bayi mengalami masalah kesihatan adalah lebih tinggi.

“Dalam kes kelahiran pramatang ini, bayi mempunyai saiz badan yang kecil, lemah, berat badan hanya dalam lingkungan 450 hingga 1,600 gram dengan panjang sekitar 25 hingga 33 sentimeter.

“Bukan itu sahaja, tumbesaran bayi pramatang ini juga masih belum lengkap. Disebabkan itu mereka dilahirkan dengan paru-paru yang belum berfungsi sempurna dan berkembang sepenuhnya,” katanya.

DITEMPATKAN DALAM NICU

Hampir semua bayi pramatang perlu dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal atau NICU sehingga berat mereka mencapai berat ideal iaitu 1.8 kilogram. Ini disebabkan organ dalaman bayi kebiasaannya masih belum cukup matang. Malah mereka boleh mengalami masalah pernafasan, pencernaan dan juga penglihatan atau retinopati pramatang (ROP) .

Walaupun diletakkan di dalam inkubator, ibu boleh melihat bayinya sekerap yang mungkin. Dalam sesetengah kes ibu masih boleh menukar lampin, memegang, menyentuh, mengusap dan bercakap dengannya. Bayi pramatang memerlukan layanan istimewa yang boleh diberikan oleh ibu bapanya sahaja.

Bagi bayi yang dilahirkan di antara minggu ke-34 dan ke-37 mungkin tidak memerlukan sebarang rawatan perubatan. Bayi mungkin terus ke wad posnatum bersama ibu sekiranya tidak menghadapi sebarang masalah.

“Ibu digalakkan mendukung bayi rapat ke dada bagi memberikan belaian emosi dan fizikal yang baik untuk tumbesarannya,” katanya.

Menurut Dr Maryam, semua bayi pramatang dengan berat 1.8kg ke bawah akan dimasukkan ke NICU. Ini kerana semua peralatan penting seperti alat bantuan pernafasan atau ventilator dan inkubator ada disediakan manakala kakitangannya dilatih untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan.

Bayi pramatang perlu diberikan perhatian dan penjagaan rapi kerana selain kulitnya yang lembut, mereka juga mudah dijangkiti kuman. Selain itu, bayi pramatang ini juga boleh mengalami pelbagai komplikasi. Antaranya masalah paru-paru, penyusuan, jangkitan penyakit, masalah penglihatan, episod nafas terhenti (apnea) dan pendarahan dalam otak.

“Kebanyakan bayi pramatang tidak boleh menyusu secara terus dan perlu diberikan menerusi tiub. Namun begitu setiap bayi perlu dipantau sama ada boleh menyusu atau tidak serta tiada sebarang komplikasi seperti keradangan usus. Jika semuanya berada dalam keadaan baik penyusuan akan diteruskan,” katanya.

Sebelum bayi dibenarkan pulang ke rumah, ibu diajar teknik bantuan pernafasan atau CPR. Dalam situasi ini bayi boleh berhenti bernafas secara tiba-tiba, jadi dengan latihan diberi ibu tidak panik dan boleh mengawal situasi mereka.

PENJAGAAN BAYI PRAMATANG DI RUMAH

1. Pastikan rumah dalam keadaan bersih. Elakkan bayi terdedah kepada asap rokok.

2. Sesuaikan suhu bilik di rumah, jangan terlalu panas atau terlalu sejuk. Bayi pramatang sangat sensitif.

3. Pernafasan bayi boleh terhenti selama beberapa ketika. Ini dipanggil apnea. Ibu perlu belajar cara untuk membantu bayi bernafas semula sebelum meninggalkan hospital.

4. Pastikan bayi berikan susu ibu. Susu ibu mengandungi antibodi dan nutrien yang tinggi untuk membantu meningkatkan daya pertahanan tubuh daripada serangan penyakit dan menyokong tumbesaran agar lebih sihat.

5. Cuci tangan dengan bersih sebelum menyentuh bayi. Gunakan pembersih tangan yang dibeli di farmasi.

6. Kurangkan keluar atau berjalan di tempat yang sesak dan ramai orang seperti pusat beli-belah, majlis keraian atau balik kampung kerana mereka mudah mendapat jangkitan penyakit.

7. Jika ada yang ingin melawat bayi di rumah, elakkan daripada bayi dicium. Beritahu tetamu keadaan anak tidak berapa kuat supaya mereka faham.

8. Banyakkan sentuhan dan dakapan dengan anak. Sentuhan kulit ke kulit boleh merangsang emosi anak agar lebih sihat dan menggalakkan anak untuk cepat membesar. Sentuhan kulit ke kulit atau penjagaan kanggaru adalah salah satu cara yang sangat digalakkan.

9. Bayi akan diberikan pelan menyusu dan digalakkan mengambil susu khas pramatang sekiranya tidak diberikan susu ibu.

10. Jangan lupa suntikan vaksin tambahan.

11 . Pastikan anda dan bayi mengikuti temujanji yang ditetapkan di hospital untuk memantau perkembangan dan beratnya sehingga bayi berusia dua tahun agar tiada perkembangan yang terbantut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 12:39 PM