ANAK Noorharyanty dididik berkebun sejak kecil.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Siapa sangka dari sekadar minat untuk berkebun di laman rumah sendiri, kini wanita ini menjadi ikutan menerusi laman sosial selepas menubuhkan kumpulan Kebun Kecil-Panduan dan Tutorial di Facebook.

Menariknya, hanya dalam tempoh dua bulan, komuniti kebun ditubuhkan Noorharyanty Mohd Sabri, 44, sudah pun mempunyai lebih 5,400 pengikut.

Menerusi komuniti itu katanya, ahli dapat berkongsi idea, ilmu berkebun, mengenali lebih banyak jenis tanaman atau tumbuhan serta cara penjagaan pokok selain menjadi medium maklumat bagi mendapatkan benih, anak pokok dan bahan lain untuk berkebun.

Menurut Noorharyanty, meskipun minat menanam sudah bercambah sejak 17 tahun lalu, dia hanya aktif melakukan aktiviti itu sejak dua tahun lalu.

“Sebenarnya bukan susah hendak mewujudkan taman dapur. Maklumat mengenainya begitu mudah dicari dan banyak di Internet, bergantung kepada diri sama ada hendak atau tidak saja untuk mengusahakannya.

“Namun, apa yang memuaskan hati apabila kami sekeluarga boleh makan sayuran yang bebas racun kimia dan pada masa sama dapat menggalakkan anak-anak untuk sukakan sayur.

“Saya babitkan anak dalam aktiviti berkebun dan mereka juga meminati hobi ini biarpun mereka masih kecil. Banyak juga sumbangan mereka misalnya menolong mencabut rumput yang tumbuh di dalam pasu atau menyiram tanaman.

“Mereka minat melihat pokok dan tumbuhan yang saya tanam dan mula belajar mengenal jenis pokok, sayuran dan buah-buahan. Sebab itu, secara tidak langsung mereka suka makan sayur. Agaknya kerana seronok melihat hasil tangan sendiri,” katanya.

Menurutnya, dia turut mendapat sokongan penuh suaminya terutama jika mahu mencari atau membeli bahan untuk berkebun serta berjumpa rakan yang berkongsi minat sama.

“Sudah pasti satu kepuasan buat saya apabila dapat masak dan makan hasil sayur yang ditanam sendiri. Memang ada sesetengah sayuran kadang-kadang ambil masa lama sebelum boleh dituai, tapi berbaloi sebab sayur kita tanam ini tidak menggunakan racun.

“Kalau beli sayur di pasar, sesetengahnya tidak terjamin sama ada bebas racun serangga yang berbahaya, jadi ada baiknya saya menanam sendiri di rumah. Hasil tanaman pula ada yang digunakan sendiri dan saya juga berkongsi dengan jiran tetangga dan keluarga.

“Kadang kala ada juga rakan yang membeli biji benih dan anak pokok daripada saya,” katanya yang memanfaatkan tanah di sekeliling rumahnya yang terletak di Puncak Bestari, Bandar Puncak Alam.

Antara tanaman yang ditanam Norharyanty termasuk terung, timun, kubis, brokoli, kubis bunga, cili, labu, kacang botor, bendi dan tomato selain tanaman herba dan ulam seperti kunyit, kari, daun pandan, pegaga, pudina, kesum, oregano, basil dan kemangi.

Selain itu, Norhayanty turut menanam labu manis, tembikai, strawberi, kedondong, ubi kayu, ubi keledek, markisa, anggur, mulberi, mangga, kelapa pandan, pisang, longan, jambu batu, bidara, lemon, limau nipis, limau purut dan limau kasturi.

Dalam pada itu, Norhayanty turut mengamalkan beberapa petua untuk dikongsi bersama antaranya memilih biji benih yang berkualiti untuk mendapatkan hasil tanaman yang baik.

PANDUAN BERKEBUN DI LAMAN

1. Semai dengan cara yang betul bergantung pada jenis tanaman, sama ada dalam bekas semaian atau terus di batas.

2. Apabila anak pokok sudah cukup matang, barulah dilakukan pemindahan, lebih baik pada waktu petang untuk mengurangkan ‘kejutan’ pada pokok.

3. Tentukan tempat yang sesuai untuk menanam pokok. Ada yang perlukan cahaya matahari secara langsung, ada yang perlukan tempat teduh.

4. Jika memilih menggunakan pasu, bekas plastik atau polibeg, pastikan saiznya bersesuaian.

5. Pemilihan baja dan racun kawalan serangga yang sesuai (jika perlu dan tidak berbahaya). Pastikan ia berjadual.

6. Jangan lupa siram air secukupnya.

7. Pastikan rumput di kawasan kebun sentiasa terurus. Merumput penting supaya tidak berlaku perebutan nutrien, cahaya, air dan ruang di samping dapat menghapuskan tempat tinggal dan membiaknya perosak tanaman dan penyakit.

8. Bila baru bermula dengan sesuatu tanaman, banyakkan membaca (buku/Internet) atau dari pengalaman rakan cara penjagaan tanaman itu.

9. Berkebunlah dengan cara berilmu untuk dapatkan hasil yang baik. Jika gagal, cuba lagi, perbaiki kelemahan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2018 @ 2:33 PM