TIDAK keterlaluan dan boleh digayakan untuk acara santai atau menghadiri parti keluarga bersama rakan.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Pemakaian kanta lekap kini bukan lagi dianggap satu keperluan, sebaliknya sama seperti fesyen yang sentiasa berubah mengikut warna pakaian kegemaran atau padanan digayakan. Justeru akan tampil mereka yang memakai kanta lekap berwarna biasa seperti coklat, hitam dan perang serta rona lebih unik seperti merah, hijau, biru, ungu dan kuning.

Sememangnya ramai wanita berhijab gemar memakai kanta lekap berwarna untuk memberi gaya atau penampilan berbeza. Tidak salah mengenakan kanta lekap untuk memberikan solekan kelihatan lebih pop dan menarik. Tetapi sebaiknya cuba serlahkan kecantikan warna asal mata anda.

Menurut jurusolek profesional Nurin Wedding Nurin Adlina Basir, sememangnya terdapat perbezaan dalam pemilihan warna solekan untuk mereka yang gemar mengenakan kanta lekap berwarna.

“Walaupun sebenarnya kanta lekap coklat atau hitam lebih mudah disolek kerana sesuai dengan pelbagai ton pembayang mata namun mereka yang memakai kanta lekap berwarna akan lebih menyerlah dari segi solekan mata sekiranya pemilihan rona yang ‘kena’ gaya,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, untuk pemilihan warna bedak asas ia sama sahaja bergantung kepada jenis kulit sama ada cerah, sawo matang atau gelap. Beralih kepada pembayang mata, rona biru atau kehijauan akan menjadikan mata lebih galak bersinar terutama bagi mereka yang memiliki mata bundar.

“Solekan dengan kanta lekap rona sebegini lebih mencabar namun hasilnya lebih memikat disebabkan mata akan menjadi titik tumpu orang yang memandang. Untuk itu, pilih pembayang mata dalam kelompok merah jambu atau boleh digabungkan dengan sedikit coklat dan perang kemudian sapu sekata,” katanya.

Menjadikan pelengkap solekan mata adalah sapuan celak. Elakkan mengaplikasikan celak di bahagian bawah mata kerana akan membuatkan mata kelihatan lebih kecil. Celak ini juga menjadikan mata kelihatan ‘penat’ disebabkan kesan lingkaran hitam ini.

“Memadai sekiranya ingin memakai celak, hanya sapu di bahagian atas garis kelopak mata. Kemudian buat garisan celak daripada nipis dan semakin menebal ketika mencapai sudut mata. Ia menjadikan mata lebih menawan,” katanya.

Untuk maskara pula elakkan memakainya dengan melapisi bulu mata bawah mata. Ia hanya akan mempertegaskan kedutan-kedutan halus di sekitar mata. Sebaliknya oleskan maskara melapisi bulu mata atas.

“Untuk kanta lekap berwarna pilih maskara hitam agar mata lebih bersinar, bersih dan nampak asli. Aplikasi maskara yang terlalu tebal akan membuatkan bulu mata bergumpal. Untuk menjadikan bulu mata lebih lentik dan menawan, kepit dulu bulu mata menggunakan penyepit bulu mata,” ulas Nurin.

Tidak lengkap solekan tanpa sapuan pemerah pipi yang menjadikan solekan 80 peratus hampir selesai. Pilih rona merah jambu kemudian sapu menerusi tulang pipi ke bawah. Buat sedikit senyuman bagi memudahkan sapuan. Akhiri solekan dengan gincu rona kemerahan dan lapisi dengan pengilat bibir untuk kesan seksi dan senyuman menggoda.

Sekarang lihat perbezaan solekan menggunakan kanta lekap berwarna terutama pada bahagian mata. Pasti anda dapat rasakan keanggunan akan lebih terserlah. Solekan tampil lebih matang namun segar dan tidak keterlaluan.

Bagi wanita yang keliru dengan pemilihan kanta lekap berwarna di bawah terdapat panduan ringkas memilih kanta lekap bersesuaian ton kulit bagi mengelak anda kelihatan janggal atau pelik selepas mengenakan solekan.

Tip pemilihan kanta lekap

1. Kulit cerah

• Sekiranya anda berkulit putih atau cerah, anda boleh menggayakan warna kanta lekap pelbagai dalam kelompok terang. Warna yang sesuai seperti biru, ungu dan coklat cerah paling sesuai untuk anda.

2. Kuning langsat dan sawo matang

• Kebanyakan wanita Malaysia memiliki warna kulit sebegini. Jadi pilihan warna sesuai seperti coklat, coklat cerah, hijau dan kelabu. Elakkan memakai kanta lekap berwarna terang sekiranya anda memiliki kulit cerah.

3. Kulit gelap dan hitam manis

• Sebenarnya wanita yang memiliki ton kulit sawo matang atau hitam manis lebih senang mencari kanta lekap berwarna. Pilih dalam kelompok coklat, hazel, hijau, kelabu malah warna ungu dan biru juga boleh dipakai.


1. SAPUKAN bedak asas mengikut warna kulit anda. Pastikan bedak asas tidak terlalu gelap atau cerah.

2. SAPUKAN celak membentuk alis menawan.

3 . PILIH rona pembayang mata sesuai kemudian sapu penuh kelopak mata, ratakan dengan dua warna pilihan dan sapu sekata.

4. CELAK hanya untuk garis atas kelopak mata. Elakkan sapuan pada bahagian bawah.

5. MASKARA penting untuk melebat, menghitam dan memanjangkan bulu mata. Elakkan sapuan kerap yang membuatkan bulu mata bergumpal.

6. PEMERAH pipi merah jambu untuk kesan menyerlah dan segar.

7. PILIH gincu merah jambu kemudian lapisi dengan pengilat bibir untuk lebih seksi.

8. PENAMPILAN sempurna terutama bahagian mata menggunakan kanta lekap berwarna.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 3:08 PM